Layari Internet Sambil Bersedekah Dengan SalamSadaqah

April 30, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bersedekah merupakan satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia adalah satu amalan mulia dan sebenarnya amat mudah untuk dilaksanakan, namun seringkali diabaikan dan diambil ringan.

Sering kita mendengar, “senyuman itu satu sedekah”. Begitu juga dengan kata-kata seperti “tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”.

Ungkapan-ungkapan ini membuktikan bahawa betapa amalan bersedekah itu amat dituntut dan dipandang tinggi dalam ajaran Islam.

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261, Allah S.W.T. berfirman: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Ayat ini jelas membuktikan janji Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang bersedekah pada jalan-Nya. Meskipun nilai sedekah itu mungkin tidak terlalu tinggi, namun Dia akan akan melipatgandakan ganjaran pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Justeru, mengapa kita tidak berlumba-lumba untuk bersedekah ke jalan Allah?

Seiring dengan kepesatan ledakan teknologi pada masa kini, sedarkah kita sebenarnya urusan bersedekah itu lebih mudah untuk dilaksanakan?

Tanpa menafikan kaedah bersedekah cara biasa seperti sedekah kepada tabung masjid dan sedekah kepada fakir miskin, tahukah anda kini anda boleh melaksanakan tuntutan tersebut dengan menggunakan internet?

Ya! Hanya dengan melayari pelayar web, SalamWeb, kini anda boleh bersedekah menggunakan salah satu ciri uniknya, SalamSadaqah.

Menurut Pengarah Urusan SalamWeb, Puan Hasni Zarina Mohamed Khan, apabila pengguna membuat pencarian menggunakan SalamWeb, atau melaporkan kandungan menerusi satu lagi ciri lain iaitu SalamTag, mereka secara automatik membuat sumbangan kepada projek-projek amal terpilih.

“Jika diklik pada menu SalamSadaqah, pengguna dapat melihat nama projek amal terpilih yang sedang dibangunkan, yang turut dibiayai oleh SalamWeb.

“Apabila pengguna menggunakan ciri SalamTag atau cukup sekadar membuat pencarian di SalamWeb, aktiviti mereka itu secara automatik bertukar menjadi bentuk wang sumbangan, di mana jumlah sebenarnya akan ditentukan oleh kami,” ujarnya.

Sebagai contoh, jika anda klik pada menu SalamSadaqah, anda dapat melihat nama projek terkini yang sedang dibiayai, seperti “Masjid Aisha: Building A House in Jannah”.

Anda seterusnya boleh melihat maklumat-maklumat berkaitan seperti jumlah sumbangan terkini, tempoh masa yang masih tinggal untuk menyumbang, laporan SalamTag dan pencarian web.

 

Dan jika anda klik pada menu “Full Story”, anda dapat membaca maklumat lanjut mengenai projek tersebut, dan bagaimana wang sumbangan itu akan disalurkan.

Sementara itu, ditanya mengenai fungsi setiap maklumat yang dipaparkan itu, Puan Hasni Zarina menjelaskan, setiap projek atau kempen amal terpilih itu mempunyai tempoh masa sebulan untuk dikumpul wang sumbanganya.

“Dalam masa sebulan, jumlah keseluruhan pencarian web dan laporan SalamTag oleh pengguna akan diterjemahkan kepada peratusan jumlah wang yang akan kami sumbangkan.

“Jadi, kami mempunyai tempoh sebulan untuk mengumpul wang sumbangan derma bagi sesebuah projek sebelum menukar kepada projek yang seterusnya,” ujarnya.

Bagi tujuan sumbangan SalamSadaqah, SalamWeb pada masa ini bekerjasama dengan Global Sadaqah, sebuah platform derma pendanaan ramai (crowdfunding) yang menyalurkan sumbangan derma badan-badan korporat daripada orang ramai untuk kempen-kempen dan program-program kebajikan di serata dunia.

Puan Hasni Zarina berkata, pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana badan amal untuk bekerjasama dengan SalamWeb bagi tujuan tersebut pada masa akan datang.

“Tumpuan kami adalah lebih kepada projek-projek infrastruktur seperti pembinaan masjid, pembinaan rumah, sistem solar dan sebagainya,” jelasnya.

Mudah bukan untuk bersedekah?

Ada banyak cara untuk kita mengumpul amal kebajikan, mendapatkan pahala serta memperoleh keredhaan Allah S.W.T.

Justeru, mengapa kita perlu mensia-siakan peluang yang ada di hujung jari untuk membuat amal kebajikan?

Buatlah pencarian web menggunakan SalamWeb dan bersedekahlah!

Foto: Aiem Rahman

Menurut Pengarah Urusan SalamWeb, Hasni Zarina Mohamed Khan, apabila pengguna membuat pencarian menggunakan SalamWeb, atau melaporkan kandungan menerusi satu lagi ciri lain iaitu SalamTag, mereka secara automatik membuat sumbangan kepada projek-projek amal terpilih.