Kumpul Pahala Berganda di Bulan Ramadan

Mei 6, 2019
By Rahayu Mat Nah

Setiap kali Ramadan hadir, masjid-masjid mula meriah dengan kehadiran umat Islam dan mahu menunaikan solat Terawikh, begitu juga dengan surau-surau. Anak-anak yatim juga akan dirai dalam majlis berbuka puasa anjuran pelbagai pihak.

Mengapa ini berlaku? Ini kerana pada bulan mulia ini umat Islam dijanjikan pahala berganda oleh Yang Maha Esa. Memetik tulisan Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman, Allah melalui Al-Qur’an menjelaskan bahawa satu amalan boleh digandakan kepada 10, kemudian boleh digandakan menjadi 700. Sesuatu amalan boleh membiak kepada 7 tangkai dan setiap tangkai itu boleh menjadi 100 akhirnya boleh menjadi kepada 700.

Satu amalan soleh yang kita lakukan dengan melihat kepada keikhlasan kita boleh mencapai 700, ibaratnya kita sebutkan satu ringgit yang kita berikan boleh diberi pulangan sehingga 700 ringgit.

Penjelasan Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman adalah berdasarkan dalil Al-Qur’an yang menjelaskan bahawa maksudnya; “Bandingan pahala orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ” (Surah al-Baqarah ayat 261).

Jadi marilah kita bersama-sama mengumpul pahala di bulan yang mulia ini. Antara amalan yang boleh anda lakukan ialah:-

 

1) Bersahur

Bersahur bukan saja membantu kita mendapatkan tenaga sepanjang hari berpuasa, tetapi ia juga adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW; “Bersahurlah kalian, kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

2) Memberi makan untuk orang berbuka puasa

Nabi S.A.W adalah seorang insan yang paling pemurah, malah Baginda menjadi lebih pemurah ketika di bulan Ramadhan. Dalam salah satu hadis ada menyebutkan tentang keutamaan memberi makan untuk orang berbuka.

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (Hadis Riwayat Nasa’i dan Tirmidzi)

 

3) Jangan melambat-lambatkan waktu berbuka

Seperti sabda Baginda melalui sebuah hadis: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi, sebaik sahaja azan berkumandang, segeralah berbuka puasa. Amalan ini pasti tidak sukar untuk diikuti.

 

4) Menahan marah

Bagi mereka yang mudah melenting atau marah, bulan puasa ini cuba kawal perasaan marah anda. Selain menahan lapar dan dahaga, puasa juga bertujuan melatih seseorang itu erti kesabaran.

“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

5) Menghidupkan 2/3 Malam

Biarpun penat, jangan habiskan masa anda dengan tidur sepanjang bulan Ramadan ini, Sebaliknya, ambil kesempatan menghidupkan 2/3 malam dengan melakukan amalan-amalan seperti Solat Tahajjud dan membaca Al-Quran. Ingat, malam Lailatul Qadr hanya berlaku di bulan Ramadan. Malam yang menjanjikan pahala sehingga 1000 bulan.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadan, Baginda Rasulullah akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari).

 

Sumber : https://drfadlanothman.wordpress.com – Dr. Fadlan Mohd Othman merupakan seorang ilmuan dan pendakwah yang bergiat aktif menyampaikan ilmu di seluruh Malaysia khususnya di sekitar Lembah Klang. Selain memberi kuliah beliau juga mengisi beberapa rancangan televisyen serta aktif dalam pelbagai lapangan dakwah dan kemasyarakatan.

Kredit foto : Masjid Pogung Dalangan, Deddy Yoga Pratamaon, Pille-Riin Priske, Unsplash