Kuala Lumpur & Langkawi Pilihan Pelancong Arab Saudi & Timur Tengah

Julai 10, 2019
By Rahayu Mat Nah

Platform percutian digital, Agoda baru-baru ini mengumumkan destinasi pilihan utama pelancong dari serata dunia bagi percutian musim panas berdasarkan data perjalanan yang diperolehinya.

Berdasarkan kepada data tersebut, Malaysia muncul sebagai destinasi utama bagi pelancong dari negara Arab Saudi dengan Kuala Lumpur berada di tempat teratas dalam senarai, manakala Langkawi berada di tempat ke-10.

Kuala Lumpur juga berjaya mendapat tempat di 10 teratas sebagai destinasi pilihan pelancong dari Timur Tengah. Di samping itu juga, data Agoda menunjukkan Tokyo, London dan Las Vegas masih menjadi destinasi percutian utama pada tahun 2019.

Jepun mendominasi rancangan percutian musim panas pelancong-pelancong dari Asia Pasifik dengan menggondol 6 daripada 10 destinasi utama tahun ini.

Destinasi pillihan ramai adalah Tokyo, Osaka, Pulau Besar Okinawa, Kyoto, Sapporo serta Fukuoka. Senarai ini telah yang telah menyingkirkan Singapura dan Hong Kong daripada senarai 10 teratas.

Tarikan Tokyo sebagai destinasi pelancongan utama bukan sahaja terhad kepada pelancong dari Asia, malah ia juga mendapat tempat 10 teratas bagi pelancong dari seluruh rantau.

Data tempahan Agoda menunjukkan Tokyo melonjak ke tempat ke-2 bagi pelancong Amerika Syarikat dan tempat ke-5 bagi pelancong Eropah tahun ini.

Sementara pelancong Asia Pasifik lebih cenderung untuk bercuti di dalam negara, pelancong Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah lebih gemar merentasi benua untuk percutian musim panas mereka.

Ibu kota fesyen Eropah, London dan Paris adalah destinasi kota utama yang menjadi tarikan pelancong Timur Tengah tahun ini, manakala bandar raya Rome, yang penuh sejarah dan gaya chic Itali, mendapat tempat ke-3.

Destinasi Asia juga semakin mendapat tempat di hati pelancong Timur Tengah, dengan Bali dan Tokyo menyertai Bangkok dan Kuala Lumpur di dalam senarai 10 teratas tahun ini.

Las Vegas kekal di tempat pertama bagi pelancong Amerika Utara dalam tahun 2019, dengan Tokyo menjatuhkan New York dari tempat ke-2 ke tempat ke-3.

Kota-kota kosmopolitan London, Paris dan Rome dengan tarikan sejarah dan kontemporari juga mendapat tempat dalam senarai 10 teratas.

Los Angeles, Orlando, Chicago dan Seattle adalah destinasi domestik utama dalam senarai 10 teratas musim panas tahun ini.

Sementara itu, pelancong Eropah bercuti lebih jauh dengan menggunakan lebih banyak perjalanan jarak sederhana dan jauh musim panas ini.

Destinasi Asia telah menggantikan beberapa kota tradisional Eropah dalam senarai 10 teratas. Antara destinasi popular Asia yang tersenarai adalah Bali, Bangkok, Tokyo dan Pattaya.

New York dan Las Vegas juga telah memasuki senarai kegemaran pelancong Eropah, menandakan satu perubahan dalam tabiat percutian mereka.

Nota : Data Agoda dikumpul semak daripada tempahan yang dibuat secara global dalam bulan Jun sehingga Ogos 2019. Pecahan tambahan mengikut negara boleh didapati di www.agoda.com/press/summertravel2019

Kredit foto : Agoda & Nick Fewings, Unsplash