Konsert Amal Raihan & Alif Satar

Oktober 9, 2019
By Helmi Anuar

Semenjak tampil dengan kolaborasi nyanyian semula lagu ‘Sesungguhnya’ beberapa bulan yang lalu, gandingan serasi di antara kumpulan Raihan dan Alif Satar kembali bergabung.

Kali ini mereka akan disatukan dalam sebuah konsert amal yang bakal berlangsung pada 2 November 2019 bertempat di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Konsert amal ini telah dianjurkan bersempena dengan kempen ‘Live A Life 2019’ oleh Pholandure dan Komited Malaysia dan sebahagian dari harga tiket akan disumbangkan kepada Sekolah Al Huda, MERCY Malaysia, Komited Malaysia, Censerve IIUM,Persatuan Pemulihan Kesan Sosial Malaysia, dan Malaysian Young Shariah Scholars Malaysia.

Alif sewaktu ditemui ketika sidang media berkata, beliau teruja untuk menjayakan konsert ini kerana kumpulan Raihan adalah idolanya sejak dari kecil.

Cerita Alif lagi, sewaktu beliau kecil dan menetap di luar negara bersama ibu bapanya yang belajar di sana, mereka cuma membawa album Raihan  ke sana. Lagu-lagu dalam album itulah yang menjadi hiburan untuk dirinya.

Bagi saya ia seperti impian seorang kanak-kanak yang menjadi nyata. Sewaktu berpeluang merakamkan lagu ‘Sesungguhnya’ bersama Raihan baru-baru ini pun saya sudah merasakan perasaan yang sama. Saya rasa seperti mahu cubit diri saya sendiri. Adakah ini benar-benar terjadi,” ujarnya teruja.

Tambah Alif, sejak tampil berkolaborasi bersama Raihan menerusi lagu ‘Sesungguhnya,’ permintaan untuk mereka membuat persembahan amat tinggi.

Bagi yang ingin membeli tiket untuk menonton konsert amal ini, anda boleh layari www.myticket.asia

 

 

 

 

Similar Articles

Alif Satar – Lelaki Idaman Malaya

By Helmi Anuar
Jun 16, 2019

#Sesungguhnya2019 Buah Tangan Ramadan Raihan dan Alif Satar

By Nor Syariza Tahir
Mei 13, 2019