Kisah Benar Perang Dunia Kedua dalam Midway

November 7, 2019
By Shah Shamshiri

Filem berkisar peperangan tidak pernah gagal membangkitkan emosi para penonton andai digarap dengan betul. Baik filem antarabangsa, mahupun tempatan, alur cerita yang mengisahkan kejadian benar sentiasa berjaya menarik perhatian.

Terbaru dari Hollywood, muncul sebuah filem perang yang bertajuk Midway. Filem ini mengangkat kisah nyata yang pernah dilalui oleh tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia kedua.

Midway mengungkap pergelutan di antara tentera Amerika Syarikat dan tentera Jepun sekitar tragedi Pearl Harbour pada tahun 1940-an. Filem ini memberi fokus kepada cabaran yang perlu dihadapi armada tentera laut Amerika Syarikat serta para pejuang pesawat penyerang mereka.

Lebih menarik lagi, filem ini disulam berdasarkan watak-watak yang pernah hidup dan kisah nyata yang mereka hadapi sepanjang peperangan Midway ini.

 

Midway yang merujuk kepada kawasan kepulauan kecil di antara Amerika Utara dan Asia menjadi medan pertempuran dua kuasa hebat iaitu Jepun serta Amerika Syarikat sewaktu perang dunia kedua.

Walaupun ramai yang lebih mengenali tragedi Pearl Harbour, pertempuran Midway juga sebenarnya termasuk dalam senarai peristiwa penting lanjutan peperangan ini.

Filem ini turut menggambarkan kehebatan pasukan kebijaksanaan dalaman tentera Amerika Syarikat yang berjaya memecahkan kod komunikasi rahsia tentera Jepun sehingga mendedahkan keududukan serta rancangan tentera mereka di kawasan Midway.

Diperhebatkan lagi dengan lakonan mantap bintang-bintang terkenal seperti Patrick Wilson, Ed Skrein, Nick Jonas, Mandy Moore, Luke Evans dan ramai lagi, filem ini dijangka bakal mendapat tempat di hati peminat, apatah lagi buat mereka yang gemarkan filem epik peperangan berkisar peristiwa dan tokoh yang sebenar.

Midway sudahpun mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 7 November 2019.

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: