Kim Jae Hwan Bakal Bertemu Peminat Di Malaysia

Jun 11, 2019
By Nor Syariza Tahir

Buat pertama kalinya, penyanyi popular dari Korea Selatan, Kim Jae Hwan bakal berkunjung ke Malaysia sebagai artis solo bersempena dengan acara 2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting [MIN:D] In Kuala Lumpur.

Acara tersebut akan menjadi sesi bertemu peminat antarabangsa yang julung kali diadakan untuk Kim Jae Hwan dan peminat sejak debut solonya.

Dikenali sebagai Jaehwan dalam kalangan peminatnya di Korea Selatan, penyanyi itu kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Swing Entertainment.

Walaupun usianya masih muda, beliau mempunyai ramai peminat di seluruh dunia yang dikenali sebagai ‘WIN:D’.

Populariti Kim Jae Hwan mula meningkat naik apabila beliau meraih tempat keempat menerusi rancangan realiti survival akhir, ‘Produce 101 Season 2’ di Mnet.

Sewaktu pembabitannya dalam rancangan tersebut, beliau telah bersama kumpulan Wanna One, sehinggalah ia dibubarkan pada 27 Januari 2019.

Sejak kumpulan Wanna One dibubarkan, Jaehwan mula fokus pada debut solonya dan menulis lirik lagu sendiri.

Album solo sulungnya, ‘Another’ telah dilancarkan pada 20 Mei 2019, sekali gus menerima sambutan luar biasa daripada para peminat.

Kim Jae Hwan bakal menemui para peminatnya di Malaysia pada 27 Julai 2019 di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada pukul 6 petang.

Acara itu dianjurkan oleh UnUsUaL Entertainment dan MacpiePro sebagai rakan acara sokongan.

Tiket online boleh dibeli pada 12 Jun 2019, pukul 12 tengahari di www.macpieticketing.com.

Tiket konsert dijual pada harga RM282 (Zon Ungu), RM382 (Zon Kuning), RM482 (Zon Merah), RM582 (Zon A) dan RM692 (Zon VIP).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web atau media sosial rasmi UnUsUaL Entertainment dan MacpiePro.

Foto: UnUsUaL Entertainment

Acara tersebut akan menjadi sesi bertemu peminat antarabangsa yang julung kali diadakan untuk Kim Jae Hwan dan peminat sejak debut solonya.