Keunikan Kota Algiers

April 16, 2019
By Shah Shamshiri

Saya yakin pasti ramai yang tidak tahu bahawa Algeria merupakan negara terbesar di benua Afrika. Dan biarpun ramai yang beranggapan warga Afrika biasanya terdiri daripada mereka yang berkulit hitam, penduduk Algeria sebenarnya berkulit putih dan cerah. Rakyat dan negaranya kaya dengan sejarah serta tamadun tersendiri. Namun berbeza dengan jiran mereka Maghribi dan Tunisia, Algeria bukanlah negara yang terkenal dengan industri pelancongan.

Sungguhpun begitu, negaranya ada tarikan tersendiri, seperti orangnya dan penjelajahan saya di ibu negara mereka membuktikan pesona yang mereka miliki.

 

 

Sebaik tiba di kota Algiers, saya dapati terdapat banyak persamaan dengan kota Paris, dari papan tanda dengan tulisan Bahasa Perancis sehinggalah sistem jalan raya serta seni bina bandar itu sendiri. Seperti kebanyakan bekas jajahan kuasa Eropah, bangunan-bangunan lama bandarayanya melambangkan kesan peninggalan  kuasa Perancis puluhan tahun yang lalu.

Algiers terletak di kawasan barat teluk lautan Mediterranean dan mempunyai banyak kisah sejarah. Semua ini boleh dipelajari di beberapa muzium mereka yang terletak di sekitar ibukota. Ini termasuklah Muzium Negara Bardo yang satu ketika dahulu merupakan sebuah villa kaum Moor dan kemudian dibuka menjadi muzium pada tahun 1927. Muzium ini menjelaskan banyak tentang asal-usual tamadun negara mereka dan latar belakang sejarah Algeria.

 

 

Dengan bantuan pemandu pelancong daripada Kementerian Kebudayaan Algeria, saya juga dibawa untuk melawat Palais des Rais yang turut dikenali sebagai Bastion 23 untuk menikmati makan tengah hari yang kami beli di sebuah kafe berdekatan.  Bastion atau benteng itu dahulunya teridri daripada tiga buah istana dan enam buah rumah seorang raja dan kini menjadi tempat yang sesuai buat menikmati keindahan lautan dari kawasan dermaga Algiers.

Satu lagi bangunan yang menarik perhatian saya adalah pejabat pos besar mereka yang terletak di tengah-tengah pusat kota Algiers tidak jauh dari stesen metro mereka. Dan ya, seperti Paris serta kota-kota lain di Perancis, mereka juga mempunyai jalur Metro mereka tersendiri yang sempat saya cuba: sistem keretapi bawah tanah dalam kota seperti MRT kita untuk bergerak di seluruh Algiers.

Ini juga telah membawa saya ke satu lagi tempat yang wajib dilawati iaitu ‘Jardin d’Essai’ yang juga dikenali sebagai ‘Test Garden of Hamma’ atau Taman cubaan Hamma. Ia merupakan sebuah taman botanik seluas 58 hektar yang menyimpan lebih kurang 1,200 spesis tumbuh-tumbuhan dari seluruh dunia!

 

 

Saya juga bernasib baik kerana berpeluang menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid tersohor mereka iaitu Masjid Ketchaoua. Terletak di kaki Kawasan Lorong-lorong Casbah, ia kini menjadi sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dibina semasa pemerintahan Ottoman di abad ke-17. Sewaktu pemerintahan Perancis ia sempat ditukar menjadi gereja Cathedral St Philippe, sehinggalah tahun 1962. Masjid tersebut masih mengekalkan keidahannya yang gah dan terus menjadi salah satu tarikan di Algiers.

Dari lorong-lorong Kawasan Casbah saya pastikan untuk tidak terlepas melawat salah satu bangunan paling ikonik di Algiers iaitu tugu peringatan para syahid atau Martyrs’ Memorial Monument. Ia dibina sebagai tanda memperingati perang kemerdekaan Algeria. Ia direka dalam bentuk tiga daun kelapa sawit yang berdiri dan melindungi “api abadi” yang terletak di bawah. Di setiap hujung daun berdiri sebuah patung askar yang melambangkan perjuangan Algeria.

 

Tapak Kawasan tugu itu kini menjadi tempat warga tempatan menghabiskan masa bersama keluarga di hujung minggu untuk menikmati aneka permainan yang disediakan dan dijual para peniaga.

Yang pasti, Algiers merupakan satu pengenalan yang baik untuk mengetahui apa yang ada di Algeria secara dasar. Namun saya diberitahu untuk melawat keindahan Algeria yang lebih hebat di kota-kotanya yang lain. Tapi percayalah Algeria, saya akan kembali kala takdir mengizinkan!

Similar Articles

5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019

Kenangan Manis di Tunis

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Apa Istimewanya Mimaru Tokyo Ueno East?

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019