Ketagihan Laman Sosial Jejas Nikmat Kehidupan

Oktober 8, 2019
By Rahayu Mat Nah

Suka atau tidak, dalam era digital ini ramai individu yang  bergantung kepada laman sosial. Facebook, Twitter, Instagram, TikTok antara yang menjadi kegilaan. Mereka bukan sahaja mengikuti perkembangan atau aktiviti rakan-rakan, namun mereka juga mencari maklumat atau berita di laman-laman sosial. Biarpun berita itu belum tentu lagi kesahihannya.

Jadi tidak hairanlah mengapa bahan-bahan bacaan seperti majalah dan akhbar kini tidak mendapat sambutan. Berdasarkan trend semasa, ramai individu tidak boleh berpisah dengan gajet.

Bahkan sanggup melakukan tindakan membahayakan seperti menggunakan telefon sambil memandu. Selain itu ada juga yang sudah mula mengasingkan diri daripada orang-orang sekeliling. Jika makan bersama pun, telefon tetap di tangan. Berbual-bual di meja makan dianggap basi, melihat akaun-akaun sosial media lebih penting daripada segala-galanya.

Jika anda salah seorang individu yang bersikap sebegini, ini bermakna anda sudah layak digelar penagih sosial media.

Hendak tahu apa kesan dan akibat daripada ketagihan ini? Baca info selanjutnya di bawah:

 

1) Merosakan hubungan suami-isteri

Beberapa kajian menunjukkan, apabila seseorang individu terlalu asyik melayari laman sosial akan menyebabkan perasaan cemburu dan tidak puas hati kepada pasangannya. Perasaan dan tingkah laku ini akan mengundang permulaan hubungan yang buruk dalam rumahtangga tersebut.

Sama ada suami atau isteri, akan memberontak dan melakukan perkara yang mungkin mendatangkan kemarahan pasangan yang terlalu kerap dengan telefon pintar mereka atau mereka bersikap dingin dan seterusnya jika tidak dibendung boleh membawa kepada perceraian.

2) Tidak produktif

Ketagihan laman sosial juga akan menyebabkan seorang pekerja melengah-lengahkan tugasan yang diberikan. Penangguhan sering terjadi kerana ada gangguan daripada telefon yang sentiasa ada di tangan masing-masing tanpa mengira waktu.

Sebabnya, sibuk melayani perbualan di aplikasi Whats App atau sekadar melihat status rakan-rakan di Facebook sehingga tidak sedar masa terbuang dengan sia-sia. Jika hal ini berterusan, produktiviti sesebuah organisasi akan terkesan dan memberikan impak yang buruk kepada kerjaya individu tersebut.

 

3) Merenggangkan hubungan ahli keluarga dan rakan-rakan

Memang benar teknologi yang ada ketika ini membantu merapatkan hubungan yang jauh antara saudara-mara dan rakan-rakan. Hanya melalui satu klik di hujung jari, rakan di benua lain juga boleh kita hubungi. Namun, fenomena ketagihan laman sosial ini menyebabkan hubungan yang renggang sesama ahli keluarga dan rakan-rakan yang berada di depan mata.

Ini kerana akibat terlalu asyik melayani kawan di alam maya, orang tersayang di depan mata diabaikan. Tiada lagi perbualan mesra berlaku antara bapa dan anak-anak, sebaliknya hanya keadaan sepi dan sunyi terjadi bila ahli keluarga berkumpul bersama-sama. Apa tidaknya masing-masing sibuk dengan gajet masing-masing.

Jadi cuba fikir-fikirkan, berbaloikah anda menjadi penagih laman sosial?

Bagi yang sudah terjebak, berikut langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengatasi masalah ketagihan media sosial:-

1) Setiap hari pastikan anda telah menetapkan senarai keutamaan tugasan-tugasan yang perlu dilaksanakan pada hari tersebut. Tugasan yang paling penting mesti berada di tangga teratas senarai.

2) Tetapkan atau hadkan masa untuk melayari laman sosial. Contohnya, dalam sehari beri masa maksimum sejam untuk anda mengintai laman-laman sosial yang digemari.

3) Tetapkan objektif dan tujuan anda melayari laman-laman sosial atau internet. Adakah mahu mendapatkan maklumat yang berguna atau sekadar mahu membuang masa sehingga banyak perkara-perkara penting yang lain diabaikan.

Sumber : http://www.myhealth.gov.my

Foto : freestocks.org, Hermes Rivera, Unsplash / 123rf

 

Similar Articles

Adab Dalam Menggunakan Media Sosial

By Nor Syariza Tahir
September 27, 2019

Media Sosial: Medan Ukur Tahap Kebahagiaan?

By Nor Syariza Tahir
Julai 2, 2019