Kepentingan Memelihara Ikatan Kekeluargaan

Jun 10, 2019
By Nor Syariza Tahir

Amalan berkumpul beramai-ramai sesama kaum keluarga dan sanak saudara pada hari raya sememangnya menjadi satu tradisi sejak dahulu lagi.

Setahun sekali, kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai di kampung halaman, dan melakukan pelbagai aktiviti bersama seperti bergotong-royong membersihkan halaman rumah, masak beramai-ramai, barbeku, berkonvoi raya dan bergurau-senda.

Kesemua ini sudah semestinya dapat merapatkan silaturahim sesama keluarga, dan apa yang paling penting adalah memastikan ikatan kekeluargaan itu tidak terputus.

Kepentingan menjaga silaturahim amat dititikberatkan dalam Islam, malah Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan itu.

Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik RA yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim).” – HR Bukhari dan Muslim.

 

Kenapa Islam amat menggalakkan umatnya untuk memelihara ikatan persaudaraan?

Ketika peristiwa hijrah, Nabi Muhammad S.A.W. telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar yang bertujuan untuk menguatkan persaudaraan dan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Peristiwa ini menjadi salah satu bukti bahawa menjaga tali persaudaraan itu amat ditekankan dalam Islam, dan sebagai hamba Allah yang taat, kita seharusnya melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Malah, Allah S.W.T. turut memberi peringatan dalam surah at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”

Dari sini, kita dapat melihat bahawa betapa besarnya tanggungjawab untuk memelihara ahli keluarga dan memelihara ikatan kekeluargaan itu sendiri.

 

Realiti Yang Berlaku Dalam Masyarakat Hari Ini

Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini adalah ramai antara kita yang enggan memelihara ikatan persaudaraan itu dengan bertindak mementingkan diri sendiri, tidak bersatu padu sesama ahli keluarga, dan seterusnya memutuskan ikatan persaudaraan.

Agak malang kerana ada antara kita yang berasa seperti bukanlah satu keperluan untuk memelihara ikatan kekeluargaan kerana lebih mementingkan kesibukan kerja atau hal-hal lain.

Sudahlah hendak bertemu sesama sendiri pun hanyalah setahun sekali ketika musim perayaan, ada pula alasan lain diberikan untuk mengelak daripada berkumpul sesama keluarga.

Lebih malang, apabila jika semuanya sedang berkumpul sekali pun, namun masing-masing sibuk dengan telefon bimbit dan peranti teknologi masing-masing, tidak saling membantu membuat kerja rumah dan hanya mementingkan keselesaan keluarga masing-masing.

Anak-anak kecil pula tidak diajar akan erti persaudaraan dan dibiarkan bermain dengan telefon pintar masing-masing berbanding bermain sesama saudara.

Situasi-situasi ini banyak berlaku dalam masyarakat pada hari ini, dan inilah yang seterusnya akan menjadi satu ‘barah’ yang akan membunuh ikatan kekeluargaan itu secara senyap dan perlahan-lahan.

 

Pelihara Ikatan Kekeluargaan Agar Tidak Terputus

Sebaliknya, apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan ikatan kekeluargaan itu tidak terputus?

Yang pertama, bersempena dengan Hari Raya Aidifitri, kita hendaklah memastikan setiap ahli keluarga berkumpul dan menggunakan peluang yang ada untuk mengeratkan lagi ikatan sedia ada.

Apabila kesemuanya sedang berkumpul, pelbagai aktviti dapat dilakukan bersama-sama, antaranya bergotong-royong membersihkan halaman rumah, aktiviti berkelah, barbeku atau majlis makan-makan.

Daripada kesemua aktiviti ini, lebih banyak nilai murni dapat diterapkan seperti bekerjasama, tolong-menolong, kasih sayang, hormat menghormati dan jalinan mesra yang semestinya akan menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan sama sekali.

Kedua, janganlah menerapkan rasa benci, tidak puas hati, dendam atau pergaduhan yang akan menjadi titik-titik awal kepada terputusnya ikatan tali persaudaraan.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” – HR Muslim.

Jelas peringatan Baginda kepada umatnya ini yang melarang sama sekali kita memutuskan ikatan kekeluargaan.

Pada hari ini, agak malang apabila kita mendengar kisah-kisah terputusnya ikatan persaudaraan sesama ahli keluarga akibat perselisiham faham atau dendam kesumat.

Lebih malang jika ia berlaku antara sesama adik beradik kandung yang disebabkan oleh perebutan harta atau perselisihan faham yang akhirnya membawa kepada persengketaan.

Keadaan ini dapat dielakkan jika masing-masing saling merendahkan ego, memaafkan dan membuang rasa benci itu sejauh-jauhnya.

Percayalah, tidak akan rugi seseorang yang memaafkan orang lain, terutamanya jika ia adalah ahli keluarga atau adik beradik kita sendiri.

Bukankah lebih manis jika hari raya itu menjadi tempat kita saling bermaafan, meleraikan dendam kesumat yang pernah tersimpul rapi dan memulakan lembaran baharu dalam kehidupan masing-masing.

Pastinya Aidilfitri ibu bapa anda yang wajahnya semakin dimamah usia itu menjadi lebih bermakna, dengan ditemani gelak ketawa riang anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya.

Selagi mereka masih diberi kesempatan untuk tersenyum di hadapan kita, marilah kita bersama-sama menggembirakan mereka, dan janganlah meresahkan hati kecil mereka dengan persengketaan kita, sesama adik beradik dan ahli keluarga.

Ini kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Foto: Nor Syariza

Setahun sekali, kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai di kampung halaman, dan melakukan pelbagai aktiviti bersama seperti bergotong-royong membersihkan halaman rumah, masak beramai-ramai, barbeku, berkonvoi raya dan bergurau-senda.

Similar Articles

#SalamTodayRamadan- Mencetuskan Keharmonian

By Ili Farhana
Mei 31, 2019

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019