Kenangan Manis di Tunis

April 16, 2019
By Shah Shamshiri

Kurang mendapat liputan seranta berbanding negara-negara Arab dan Eropah lain, Tunisia sebenarnya merupakan sebuah negara kecil yang mempunyai banyak tarikan tersendiri. Terletak di Afrika Utara, Tunisia termasuk dalam kumpulan negara-negara Maghrib dan berjiran dengan Algeria serta Libya. Negara-negara ini juga merupakan di antara banyak negara Afrika lain yang pernah dijajah kuasa Perancis.

Biarpun pernah menjadi tumpuan media gara-gara pergolakan politik kala rakyat mereka menuntut perubahan dalam pentadbiran kerajaan, Tunisia kini sebuah negara yang sangat aman dan terpelihara.
Penulis yang pernah melanjutkan pengajian di Perancis memang sudah lama panasaran tentang negara-negara ini. Atas dasar itu, penulis telah mengambil kesempatan untuk melawat Tunisia di antara penghujung musim luruh dan di awal musim sejuk.

 

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Carthage di ibukota Tunis, penulis menaiki teksi menuju ke arah pusat bandaraya. Tambang teksi tidaklah terlalu mahal dan agak berpatutan. Penulis memilih penginapan berdekatan kawasan tasik terkenal Tunis di hotel indah Movenpick du Lac yang terletak sekitar lapan kilometre dari pusat bandar Tunis.

Perjalanan ke pusat kota hanya memakan masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja dari lapangan terbang dan seperti di Malaysia terdapat perkhidmatan aplikasi teksi seperti Grab yang bernama OTO, di mana harga tambang lebih murah jika dipesan melalui aplikasi.

Penulis memulakan pengembaraan di bandaraya Tunis di jam besar di Persiaran Habib Bourguiba. Ia merupakan salah satu mercu tanda kota Tunis yang tidak mungkin anda lewati. Di sepanjang persiaran terdapat ajnas kafe dan kedai berselang-seli dengan hotel-hotel mewah.

 

Oleh kerana pernah dijajah Perancis, persiaran ini mirip Persiaran Champs-Elysee yang terkenal di Paris dan menimbulkan suasana yang sangat menenangkan. Sambil menyaksikan orang lain yang sibuk memerhati pengunjung lalu-lalang, penulis menuju ke arah Bab el Bhar, gerbang utama yang memisahkan persiaran ibukota dengan kawasan bazar atau ‘medina’ kota ini. Apa yang menarik di mata penulis adalah, kota Tunis ini mirip Paris yang ‘Halal’. Ini kerana Tunisia merupakan sebuah negara Islam jadi biarpun suasana kotanya mirip kota Eropah, namun makanan dan minuman yang dijual semuanya halal.

Penulis bertemu dengan ketua persatuan para pelajar Malaysia di Tunis iaitu saudara Ahmad Syakir dan rakannya Ahmad Faris yang sudi membantu kala berada di Tunis. Mungkin tidak ramai yang tahu, terdapat sekumpulan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian mereka di Tunis.

Penulis dibawa melihat ratusan kedai-kedai di kawasan bazar ini yang menjual segala-galanya dari cenderamata sehinggalah pakaian dan makanan. Penulis juga sempat menunaikan solat di salah satu masjid tertua dalam sejarah Islam iaitu Masjid Zaytuna yang juga merupakan tempat lahirnya salah satu universiti tertua dunia. Jelas dari senibina masjid ini yang indah, ia sememangnya kaya dengan sejarah. Malah ia dibina di atas sebuah gereja yang kemudian dijadikan masjid.

 

Seperti kebanyakan negara bekas jajahan Perancis, penduduknya fasih berbahasa Perancis dan Arab tempatan. Kebanyakan penjual juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Penulis juga sempat mencuba makanan tempatan di salah sebuah restoran tempatan mereka. Antaranya termasuklah Brik yang mirip samosa dengan pelbagai inti di dalamnya. (ada ikan, daging ataupun telur).

Tidak jauh daripada kota Tunis adalah sebuah bandar yang mula dikenali oleh pelancong dunia. Sebuah tapak warisan UNESCO, Sidi Bou Said, merupakan kota kecil di tepi laut yang dibina di lereng bukit. Bangunannya yang kebanyakan menggunakan warna putih dan biru mirip bandar pelancongan terkenal di Greece, iaitu Santorini.

 

Sidi Bou Said memang wajib dikunjungi sekiranya ke Tunis kerana ia terletak hanya sekitar 20 km sahaja dari pusat bandar. Dan ia boleh ditujui dengan menaiki perkhidmatan keretapi yang terletak tidak jauh dari pusat bandar. Tren ini mirip perkhidmatan komuter atau LRT di Malaysia dan tambangnya juga sangat berpatutan. Berkat pemandangan bandar Sidi Bou Said yang indah, ia memang cantik untuk dijadikan tempat penggambaran. Penulis mengambil kesempatan mengemas kini gambar di media sosial. Untuk sentiasa berhubung dan mempunyai sambungan internet, penulis menggunakan khidmat internet mudah alih Roaming Man supaya sentiasa kekal berhubung dengan dunia maya.
Selain itu, ramai juga pengunjung yang mengambil kesempatan untuk makan dan minum sambil menyaksikan matahari terbenam. Penulis sendiri sempat menunaikan solat di salah sebuah masjid di situ.

 

Yang pasti Tunis wajar dijadikan destinasi pelancongan baru buat mereka yang ingin lari dari kebiasaan melawat tempat-tempat klise yang sudah sering dikerumuni penduduk dunia. Selain pemadangan indah, harga perbelanjaan yang lebih murah, ia juga sesuai buat pengunjung yang beragama Islam kerana tidak perlu risau tentang makanan halal gara-gara statusnya sebagai negara Mulsim. Penulis pasti akan berkunjung ke sini lagi sekiranya diberi rezeki dan kesempatan.

Similar Articles

Percutian Hebat di Amari Hua Hin

By Rahayu Mat Nah
April 10, 2019

Keunikan Kota Algiers

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019

Apa Istimewanya Mimaru Tokyo Ueno East?

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019