Kenalpasti Restoran Halal Di Korea Pada Minggu Restoran Halal Korea 2019

September 11, 2019
By Nor Syariza Tahir

Jika disebut tentang negara Korea, terdapat pelbagai aspek dan elemen yang menjadi minat, ikutan dan kegilaan rakyat Malaysia.

Daripada muzik Kpop, drama bersiri, makanan dan percutian, kesemuanya sering menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Namun, satu kekangan yang sering dihadapi oleh rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam apabila pergi bercuti ke negara tersebut adalah cabaran untuk mencari makanan halal.

Meskipun kadangkala anda akan terserempak dengan papan tanda “Halal” di gerai-gerai di sekitar jalan-jalan di Myeong-dong, namun perasaan was-was itu masih ada dan kesahihan tanda halal tersebut masih boleh dipertikaikan.

Menyedari perkara tersebut, Korea Tourism Organization (KTO) menganjurkan Minggu Restoran Halal Korea 2019, sebuah acara promosi yang diwujudkan untuk menarik pengunjung beragama Islam ke Korea, yang berlangsung selama dua bulan bermula 1 September hingga 31 Oktober 2019.

Sejak edisi pertamanya pada tahun 2016 sehingga kini, acara tahunan itu bermatlamat untuk mempromosikan pelancongan Korea kepada pelancong beragama Islam yang dilihat semakin memberi sumbangan signifikan kepada pelancongan negara tersebut.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesukaran yang sering dihadapi pelancong Islam berkaitan makanan disebabkan oleh kekurangan restoran makanan halal di Korea, selain untuk meningkatkan infrastruktur pelancongan Korea bagi memenuhi keperluan pelancong beragama Islam dengan lebih baik.

Bagi yang mengunjungi Korea untuk sepanjang tempoh kempen tersebut, kedua-dua pelancong beragama Islam dan bukan Islam akan mendapat akses kepada diskaun dan pelbagai manfaat lain daripada “Restoran Mesra Umat Islam” yang ditetapkan oleh KTO serta lokasi-lokasi pelancongan utama.

Acara kempen pada tahun ini akan melibatkan 152 “Restoran Mesra Umat Islam” dan 40 lokasi pelancongan utama serta program pengalaman bagi memberi pelbagai manfaat yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Senarai organisasi yang mengambil bahagian dan diskaun yang disediakan boleh didapati di laman web rasmi acara ini (www.hrwkorea.or.kr).

Selain itu, para pelancong juga akan mendapat akses kepada buku kupon Minggu Restoran Halal Korea melalui pejabat-pejabat KTO di bandar-bandar pelancong beragama Islam utama seperti Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, New Delhi, Dubai, Istanbul, Almaty.

Buku kupon tersebut mengandungi kupon diskaun yang boleh digunakan di “Restoran-Restoran Mesra Umat Islam” dengan nilai KRW 3,000 dan KRW 10,000 serta kupon untuk setiap tempat tarikan utama dan program pengalaman.

Selain itu, 54 buah “Restoran Mesra Umat Islam” akan menawarkan menu set istimewa semasa tempoh promosi dan diskaun kupon sehingga KRW 10,000. Kupon boleh dimuat turun daripada platform mudah alih dan laman web rasmi acara itu.

Korea Bergerak Pantas Menjadi Destinasi Mesra Umat Islam

KTO telah mengiktiraf kepentingan dan pengaruh sektor pelancongan umat Islam serta melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik lebih ramai pelancong beragama Islam ke Korea.

Antara yang dilakukan adalah menubuhkan surau bergerak di kawasan pelancong di wilayah Jeju (Tamnara Republic) untuk kemudahan umat Islam menunaikan solat, selain meletakkana sejadah tambahan di surau yang terletak di tapak-tapak pelancongn utama serta hotel-hotel.

Di samping itu, KTO turut berusaha untuk membangunkan pakej pelancongan baharu yang dapat menampung pelancong beragama Islam selain pakej-pakej premium seperti pelancongan perubatan untuk mempelbagaikan penawaran kepada permintaan berbeza daripada pasaran umat Islam.

Bilangan restoran yang ditetapkan sebagai “Restoran Mesra Umat Islam” turut meningkat daripada 135 buah restoran pada tahun 2016 kepada 250 buah restoran pada akhir tahun 2018, sekali gus menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan kesukaran yang sering dihadapi oleh pelancong beragama Islam dalam isu makanan.

Usaha-usaha di atas telah membawa kepada peningkatan reputasi negara Korea sebagai destinasi mesra umat Islam.

Malahan, menurut laporan GMTI (Indeks Perjalanan Umat Islam Global) 2019, Korea menduduki tempat ke-8 sebagai antara destinasi-destinasi bukan OIC.

Melihatkan statistik itu, bilangan pengunjung umat Islam tahunan ke Korea dijangka melebihi paras 1 juta buat julung kalinya pada tahun 2019.

Foto: Nor Syariza, Edanur Aagac, Filippo Faruffini, Jakub Kapusnak, Joshua Delica & Steven Roe (Unsplash)

Bagi yang mengunjungi Korea untuk sepanjang tempoh kempen tersebut, kedua-dua pelancong beragama Islam dan bukan Islam akan mendapat akses kepada diskaun dan pelbagai manfaat lain daripada "Restoran Mesra Umat Islam" yang ditetapkan oleh KTO serta lokasi-lokasi pelancongan utama.

Similar Articles

Kembara Ekopelancongan Di Suncheon, Korea Selatan

By Nor Syariza Tahir
Julai 16, 2019

Glow Ao Nang Sesuai Bajet, Makanan Halal Pun Senang

By Rahayu Mat Nah
April 24, 2019

Mencari Makanan Yang Halal Itu Wajib

By Nor Syariza Tahir
Julai 17, 2019