Kenali Peta Strok Malaysia

November 6, 2019
By Ili Farhana

Strok, juga dikenali sebagai angin ahmar, adalah satu jenis serangan pada otak yang perlu dirawat dengan serta merta. Sebanyak dua juta sel otak boleh terjejas dengan setiap minit rawatan ditangguhkan. Oleh itu, ia adalah sangat penting untuk mendidik masyarakat tentang simptom dan tanda-tanda strok. Selain itu, masyarakat juga harus mengambil tahu tanda-tanda strok dan mencari hospital berdekatan yang menawarkan rawatan penyakit akut strok.

Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia, setiap tahun, kira-kira 52,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Dengan purata sebanyak 32 kes kematian akibat strok setiap hari (sumber: Jabatan Statistik Negara), penyakit ini adalah penyebab kematian yang ketiga tertinggi di Malaysia, selepas penyakit jantung iskemik dan pneumonia. Walaupun strok dikenali ramai, terdapat juga golongan yang tidak mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya seseorang itu diserang strok, dan ini termasuklah kepentingan pesakit untuk ke hospital yang sesuai bagi menerima rawatan yang tepat.

 

Laman Web MY Stroke Hospital

Sempena Hari Strok Sedunia yang jatuh pada 29hb Oktober, Majlis Strok Malaysia (MSC) dan Boehringer Ingelheim berganding bahu melancarkan laman web yang dikenali sebagai MY Stroke Hospital untuk meningkatkan pendidikan strok dan memperkembangkan akses bagi rawatan strok di Malaysia. Laman web (https://mystrokehospital.my/) ini dilengkapi dengan fungsi peta yang membolehkan orang ramai mengenal pasti hospital berdekatan yang menawarkan rawatan akut strok.

Laman Web MY Stroke Hospital membolehkan pengguna mengenal pasti lebih daripada 50 hospital kerajaan dan swasta yang mampu merawat pesakit akut strok di Malaysia. Laman web ini boleh didapati dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Ia juga menampilkan ciri peta interaktif di mana pengguna boleh mencari hospital kerajaan dan swasta berdekatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan strok berdasarkan lokasi semasa mereka. Peta ini juga memaparkan jarak dan waktu operasi hospital. Sesetengah hospital yang disenaraikan beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan ada juga yang beroperasi 24 jam bagi memenuhi keperluan semasa. Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit strok di laman web tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan MSC untuk melancarkan laman web MY Stroke Hospital ini. Sejak pelaksanaan Angels Initiative di Malaysia dua tahun lepas, kami bekerja rapat dengan pelbagai hospital kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan strok di Malaysia. Melalui laman web ini, kami berharap dapat memudahkan proses mencari hospital strok untuk menjimat masa pada waktu kecemasan kerana ia merupakan faktor penting dalam rawatan strok,” kata Dr Mohd Azhar Ahmad, Ketua Perubatan, Boehringer Ingelheim Malaysia & Singapura.

 

Pemulihan Pesakit Strok Tidak Mustahil

“Pemulihan selepas strok tidaklah mustahil. Jika pesakit menerima rawatan yang sewajarnya dengan segara, mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk pulih dan hidup berdikari. Malangnya, kebanyakan pesakit strok tidak mendapat rawatan dengan segara kerana pesakit strok ataupun ahli keluarga mereka tidak memilih hospital yang sesuai bagi rawatan strok,” kata Profesor Madya Dr Hoo Fan Kee, Presiden, MSC.

Pesakit strok yang tidak mendapat rawatan yang betul dan segera lebih cenderung mengalami pelbagai komplikasi, termasuk maut. Jenis komplikasi bergantung kepada bahagian otak yang terjejas. Misalnya, serangan strok di otak kiri boleh menyebabkan lumpuh di sebelah kanan anggota badan, masalah pertuturan, dan hilang ingatan. Sekiranya strok berlaku di otak kanan pula, pesakit akan lumpuh di sebelah kiri anggota badan, mengalami masalah penglihatan, dan hilang ingatan. Bagi sesetengah pesakit, mereka boleh menguatkan semula fungsi badan mereka, tetapi ini biasanya melibatkan proses pemulihan yang berpanjangan.

“Kami menggalakkan orang awam, khususnya mereka yang berisiko tinggi diserang strok serta ahli-ahli keluarga mereka, untuk melayari laman web kami. Ini bukan sahaja untuk mempelajari tentang strok, tetapi yang lebih pentingnya, mereka dapat mencari lokasi hospital strok yang berdekatan,” kata Profesor Madya Dr Hoo.

Layari https://mystrokehospital.my/ untuk mengetahui lebih lanjut tentang strok dan hospital strok berdekatan.

 

Gambar oleh  Steven HWG on Unsplash

Similar Articles

Kalau Nak Sihat, Amalkan Pemakanan Tepat

By Rahayu Mat Nah
Oktober 10, 2019

Pilih Produk Makanan Sihat Dan Rendah Kolesterol

By Nor Syariza Tahir
Oktober 16, 2019

Sediakan Sarapan Sendiri Untuk Lebih Sihat

By Rahayu Mat Nah
Julai 5, 2019

Datuk Rizalman Ibrahim Keluarkan Makanan Tambahan Kesihatan T’Neeq

By Helmi Anuar
Oktober 9, 2019

Buah-Buahan Bantu Kuruskan Badan

By Rahayu Mat Nah
September 27, 2019

20 Tip Mudah Kurangkan Berat Badan Dalam 10 Hari

By Rahayu Mat Nah
Jun 12, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: