Kemewahan Indah Pulau Bintan

November 8, 2019
By Shah Shamshiri

Andai berbicara soal pantai-pantai terindah, Asia Tenggara pasti tersenarai dalam pilihan para pelancong asing. Dengan itu kita sebagai rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan di atas kelebihan ini kerana selain pantai-pantai indah di negara kita, terdapat juga pantai-pantai negara jiran yang berdekatan.

Di antara pantai peranginan di luar Malaysia yang sering menjadi tumpuan rakyat negara kita adalah pantai-pantai di Thailand seperti Phuket dan Krabi, serta Bali dan Lombok di Indonesia. Namun ramai rakyat Malaysia sebenarnya yang kurang tahu tentang sebuah pulau milik Indonesia yang terletak berdekatan dengan Singapura. Pulau yang dimaksudkan adalah Pulau Bintan, sebuah pulau yang menawarkan percutian berkonsep mewah buat para pengunjungnya.

Pulau yang termasuk dibawah provinsi Kepulauan Riau Indonesia ini terletak hanya sejam dari Singapura dengan menaiki feri dan ia sedang giat dipromosi oleh kerajaan Indonesia sebagai destinasi pelancongan yang menarik selepas Bali. Malah terdapat banyak pilihan feri untuk para pelancong. Sejumlah besar feri dari Singapura akan berhenti di pelabuhan atau Bandar Bentan Telani. Ini kerana kesemua hotel dan resort utama Bintan terletak berdekatan dengan pelabuhan tersebut.

Dan sekiranya tercari-cari tempat untuk menginap, pastikan Natra Bintan menjadi pilihan utama anda. Resort yang terletak tidak jauh dari pelabuhan Bintan Telani ini sangat sesuai untuk mereka yang masih bujang ataupun berkeluarga. Dengan pemandangan persekitaran yang indah, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik. Malah ia mempunyai kelainan yang tidak ada pada hotel-hotel sepertinya di situ.

Berkonsepkan ‘glamping’ (glamorous camping) atau penginapan kanopi dan khemah mewah , Natra Bintan menawarkan pilihan 100 khemah-khemah mewah buat para pengunjung bebas bersantai semahu hati masing-masing. Lebih menarik setiap unit khemah mewah dilengkapi dengan kemudahan eksklusif terkini seperti sambungan internet wi-fi, TV layar leper, dan bilik mandi mirip vila-vila mewah.

Ia turut dilengkapi sebuah kolam renang besar yang direka mirip pantai sebenar. Malah kolam renang di sini adalah salah satu kolam renang terbesar di Asia Tenggara!

Buat anda yang suka mencuba makanan yang lazat di kawasan hotel, anda boleh singgah di The Patio Bar & Restaurant yang menghidangkan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa yang menarik dan semestinya halal.

Para tamu juga boleh menyewa motor skuter untuk bergerak sekitar kawasan resort.

 

 

Pendek kata, Natra Bintan memang satu destinasi pelancongan menarik yang harus diterokai oleh rakyat Malaysia sekiranya inginkan kelainan dari percutian pantai yang sudah sering dikunjungi. Jadi, tunggu apa lagi, pastikan Bintan menjadi pilihan percutian anda seterusnya!

Similar Articles

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: