Kelebihan Solat Sunat Dhuha, Rugi Jika Tidak Amalkan

Julai 15, 2019
By Helmi Anuar

Rasanya ramai yang sedia maklum akan kelebihan menunaikan solat sunat Dhuha. Solat sunat Dhuha sering dikaitkan dengan amalan untuk mendapat rezeki yang luas.

Ia dipanggil solat Dhuha kerana waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan solat sunat ini ialah pada waktu Dhuha sahaja. Waktu Dhuha merujuk pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah, kira-kira 20 minit selepas terbit matahari. Waktu Dhuha berakhir apabila matahari berada tepat di tengah-tengah langit, kira-kira 9 minit sebelum masuk waktu Zohor.

Terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi dengan mengamalkan solat Dhuha. Sebelum itu, apakah cara mudah dan betul untuk melaksanakan solat sunat Dhuha? Di sini kami kongsikan langkah-langkah mudah solat Dhuha berserta doa Dhuha sebagai panduan anda.

 

Bilangan rakaat

Solat Dhuha dilakukan dengan 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan boleh diulang sehingga 6 kali solat (2 rakaat x 6 kali solat) setiap hari.

 

Lafaz Niat Solat Dhuha


Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

 

Bacaan Dalam Solat

Dari segi rukun, tertib dan syarat sah solat, solat Dhuha adalah sama seperti solat wajib yang lain. Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, terdapat bacaan surah tertentu yang digalakkan oleh para ulama.

Untuk rakaat pertama, anda digalakkan untuk membaca Surah as-Shams dan Surah ad-Dhuha pada rakaat kedua. Walau bagaimanapun, ini hanyalah galakkan. Terserah pada anda untuk membaca surah yang anda ingini. Bagi bacaan-bacaan lain pula seperti sujud, rukuk dan sebagainya, adalah sama seperti solat biasa.

 

Kelebihan Solat Dhuha

Umum mengetahui bahawa solat ini dikaitkan sebagai amalan yang dapat membuka pintu-pintu rezeki. Dengan mengamalkannya, seseorang itu akan memperolehi rezeki yang melimpah-ruah serta hati yang tenang.

Harus diingatkan di sini bahawa rezeki itu tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja. Ia juga boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti:

  1. dikurniakan kesihatan tubuh badan.
  2. rezeki yang mencukupi serta berkat.
  3. anak-anak yang soleh dan solehah.
  4. dapat mengerjakan ibadat umum dan ibadat khusus.
  5. dipermudahkan urusan dalam seharian kehidupan sebagai seorang Muslim.

Selain itu, dengan mengamalkan solat Dhuha juga, seseorang itu akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.

Kita disarankan untuk mengamalkan solat sunat ini dalam kehidupan seharian kita. Pada awalnya mungkin anda berasa berat untuk melakukannya. Tetapi apabila ianya menjadi sebahagian dari rutin harian, anda pasti berasa nikmat dan seronok mengerjakannya. Semoga panduan ini dapat menjadi titik perubahan dalam kehidupan anda sebagai seorang Muslim. Selamat beramal!

 

Sumber : www.alkauthar.com.my

Foto : Aziz Acharki di Unsplash

Similar Articles

7 Langkah Mencapai Khusyuk Dalam Solat

By Nor Syariza Tahir
Jun 14, 2019

Benarkah Doa Mampu Ubah Takdir Seseorang?

By Rahayu Mat Nah
Julai 9, 2019

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019

Hari-Hari Yang Diharamkan dan Dimakruhkan Berpuasa

By Nor Syariza Tahir
Julai 3, 2019

Jangan Terlepas Lakukan Amalan Ini Di Hari Jumaat

By Helmi Anuar
April 19, 2019