Keanggunan Senibina Kolonial Liu Men di Melaka

November 5, 2019
By Shah Shamshiri

Pernah menjadi enam buah rumah kedai dan akhirnya berubah menjadi sebuah kediaman peribadi yang menempatkan sebuah rumah agam, Liu Men yang bermaksud ‘enam pintu’ kini merupakan penginapan eksklusif terbaru di bandar raya bersejarah Melaka.

Dihiasi dengan gaya senibina unsur-unsur Selat dan klasik, hotel ini masih mengekalkan imejnya sebagai sebuah hotel peninggalan masa silam yang kaya dengan lakaran tradisi kaum Peranakan.

Tersergam indah di Jalan Tokong di kota Melaka yang penuh bersejarah, lokasinya juga tidak jauh dari Sungai Melaka.

Setiap bilik di sini menampilkan seni reka berkonsep kolonial zaman penjajahan Inggeris dengan sentuhan warna putih dan hitam yang anggun. Kesemua bilik diserikan lagi dengan kemudahan elektronik tercanggih seperti sambungan internet wi-fi, televisyen satelit berlayar leper, dan macam-macam lagi.

Terdapat beberapa jenis bilik dan suite mengikut nama tokoh-tokoh sejarah Melaka seperti Jebat, Hang Tuah, Kapitan serta suite Cheng Hoe dan Parameswara.

Bagi memenuhi deria rasa pula, The Courtyard menawarkan gabungan masakan terenak yang mempunyai pengaruh budaya tempatan. Selain hidangan berat, hidangan minum petang di sini turut menyediakan kuih serta manisan ala Nyonya buat para tamu.

Andai mempunyai masa serta berpeluang ke Melaka, cubalah bermalam di sini untuk merasa sentuhan anggun dan klasik hotel ini. Kami yakin, Liu Men di kota Melaka tidak akan menghampakan harapan anda kerana biarpun senirekanya mudah namun ia benar-benar berada di kelas tersendiri!

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: