Karnival BRKL 2019 Penuhi Kelengkapan Raya

April 24, 2019
By Nor Syariza Tahir

Setiap kali menjelangnya Aidilfitri, pasti ramai antara kita yang telah mula membuat persiapan Raya sejak awal-awal lagi, meskipun bulan Ramadan belum tiba.

Bagi kaum wanita terutamanya, ada yang telah mula menempah baju raya masing-masing sebelum tempahan mula ditutup seawal bulan April.

Namun, bagi golongan yang sibuk dengan jadual harian dan tidak sempat untuk menempah baju raya, mereka tidak perlu khuatir kerana kini terdapat banyak pilihan karnival jualan raya yang diadakan di serata lokasi.

Karnival yang menjual barangan kelengkapan raya ini pula diserikan lagi dengan kehadiran para selebriti tempatan yang bukan sahaja menjadi pelaris kepada acara tersebut, malahan turut bersama-sama berniaga menjual produk masing-masing.

Pendek kata, pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah, malahan dalam masa sama berpeluang untuk bertemu dengan selebriti kegemaran masing-masing.

Jika ada yang ingin membeli-belah sambil bertemu artis kesayangan mereka, bolehlah berkunjung ke Bazaar Raya Kuala Lumpur 2019 (BRKL) yang bakal berlangsung pada 16 Mei hingga 4 Jun ini.

Bertempat di Dewan Tun Razak 1&2 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bazar selama 20 hari itu bakal disertai oleh lebih 30 selebriti popular selain jenama-jenama fesyen tempatan, kuih-muih, hiasan dalaman dan barangan keperluan Aidilfitri.

Antara artis yang bakal menyertai BRKL ialah Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Alif Satar, Datuk Aznil Nawawi, Siti Sarah, Zara Zya, Datin Alyah, Datuk Hattan, Aiman Tino dan ramai lagi.

Turut bakal memeriahkan acara ialah barisan pengacara seperti Didie Alias, Achey, Amyza Aznan, Roslan Shah, Enot dan Arja Lee yang pastinya akan menggamit kemeriahan suasana di bazar raya tersebut.

“Kami percaya, dengan adanya barisan pengacara popular yang telah bersetuju untuk menyertai bazar ini, mereka akan menghangatkan BRKL dengan celoteh masing-masing.

“Kami juga merancang untuk menganjurkan sesi berbuka puasa bersama-sama individu yang kurang bernasib baik dan sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada rumah kebajikan terpilih,” ujar Pengarah BRKL, Shawn Zain.

 


Pengarah Pemasaran Online BRKL 2019, Syed Gaddafi (lima dari kanan) dan Shawn (enam dari kiri) bergambar bersama barisan pengacara BRKL pada sidang akhbar yang diadakan di PWTC.

Tambah Shawn, selain itu, pihaknya turut menyediakan pakej viral iaitu Rocketing Viral Inbosz secara percuma kepada semua usahawan yang menyertai BRKL.

“Ia adalah bagi memberi kelebihan kepada mereka untuk memperkenalkan produk jualan masing-masing secara dalam talian.

“Menerusi pakej tersebut, kami akan menyediakan tiga jalan cerita yang berbeza kepada setiap usahawan dan video-video viral berkenaan akan diviralkan secara online selama tiga minggu,” jelasnya.

Dibuka kepada pengunjung setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, BRKL disasarkan untuk menerima seramai 500,000 pengunjung sepanjang 20 hari bazar tersebut berlangsung dengan sasaran jualan mencecah RM15 juta.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, BRKL juga bakal dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof pada 16 Jun ini.

Bagi usahawan di luar sana yang ingin menyertai BRKL, boleh menghubungi Sekreteriat BRKL di talian 011-3690 4037.

Foto: Affan Fauzi

Bagi usahawan di luar sana yang ingi menyertai BRKL, boleh menghubungi Sekreteriat BRKL di talian 011-3690 4037.

Similar Articles

5 Produk Halal Menarik di MIHAS 2019

By Shah Shamshiri
April 24, 2019

Berjual-Beli Dalam Tempoh 72 Jam Tanpa Henti

By Nor Syariza Tahir
April 18, 2019

Star Vendors Beri Ruang Kepada Selebriti Untuk Berniaga

By Nor Syariza Tahir
April 22, 2019