Kaka Azraff Hadiahkan ‘Diamonds’ Buat Peminat

Oktober 8, 2019
By Rahayu Mat Nah

Penyanyi Kaka Azraff mengakui dia bersetuju untuk melancarkan single terbaru dalam keadaan sarat mengandung kerana mahu memberikan sesuatu yang cukup istimewa kepada peminat sebelum dia bercuti panjang kerana berpantang.

Jelas Kaka, single terbarunya yang berjudul Diamonds itu sangat bermakna buat dirinya kerana ia adalah refleksi perjalanan hidupnya yang baru selepas bergelar isteri.

Diamonds adalah hadiah kepada peminat yang selama ini tidak pernah jemu memberi sokongan. Saya mahu menghadiahkan lagu ini kepada mereka sebelum saya bercuti panjang untuk berpantang. Kalau saya tunggu selepas bersalin, saya rasa jarak waktunya terlalu lama memandangkan rangka promosi untuk lagu ini telah diatur dengan baik oleh pihak Warner Music Malaysia.”

Diamonds adalah tentang luahan rasa seorang isteri yang mensyukuri nikmat bahagia yang dikecapinya. Dicintai, dibelai dan diberi perhatian sepenuhnya oleh suami. Sebagaimana yang saya rasakan sejak bergelar isteri ini.”

“Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Adam dan berharap agar kebahagiaan yang kami rasakan ini akan kekal selamanya walaupun sudah mempunyai keluarga yang besar. Lagu ini adalah lagu cinta saya untuk Adam,” ujar Kaka ketika ditemui baru-baru ini.

 

Dalam masa yang sama, Kaka juga memberitahu Diamonds yang diangkat sebagai judul lagunya itu bukan melambangkan berlian atau harta benda, tetapi ia adalah simbol kepada kegembiraan yang sedang dimiliki kini.

‘Diamonds’ merupakan ciptaan sepenuhnya komposer dan rapper tersohor Alif yang turut bertindak selaku penerbit rakaman lagu ini. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Pada tahun 2018, penyanyi Pop R&B ini muncul dengan single ‘Sibuk’, Kaka turut mengeluarkan lagu ‘Shout It Out’ sebuah lagu runut bunyi (OST) untuk filem ‘Gol & Gincu Vol. 2’ dan berduet bersama penyanyi Maya Karin dalam lagu berjudul ‘Getaway’.

 

Foto : Warner Music Malaysia

Similar Articles

Chaleeda Tampil Dengan Single Baru

By Rahayu Mat Nah
Ogos 9, 2019

Ameerais (Forteen) Tampil Dengan Single Solo

By Helmi Anuar
September 11, 2019

‘Mahal’ Single Terbaru Charis

By Ili Farhana
Oktober 2, 2019