Jom Berinfak!

Mei 5, 2019
By Nor Syariza Tahir

Infak menurut al-Jurjani bermaksud membelanjakan harta kepada yang berhajat. Secara umum, ia bererti membelanjakan harta ke jalan Allah S.W.T.

Dalam surah al-Baqarah (2:3), Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “(Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunakan solat dan mereka memberi infak apa yang kami rezekikan kepada mereka.”

Dalam al-Quran, kalimah infak disamakan maksudnya dengan nafkah, dan infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan infak tidak wajib.

Infak wajib adalah termasuk zakat, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib seperti makan minum dan tempat tinggal untuk isteri, anak-anak serta ibu bapa.

Manakala infak tidak wajib termasuk derma kepada pertubuhan kebajikan serta orang perseorangan, membantu program dakwah, bersedekah atas nama kemanusiaan dan sebagainya.

Infak Masjid

Jika kita pergi ke masjid-masjid, kita dapat melihat adanya diletakkan tabung-tabung bagi orang ramai membuat sumbangan sedekah yang digunakan untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di masjid.

Pernahkah kita terfikir berapa banyakkah ‘saham’ akhirat yakni ganjaran yang kita perolehi jika kita berinfak pada jalan Allah S.W.T?

Tidak kiralah meskipun wang sumbangan itu hanyalah dalam jumlah kecil, namun Allah S.W.T. menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda jika hamba-Nya melakukan perkara itu dengan niat yang betul.

Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-Saba, ayat 39 yang bermaksud: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa setiap daripada derma atau infak itu akan digantikan rezeki yang lebih luas oleh Allah S.W.T. dan dikurniakan ganjaran pahala kepada kita.

 

Jom Infak Bersama TNG Digital dan JAWI

Dalam usaha untuk memudahkan urusan menderma dan berinfak, TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama bagi membolehkan sumbangan derma dilakukan melalui kod Respon Pantas (kod QR) di masjid-masjid terlibat sekitar Kuala Lumpur.

Dilaksanakan menerusi program ‘7 Tangkai: Jom Infak’, kedua-dua organisasi itu menyediakan satu platform agar masyarakat boleh menderma dengan lebih mudah menggunakan Touch ‘n Go eWallet (eWallet).

 

Para pengguna hanya perlu mengimbas kod QR untuk menderma dan setiap transaksi akan dipindahkan terus ke masjid-masjid yang terlibat.

“Kami ingin membentuk tingkah laku baharu dan mengubah cara sumbangan derma dilakukan. Melalui inovasi dan teknologi inklusif, kami dapat memenuhi keperluan masyarakat hari ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin.

“Dengan penggunaan kod QR, kami percaya ia akan membuka lebih banyak peluang dari sudut interaksi dan penglibatan antara masjid-masjid serta komunitinya.

“Sumbangan derma melalui kod QR adalah langkah pertama dalam membentuk semula kaedah pendekatan digunakan, dan kami berharap agar pelbagai lagi program serta aktiviti bersama komuniti akan diwujudkan selari dengan penggunaan teknologi terkini,” jelas Pengarah JAWI, Tuan Hj Mohd. Ajib Ismail.

Sebanyak 40 buah masjid di sekitar Kuala Lumpur disasarkan untuk diserapkan di bawah program ‘7 Tangkai: Jom Infak’ menjelang akhir tahun 2019.

Sehingga kini, terdapat 10 buah masjid yang telah dilengkapi dengan kemudahan kod QR dan ia terdiri daripada:

  1. Masjid Ar-Rahah, Bangsar South
  2. Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Menjalara
  3. Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati
  4. Masjid Jamek, Kampung Baru
  5. Masjid Muaz Bin Jabal, Setiawangsa
  6. Masjid Abd Ar-Rahman Auf, Taman Yarl
  7. Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru
  8. Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju
  9. Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail
  10. Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail

Foto: Bayu & Christian Dubovan (Unsplash) TNG Digital  dan  Freepik

 

Dalam al-Quran, kalimah infak disamakan maksudnya dengan nafkah, dan infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan infak tidak wajib.

Similar Articles

Agrobank BerUkhuwah Erat Silaturahim

By Nor Syariza Tahir
April 23, 2019

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019

Layari Internet Sambil Bersedekah Dengan SalamSadaqah

By Nor Syariza Tahir
April 30, 2019

Tawakal Dan Berserah Kepada Allah

By Nor Syariza Tahir
Mei 1, 2019