Jangan Lupa Bayar Zakat Fitrah

Mei 9, 2019
By Rahayu Mat Nah

Sempena bulan Ramadan ini, jangan lupa menunaikan Zakat Fitrah yang merupakan zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Perintah menunaikan Zakat Fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan dan untuk menyucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna.

Zakat Fitrah bertujuan untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaannya pada Hari Raya 1 Syawal (Aidilfitri).

Berikut adalah syarat wajib Zakat Fitrah untuk diri sendiri dan keluarga atau tanggungan:

1) Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2) Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3) Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

4) Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Kaedah pembayaran Zakat Fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:-

“Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” (Hadis riwayat Muslim)

Ini bermakna, kadar asal Zakat Fitrah adalah satu gantang dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg.

Di Malaysia, kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kilogram beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Tempoh menunaikan Zakat Fitrah terbahagi kepada 5 iaitu:-

1) Waktu Wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.

2) Waktu Afdal – Sebelum Solat Sunat Aidilfitri.

3) Waktu Sunat – Sepanjang bulan Ramadhan.

4) Waktu Makruh – Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.

5) Waktu Haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal

Sumber rujukan : https://www.zakatselangor.com.my & http://www.zakat.com.my

Kredit foto : Pille-Riin Priske, Roman Synkevych, Unsplash