IT: Chapter 2 Penuh Aksi Mendebarkan

September 11, 2019
By Khairina Fikri

IT: Chapter Two merupakan filem kesinambungan dari filem pertama IT yang dikeluarkan pada tahun 2017.

Dipenghujung filem IT, ‘The Losers Club’ telah berjanji akan kembali ke Derry sekiranya Pennywise kembali menghantui pekan mereka.

27 tahun berlalu filem kali ini, bermula dengan ‘The Losers Club’ yang telah dewasa dan mempunyai kehidupan masing-masing.

Bill (James McAvoy), Bev (Jessica Chastain), Ben (Jay Ryan), Richie (Bill Hader), Eddie (James Ransone) dan Stanley (Andy Bean) telah dikejutkan dengan panggilan telefon dari Mike (Isaiah Mustafa).

Ini bermaksud mereka harus pulang ke Derry dan melaksanakan perjanjian darah yang telah dilakukan oleh mereka dulu iaitu membunuh Pennywise yang telah bangun setelah 27 tahun berhibernasi di bawah pekan Derry.

Pembinaan plot dalam filem ini agak perlahan kerana ‘The Losers Club’ harus mencari artifak-artifak mereka secara berseorangan di sekitar pekan Derry bagi menyempurnakan upacara membunuh Pennywise.

Di sini kita dapat lihat perkembangan setiap karakter kerana babak-babak setiap karakter semasa mencari artifak diselang-selikan dengan babak yang melibatkan masa lampau mereka.

 

Sepanjang ‘The Losers Club’ mencari artifak-artifak mereka, pelbagai perkara yang aneh dan seram mula terjadi sehingga menyebabkan mereka hampir putus asa untuk membunuh Pennywise.

 

SalamToday telah berpeluang untuk menonton filem IT: Chapter Two di panggung wayang panorama ScreenX 270 darjah baru di GSC 1 Utama.

Menerusi teknologi ScreenX, filem IT: Chapter Two dipancarkan ke tiga skrin secara serentak. Satu di hadapan dan dua di sisi.

Penulis terasa seperti benar-benar berada di dalam filem ini.

Bagi yang meminati filem seram dan adegan-adegan yang akan membuat anda terkejut, pastikan anda menonton It: Chapter Two yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

 

Similar Articles