Iktikad Hati Lisa Surihani

Julai 29, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sering terlintas dalam hati kecilnya sejak bertahun-tahun lamanya, apa yang dimaksudkan dengan menjaga hubungan dengan Allah serta bagaimana untuk mendapatkan keyakinan hati mengenai setiap kegusaran yang dirasai.

Begitulah perasaan yang dirasai oleh pemilik nama Lisa Surihani Mohamed yang mengakui sekian lama dia cuba untuk memahami secara lebih mendalam tentang erti keimanan sebenar dan mencari suatu iktikad terhadap hatinya yang sering berbolak-balik.

“Selama bertahun-tahun, saya agak keliru apabila memikirkan tentang perkara-perkara yang berkaitan keimanan dan kerohanian kita.

“Saya sering terbaca di media-media sosial tentang perkara-perkara seperti ini dan ia tidak habis-habis diperdebatkan. Bukan itu saja, terdapat pula pelbagai percanggahan pemahaman mengenai hal tersebut.

“Ini membuatkan saya berasa keliru, namun menguatkan keazaman saya untuk terus mencari dan mendalami ilmu tentang keindahan Islam yang sebenar,” ujar Lisa memulakan bicara.

Mengakui cuba untuk berkhatam Al-Quran pada Ramadan tahun ini, Lisa berkata, dia pernah terbaca tips untuk mengkhatam Al-Quran pada bulan puasa adalah dengan membaca empat halaman setiap kali selesai solat fardhu.

“Apabila saya ingin memulakan amalan tersebut, Allah itu Maha Mengetahui apa kekeliruan yang bermain dalam fikiran saya dan keyakinan hati saya yang goyah pada ketika itu.

“Sebaik sahaja saya membuka Al-Quran pada halaman secara rawak, mata saya terus terpaku pada ayat yang membicarakan tentang kesopanan dan kesederhaan (modesty).

“Membaca tafsir ayat-ayat tersebut, saya berasakan ia amat menarik kerana membicarakan tentang manusia serta kesopanan dan kesederhaan dalam berpakaian.

“Lantas, saya terus berfikir tentang aspek pemakaian kita pada hari ini, tentang bagaimana ramai orang menghakimi orang lain melalui pemakaiannya,” cerita Lisa.

Tambah isteri kepada Yusry Abdul Halim ini, hatinya terus tertanya-tanya mengenai pemakaian tudung yang juga sering dijadikan bahan ukuran masyarakat terhadap kepatuhan seseorang itu dalam agamanya.

“Kita sering meletakkan penanda aras bagi keimanan seseorang Muslimah itu daripada apa yang ditunjukkannya, iaitu sama ada dia memakai hijab atau tidak.

“Namun, sebenarnya ia membuatkan saya terfikir bahawa hijab ini bukan sahaja terletak pada tudung di kepala semata-mata.

“Sebaliknya sebagai seorang yang beragama Islam, kita juga mempunyai ‘hijab’ mata, mulut, hati dan fikiran, yang bermaksud kita perlu memelihara setiap aspek tersebut untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar.

“Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kita sering menghakimi seseorang itu berdasarkan luarannya sahaja tanpa mengambil kira dalamannya atau sikapnya,” jelas ibu kepada dua cahaya mata ini.

Mengakui pernah terdetik dalam hati untuk mengenakan hijab sebelum ini, kongsi Lisa, pada ketika itu, hatinya masih kuat berteriak bertanyakan soalan ‘mengapa’?

“Kemudian, saya buntu. Saya mula bertanyakan kepada rakan-rakan mengenai perkara tersebut dan mula membaca rujukan serta bertanyakan kepada ustaz-ustaz.

“Sebab itulah saya mula latih diri untuk membaca al-Quran dan terus mencari jawapan kepada setiap kekeliruan hati selama bertahun-tahun ini,” ceritanya.

Ternyata, rezeki Lisa untuk menunaikan umrah pada bulan Jun baru-baru ini menjadi suatu titik percaturan indah daripada Allah kerana dari situlah hati Duta UNICEF Malaysia yang berusia 33 tahun ini semakin bulat terhadap setiap jawapan yang dicarinya.

Menceritakan saat-saat dirinya mendapat keyakinan untuk bertudung, Lisa berkata, pada suatu malam di bilik hotelnya di Mekah selepas usai solat Isyak, dirinya ada berdoa meminta petunjuk daripada Allah.

“Saya berdoa; Ya Allah Ya Tuhanku. Engkau mengetahui aku lebih daripada aku mengenali diri sendiri.

“Kemudian, saya berdoa agar diberi penjelasan, pemahaman dan keyakinan hati supaya hati saya tidak lagi keliru,” ujarnya.

Pada malam itu, Lisa kemudiannya berazam dalam hati untuk melakukan solat Tahajjud kerana seumur hidupnya dia tidak pernah melaksanakan solat sunat yang satu itu.

“Kuasa Allah, saya terjaga daripada tidur pada jam 3 pagi dan itulah kali pertama saya melakukan solat Tahajjud dan terus berdoa meminta petunjuk daripada Allah,” ceritanya.

Dia kemudiannya duduk sebentar sambil terlelap seketika di atas kerusi sementara menanti masuknya waktu solat Subuh kira-kira pada pukul 4.30 pagi, waktu Mekah.

“Apabila saya terjaga untuk solat Subuh, tiba-tiba ada satu perasaan halus menyelinap masuk ke dalam diri saya yang tidak dapat saya jelaskan dengan kata-kata.

“Perasaan itu amat kuat menyelinap ke seluruh pemikiran dan hati saya yang mengatakan bahawa; saya ingin berhijab,” jelas Lisa sambil menahan rasa sebak.

Mengakui pada awalnya bukan mudah untuk mengekalkan keputusan tersebut kerana syaitan sentiasa berusaha untuk membisikkan pemikiran-pemikiran yang boleh membolak-balikkan hati anak-anak Adam. Lisa berkata, keesokan harinya dia mula terfikir mengenai peluang kerja yang berkemungkinan akan terputus disebabkan imejnya yang bertudung.

“Saya mula berfikir mengenai peluang pekerjaan dan pelbagai perkara yang menimbulkan kegusaran dalam hati mengenai keputusan tersebut.

“Namun, kemudiannya saya teringat bahawa setiap rezeki kita itu datangnya daripada Allah. Jadi, kenapa saya perlu risau jika saya membuat keputusan yang tepat?

“Alhamdulillah, perasaan risau itu kemudiannya hilang begitu sahaja,” ceritanya yang pada ketika itu masih belum memberitahu Yusry mengenai keputusannya itu.

“Yusry hanya tahu tentang perkara tersebut selepas kami pulang ke Malaysia, di mana pada ketika itu saya perlu ‘Facetime’ dengannya yang sedang memandu ke tempat kerja, dan saya sedang berada dalam kereta bersama anak-anak dan ibu mentua.

“Itulah kali pertama Yusry mendapat tahu bahawa saya telah pun berhijab kerana sebelumnya, dia tidak sempat melihat bagaimana rupa saya ketika keluar dari rumah disebabkan selaku pensyarah, dia perlu keluar bekerja awal,” cerita Lisa sambil ketawa kecil.

Ditanya tentang reaksinya selepas mengetahui perkara tersebut, Lisa berkata, pada malam itu selepas Yusry pulang ke rumah, dia ada bertanyakan adakah Lisa ingin kekal bertudung.

“Saya menjawab ya, mungkin. Kenapa?”

“Dia tidak menjawab kembali soalan saya itu dan hanya memberikan senyum manis. Katanya, sebagai suami, dia hanya mampu membimbing saya, namun setiap keputusan mengenai hati, perlu datang daripada saya sendiri,” ujar Lisa yang kini sibuk mengacarakan program bual bicara yang bersiaran di Astro Prima, Tanya Doktor Imelda.

Mengakui agak secretive dan lebih gemar untuk tidak mengulas secara terbuka mengenai kisahnya yang kini bertudung, Lisa berkata, tindakan itu diambil kerana dia khuatir hatinya tidak tetap pada tempoh awal penghijrahannya itu.

“Sebagai manusia biasa, iman kita ada naik turunnya. Saya sendiri pun beberapa kali ada juga terdetik rasa berbolak-balik dalam hati mengenai perkara ini (keputusan untuk berhijab).

“Namun, saya sedang cuba untuk istiqamah dan berdoa agar Allah terus memelihara hati saya dan hati sesiapa sahaja yang kini berada dalam perjuangan yang sama dengan saya, agar perjalanan mencari keredhaan Allah ini terpelihara.

“Selain itu, saya juga takut kalau-kalau kata-kata pujian daripada orang ramai akhirnya memakan diri sendiri kerana dikhuatiri akan lahirnya perasaan riak dalam hati saya dan memesongkan niat asal saya untuk bertudung,” cerita Lisa jujur.

Akhir sekali, ditanya mengenai kata-kata nasihat yang boleh dititipkan buat sesiapa sahaja di luar sana yang sedang dalam perjalanan untuk mencari keredhaan Allah, Lisa berkata, kita hendaklah terus ‘berhubung’ dengan Allah dan laksanakan setiap perintahNya.

“Jangan sesekali terpedaya dengan bisikan-bisikan yang mengatakan bahawa kita tidak layak untuk berhubung atau beribadat kepadaNya.

“Tidak kiralah sama ada kita insan yang pernah melakukan dosa besar atau siapa pun diri kita, paling penting, teruskan berhubung dengan Allah.

“Dia yang lebih memahami hati kita. Jadi, letakkan 100% keyakinan dan harapan hanya kepada Dia.

“InsyaAllah. Segala kekeliruan hati akan dapat diperjelaskan dan perjalanan kita itu akan diberi petunjuk dan dibimbing olehNya,” katanya menutup bicara.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Lisa Surihani
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
    Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
    Teks (Bahasa Melayu) : Syariza Tahir
    Suntingan : Ili Farhana
    Pereka grafik: Asyraf Tamam
    Penata gaya : Min Luna
    Penata gaya hijab : Didiyana Ehsan
    Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana:

Gaya Pertama:

  • Skaf: LILIT
  • Busana: Maarimaia

Gaya Kedua:

  • Skaf: LILIT
  • Busana: LILIT
  • Sepatu: Mel & Molly
“Kita sering meletakkan penanda aras bagi keimanan seseorang Muslimah itu daripada apa yang ditunjukkannya, iaitu sama ada dia memakai hijab atau tidak.

Sebenarnya ia membuatkan saya terfikir bahawa hijab ini bukan sahaja terletak pada tudung di kepala semata-mata.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita juga mempunyai ‘hijab’ mata, mulut, hati dan fikiran, yang bermaksud kita perlu memelihara setiap aspek tersebut untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar.

Similar Articles

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Syurga di Hati Ziana

By Helmi Anuar
April 24, 2019

Kisah Hati Alyah

By Helmi Anuar
Mei 26, 2019

Alif Satar – Lelaki Idaman Malaya

By Helmi Anuar
Jun 16, 2019

Erra Fazira Bakal Tunaikan Ibadah Haji

By Helmi Anuar
Julai 19, 2019

Dunia Digital Fara Fauzana

By Helmi Anuar
Julai 8, 2019

Kisah Nur Fazura & Hijab Di Bulan Ramadan

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Warna Kehidupan Wawa Zainal

By Helmi Anuar
Julai 1, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: