Hukum Melakukan ‘Waxing’

Oktober 8, 2019
By Rahayu Mat Nah

Rawatan Brazilian Wax yang mula diperkenalkan di New York, Amerika Syarikat, memang cukup popular di kalangan wanita-wanita urban, dan kini di kalangan bakal pengantin, baik perempuan mahupun lelaki.

Ini kerana rawatan ini mampu membuatkan kulit tampil licin tanpa bulu roma. Berbanding dengan mencukur bulu roma, Brazilian Wax (atau Boyzilian Wax untuk lelaki) mampu bertahan sehingga enam minggu.

Bagi yang tidak pasti tentang rawatan Brazilian Wax ini, ia adalah proses pelilinan yang bertujuan untuk membuang bulu-bulu roma di tubuh badan dan juga membuang bulu ari-ari. Persoalannya, adakah Brazilian Wax ini dibenarkan dalam Islam?

Menurut artikel yang dimuat naik oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun secara umumnya mencabut atau mencukur bulu kemaluan adalah sebahagian daripada fitrah sebagai umat Islam, namun rawatan Brazilian Wax dengan tujuan membuang bulu ari-ari adalah haram jika berlaku pendedahan aurat.

Ini kerana rawatan Brazilian Wax ini selalunya akan dilakukan di spa atau pusat rawatan kecantikan serta dikenakan bayaran kepada mereka yang ingin melakukannya.

Oleh itu, ia secara tidak langsung  melibatkan dua pihak atau spesifiknya dua individu iaitu pelanggan dan juga pekerja spa yang menjalankan proses tersebut.

Menurut Islam, haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, begitu juga ada larangan bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan lain.

Aurat lelaki dengan lelaki adalah apa yang terdapat di antara pusat hingga lutut. Begitu juga aurat orang perempuan sesama perempuan adalah apa yang terdapat di antara pusat hingga lutut.

Bagaimanapun, ‘waxing’ yang melibatkan pembuangan bulu di betis, lengan atau dada, maka ianya adalah harus sekiranya yang melakukannya adalah staf yang sama jantina.

Sumber : https://muftiwp.gov.my

Foto : 123rf