Hidup Ini Satu Pengorbanan, Jadi Jangan Mengeluh

Ogos 5, 2019
By Rahayu Mat Nah

“Hidup ini perlukan pengorbanan”- itu kata-kata yang sering kita dengar. Setiap yang bernyawa pasti melalui situasi yang memerlukan pengorbanan demi kelangsungan hidup.

Kadangkala pengorbanan yang perlu dilakukan bukan kepalang dan amat pedih untuk dihadapi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Walau sekeras mana pun ujian daripada Allah, sebagai hamba taat, kita perlu ingat setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Setinggi manapun pengorbanan yang perlu anda lakukan, sudah pasti tidak sehebat pengorbanan yang perlu dilakukan oleh junjungan Nabi Ibrahim A.S.

Kalau diperhatikan bagaimana Nabi Ibrahim yang tidak memiliki anak sehingga dikatakan berusia 89 tahun, lalu dikurniakan anak-anak bernama Ismail dan Ishak, tiba-tiba diarahkan untuk ditinggalkan isterinya Sayyidatina Hajar dan anaknya, Ismail di Padang Pasir Mekah yang kering kontang.

Setelah Ismail meningkat remaja, Allah uji lagi Nabi Ibrahim dengan memerintahkan pula untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Biarpun sangat kasihkan Ismail, Nabi Ibrahim patuh dengan perintah Allah dan sanggup berkorban. Namun, Allah akhirnya menggantikannya dengan seekor kibas.

Inilah rentetan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam kehidupan baginda dan pastinya pengorbanan Baginda itu tidak akan sia-sia di sisi Allah SWT.

Hingga hari ini apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim diikuti oleh seluruh umat Islam dengan menunaikan ibadah korban.

Ibadah korban itu adalah sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah serta melatih diri agar sanggup berkorban demi Allah.

Apabila kita melakukan pengorbanan, kita hendaklah ikhlas melakukannya hanya kerana Allah SWT semata, bukan kerana yang lain.  Apabila kita lakukan kerana Allah, Allah akan memberi kita kekuatan untuk melaksanakannya.

Nabi Allah Ibrahim kuat ketika meninggalkan anak dan isteri kesayangannya, Siti Hajar juga kuat ketika mendengar mereka diperintahkan oleh Allah untuk ditinggalkan di padang pasir sehingga Hajar berkata  “Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan kami”.

Nabi Ismail juga kuat apabila mendapat tahu Allah memerintahkan ayahnya untuk menyembelihnya dengan berkata “Lakukanlah wahai Ayahanda apa yang Ayahanda diperintahkan dan nescaya Ayahanda akan mendapati aku di kalangan orang yang sabar,” (Surah al-Saffat, 102).

Ini semua dapat dilakukan kerana keikhlasan mereka dalam mencari keredhaan Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian, kita juga perlu ikhlas dalam melakukan setiap perkara. Jangan suka mengungkit perkara-perkara yang telah anda lakukan.

Jika anda sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak kecil yang perlu dijaga, mungkin anda perlu mengorbankan kerjaya untuk memastikan kebajikan anak-anak terjaga.

Jangan anggap pengorbanan anda itu sia-sia kerana besar pahala yang menunggu anda di akhirat nanti. Begitu juga pengorbanan yang perlu dilakukan demi kesihatan ibu dan ayah.

Mungkin anda perlu korban masa dan wang ringgit untuk memastikan ibu dan bapa mendapat rawatan yang terbaik. Jangan mengeluh kerana itu semua adalah ujian daripada Allah. Allah mahu melihat sejauh mana ketaatan kita kepada Allah SWT.

Anggaplah pengorbanan anda itu satu ibadah. Dengan adanya perasaan sebegini maka kita akan mampu mengawal diri agar tidak mudah merasa kecewa dan marah. Ambil iktibar, hidup ini penuh dengan ujian yang menuntut pengorbanan.

Orang yang baik dan soleh Allah SWT akan sentiasa uji dengan pelbagai ujian. Namun, tidak perlu gusar kerana ujian-ujian tersebut hanya sementara sifatnya, dan selepas itu Allah SWT akan memberikan kesenangan pula kepadanya sepertimana Firmah Allah SWT mafhumnya:

“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kesenangan, bersama kesulitan itu ada kesenangan…” (Surah al-Insyirah, ayat 6-7).

Orang yang mampu bersabar dalam menghadapi ujian hidup, nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki melimpah ruah baginya dan memberkati rezeki yang dia berikan itu.

Hidup ini ialah suatu pengorbanan dan ujian dan beruntunglah bagi mereka yang tidak mengeluh apabila berhadapan dengan ujian-ujian ini dan redha dengan apa yang Allah SWT anugerahkan sama ada baik mahupun buruk.

Sumber: https://ikimfm.my / www.kosmo.com.my

Kredit foto : Francisco Moreno, The Honest Company, Unsplash & https://annur2.net

Similar Articles

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019

Kepayahan Itu Satu Ujian, Kebahagiaan Juga Satu Ujian

By Nor Syariza Tahir
Julai 22, 2019

Sakit Itu Penghapus Dosa, Syukur Dengan Ujian Allah

By Rahayu Mat Nah
Julai 14, 2019