Hari-Hari Yang Diharamkan dan Dimakruhkan Berpuasa

Julai 3, 2019
By Nor Syariza Tahir

Selain puasa Ramadan yang diwajibkan kepada setiap umat Islam, terdapat juga puasa-puasa sunat yang boleh dilakukan sepanjang tahun.

Seperti dalam artikel bertajuk ‘Hari-Hari Yang Disunatkan Berpuasa‘ sebelum ini, SalamToday telah menyenaraikan hari-hari yang disunatkan untuk berpuasa sebagai panduan anda dalam melaksanakan ibadah sunat tersebut.

Bagaimanapun, jangan lupa bahawa terdapat juga hari-hari yang diharamkan dan dimakruhkan untuk berpuasa.

Berikut kami senaraikan hari-hari tersebut agar dapat dijadikan panduan supaya anda tidak tersilap berpuasa pada hari-hari yang dimaksudkan.

 

Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan untuk umat Islam setelah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Justeru itu, Allah S.W.T. melarang kita untuk berpuasa pada 1 Syawal kerana ia adalah sebagai tanda kita bersyukur ke atas nikmat hari raya yang dikurniakan.

 

Hari Raya Aidiladha

Pada Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 10 Zulhijjah, umat Islam disunatkan untuk menyembelih haiwan sebagai korban. Justeru, kita dilarang untuk berpuasa pada hari tersebut.

Dari Umar bin Khathab ra, dia berkata: “Sesungguhnya Rasulallah S.A.W. melarang berpuasa di kedua hari raya. Pada hari raya Aidilfitri kamu berbuka puasamu dan pada hari raya Aidil Adha kamu makan daging korbanmu.” – HR Bukhari dan Muslim.

 

Puasa Hari Tasyrik

Hari Tasyrik jatuh dalam tiga hari berturut-turut sesudah Hari Raya Aidiladha, iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Daripada riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. mengutus Abdullah bin Hudzaifah agar mengelilingi Kota Mina serta menyampaikan: “Janganlah kamu berpuasa pada hari ini kerana ia merupakan hari makan, minum, dan berzikir kepada Allah.”

Puasa hari Jumaat, Sabtu atau Ahad (secara tunggal)

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya.” – HR Bukhari dan Muslim.

Para ulama menyatakan bahawa larangan yang dinyatakan di atas adalah larangan yang tidak putus (makruh). Ini kerana hari tersebut adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi.

Larangan yang sama (makruh) turut diberikan bagi yang berpuasa pada hari Sabtu (dilakukan secara tunggal), kerana ia juga merupakan hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi.

Manakala puasa hari Ahad semata-mata (secara tunggal) juga adalah makruh kerana ia merupakan hari yang diagung-agungkan oleh kaum Nasrani.

Bagaimanapun, sekiranya ibadat puasa sunat itu dicantumkan pada hari sebelumnya atau selepasnya, puasa sunat tersebut tidak dikira makruh kerana ia tidak lagi menyerupai amalan yang dilakukan mana-mana kaum.

Selain itu, puasa kita itu juga tidak menjadi makruh jika ia dikerjakan pada semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad, sekiranya hari-hari itu dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti hari Asyura atau hari Arafah yang jatuh pada hari berkenaan.

 

Puasa Hari Syak

Hari Syak jatuh pada 30 Syaban, di mana kebiasannya akan timbul keraguan sama ada bulan Ramadan tiba pada keesokan harinya, atau tidak. Disebabkan itulah ia digelar ‘hari syak’. Bagaimanapun, berpuasa pada hari tersebut dibolehkan jika seseorang itu perlu mengqada’ puasa Ramadannya pada tahun sebelumnya.

 

Puasa Sunat Seorang Wanita Tanpa Izin Suami

Sebelum menunaikan puasa sunat, seorang wanita yang sudah bergelar isteri haruslah mendapatkan keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.

Jika suaminya tidak memberi keizinan namun dia tetap berpuasa, maka suami mempunyai hak untuk memaksa isteri berbuka dan tidaklah halal untuk isteri yang melakukan puasa tanpa mendapat izin daripada suami.

Ini kerana hak suami sangat wajib untuk dilakukan dan merupakan fardu untuk seorang isteri, sementara puasa sunat hukumnya adalah sunat, dan kewajipan tidak boleh ditinggalkan demi mengejar sunat semata-mata.

Larangan ini dijelaskan menerusi sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud: “Tidak halal bagi isteri berpuasa sunat sedangkan suaminya ada di sisinya, melainkan dengan izin suami.” – HR Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Abu Daud ditambah: “Melainkan dalam bulan Ramadan”.

Foto: David McEachan, Engin Akyurt, Rawpixel.com & Tim Fuzail (Pexels)

Bagaimanapun, jangan lupa bahawa terdapat juga hari-hari yang diharamkan dan dimakruhkan untuk berpuasa.

Similar Articles

10 Tip Puasa Untuk Ibu Hamil

By Rahayu Mat Nah
Mei 16, 2019

11 Manfaat Ibadah Puasa

By Rahayu Mat Nah
Mei 27, 2019

Air Nabeez Sumber Tenaga Ketika Berpuasa

By Helmi Anuar
Mei 23, 2019

Hari-Hari Yang Disunatkan Berpuasa

By Nor Syariza Tahir
Julai 1, 2019

Fidyah Itu Wajib, Kena Puasa & Bayar Denda

By Rahayu Mat Nah
Mei 13, 2019

Kelebihan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal

By Helmi Anuar
Jun 9, 2019