‘Geran’ Papar Aksi Seni Silat Dan Ketengah Isu Harta Pusaka

Oktober 8, 2019
By Nor Syariza Tahir

Memang tidak dapat dinafikan bahawa filem tempatan bercorak aksi sering mendapat tempat di hati penonton.

Tidak kiralah sama ada filem aksi polis, perlumbaan kereta, jenayah, penyiasatan atau seni mempertahankan diri, kebiasaannya menerima sambutan yang menggalakkan.

Menyedari trend itu, Layar Pictures Sdn. Bhd. (Layar Pictures) memilih untuk menghasilkan sebuah filem aksi berjudul Geran yang mengetengahkan aksi seni silat yang begitu dekat dengan masyarakat Melayu.

Diarahkan oleh Areel Abu Bakar, Geran ternyata sebuah filem aksi yang unik dan tersendiri kerana menerapkan elemen persilatan dalam babak-babak aksi.

“Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus sejak lima tahun lalu kerana Malaysia kekurangan action actor yang mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.

“Jadi, Layar Pictures cuba memberi peluang kepada penggiat seni bela diri untuk menyertai industri perfileman.

“Ini adalah salah satu langkah kami untuk memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa,” ujar Areel tentang filem pertama arahannya itu.

Mengenai pemilihan pelakon, Areel memberitahu, ia dibuat semasa sesi uji bakat di gelanggang silat serta pada pertandingan silat di sekitar utara tanah air.

Manakala untuk penggambaran pula, ia dibuat sekitar Disember 2017 dan awal Januari 2018 selama 36 hari di sekitar negeri Kedah.

Dalam pada itu, ketika ditanya cabaran untuk menghasilkan Geran, Areel berkata, antara yang terpaksa dihadapi adalah dari segi kewangan memandangkan mereka tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

“Namun begitu, sesi penggambaran berjalan dengan lancar kerana 90 peratus pelakon yang terlibat dalam filem ini mempunyai asas dalam seni bela diri silat,” jelasnya yang sebelum ini terlibat dengan penghasilan video pendek.

Geran berkisarkan tentang sebuah keluarga petani yang diasak dan diugut oleh seorang lintah darat yang berpengaruh supaya menggadaikan tanah mereka.

Namun, keluarga yang ditunjangi oleh anak sulung yang berani dan gagah, Ali (Khoharullah) ini terus bangkit melawan demi maruah keluarga.

Ali dan adik perempuannya, Fatimah (Feiyna Taj) berasa amat marah dan kesal dengan adik bongsu mereka, Mat Arip (Fad Anuar) yang tidak pulang ke rumah membawa bersama geran tanah pusaka.

Mat Arip sebaliknya terlibat dengan kumpulan pemuda liar yang terbabit dengan aktiviti perlumbaan kereta secara haram dan perjudian selain mencagarkan geran tanah pusaka kepada lintah darat.

Sebagai abang sulung dan anak lelaki yang berani, Ali bertanggungjawab untuk mencari dan membawa pulang Mat Arip kembali ke pangkuan ayah mereka, Pak Nayan (Namron).

Mampukah Ali mempertahankan hak keluarga mereka?

Saksikan filem yang dibintangi oleh Namron, Khoharullah, Feiyna Taj, Fad Anuar, Taiyuddin Bakar, Niezam Zaidi, Adam Shahz, Megat Shahrizal, Aeril Zafrel dan Azlan Komeng ini.

Ia bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 10 Oktober 2019.

 

Foto: Empire Film Solution

Geran berkisarkan tentang sebuah keluarga petani yang diasak dan diugut oleh seorang lintah darat yang berpengaruh supaya menggadaikan tanah mereka.