Fidyah Itu Wajib, Kena Puasa & Bayar Denda

Mei 13, 2019
By Rahayu Mat Nah

Sempat tak ganti puasa tahun lalu? Kalau tak sempat, anda tahu bukan yang kena bayar Fidyah? Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib bulan Ramadan atas sebab-sebab tertentu dan tidak mengganti puasanya sebelum Ramadan tahun berikutnya.

Hukum membayar Fidyah ini adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Kadar bayaran Fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pihak berwajib di setiap negeri. Pengiraan kadar Fidyah pula berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras Fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

 

Siapa yang wajib bayar Fidyah?

  1. Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

  1. Wanita hamil

Dengan syarat jika berpuasa boleh menjejaskan keselamatan kandungan seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar Fidyah dan juga menggantikan puasa yang ditinggalkan.

  1. Ibu yang menyusukan anak

Dengan syarat ibu berasa bimbang akan ia boleh memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka dia boleh menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

  1. Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran Fidyahnya oleh waris-waris mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

  1. Musafir dan pesakit yang tidak menganti puasa pada tahun ia ditinggalkan

Musafir dan pesakit yang tidak menganti puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menganti puasanya dan membayar Fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

  1. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah ke Ramadan tahun berikutnya perlu membayar Fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran Fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

 

Kadar Fidyah

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Kadar bayaran Fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, menetapkan kadar RM4.00 untuk secupak beras.

 

Cara Bayar Fidyah Dan Pengiraannya Di Malaysia

Di Malaysia bayaran Fidyah dilaksanakan melalui agensi yang sudah dilantik iaitu Pusat Zakat di negeri masing-masing. Berikut adalah kiraan Fidyah di Malaysia.

1) Kadar Fidyah

2) Bilangan Hari Tidak Puasa

3) Bilangan Tahun (tahun gandaan)

Formula mudahnya – (Kadar Fidyah*) X (Bilangan Hari Tidak Puasa) X (Bilangan Tahun)

*Mengikut ketetapan negeri masing-masing.

Menyentuh tentang konsep gandaan yang dikatakan perlu dibayar, ia sebenarnya bergantung kepada tahan kemampuan seseorang individu itu. Jika mampu, bolehlah membayar Fidyah mengikut gandaan. Jika tidak mampu, tidak perlu menggandakan fidyah tersebut.

Untuk memudahkan anda mengira jumlah Fidyah yang perlu dibayar, kini anda sudah boleh menggunakan kalkulator online yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing seperti :

Sumber rujukan :

Kredit foto : Andrew Seaman, Sharon McCutcheon, Unsplash

Similar Articles