Escape Plan: The Extractors Penuh Aksi Mendebarkan

Julai 14, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bintang filem aksi dari China, Zhang Jin, ‘bertempur’ di persada filem Hollywood dengan bergandingan bersama lagenda filem aksi, Sylvester Stallone dalam sekuel terbaharu, Escape Plan: The Extractors.

Filem ketiga dan terakhir dalam rangkaian Escape Plan ini turut membawa kembali watak Dave Bautista sebagai Trent DeRosa yang muncul dalam sekuel kedua, Escape Plan 2: Hades.

Sama seperti dua filem terdahulu, sekuel ketiga ini turut mengisahkan tentang operasi melarikan diri dari penjara yang digelar ‘Devil’s Station’.

Dalam filem ini, Ray Breslin (Sylvester Stallone) bersama Trent, Shen Lao (Zhang Jin) dan Bao (Harry Shum Jr), bersatu sebagai satu pasukan penyelamat dalam misi menyelamatkan anak perempuan seorang taikun syarikat teknologi yang diculik, lakonan Malese Jow (Daya Zhang).

Pada kali ini, Ray bukan sahaja berdepan dengan musuh sadis iaitu anak kepada bekas musuhnya, malahan teman wanitanya, Abigail (Jaime King) turut ditahan di penjara ‘Devil’s Station’ yang amat menggerunkan.

Pasti jantung penonton berdegup kencang menonton pelbagai aksi mendebarkan dalam filem ini.

Sebelum ini, dalam filem asal Escape Plan, Ray beraksi sebagai pakar pelarian penjara atau pakar keselamatan yang menghabiskan sepanjang hidupnya dengan keluar dan masuk penjara untuk mempelajari reka bentuk serta mengeksploitasi kelemahan penjara.

Sekuel berikutnya, Escape Plan 2: Hades memaparkan aksi Ray dan Trent yang menyelinap masuk ke penjara Hades berteknologi tinggi yang paling rumit untuk menyelamatkan pembantunya yang telah diculik.

Manakala untuk sekuel ketiga ini, kekaguman Stallone terhadap seni mempertahankan diri Zhang Jin telah menarik perhatiannya untuk mengundang bintang itu untuk turut berlakon bersama.

Ini adalah kali kedua Zhang Jin bekerjasama dengan Bautista, selepas filem Master Z: The Ip Man Legacy.

Escape Plan: The Extractors adalah filem arahan John Herzfeld, dengan skrip yang ditulis oleh Miles Chapman.

Filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 11 Julai 2019.

Foto: Click Entertainment

 

Sama seperti dua filem terdahulu, sekuel ketiga ini turut mengisahkan tentang operasi melarikan diri dari penjara yang digelar ‘Devil’s Station’.

Similar Articles