Erti Syukur Yang Sebenar

April 19, 2019
By Helmi Anuar

Pernahkah sejenak dalam hidup kita, tercetus perasaan syukur terhadap ujian ataupun musibah yang terjadi kepada kita?

Lazimnya sebagai manusia, kita sering bersyukur tatkala dikurniakan rezeki, mendapat kesihatan yang baik serta mendapat perkhabaran yang baik.

Namun pernahkah kita bersyukur tatkala menerima ujian kecil mahupun berat yang diizinkan Allah SWT untuk terjadi kepada kita?

Sebagai contoh, jika anda sedang diuji dengan kerja yang menimbun mahupun berasa lelah untuk bertahan, pernahkah anda terfikir betapa ramai lagi manusia yang ingin berada di tempat anda?

Seringkali kita mendengar bahawa jika kita fikir sedang diuji dengan hebat, ada lagi manusia lain yang lebih hebat ujiannya.

Untuk menghadapi segala ujian dan kesulitan ini, dekatkanlah diri dengan Maha Pencipta. Kadangkala ujian yang diberi adalah isyarat daripada Tuhan supaya kita sentiasa berdoa dan meminta kepadanya.

Bukankah doa saat kita sedang melalui ujian yang berat itu lebih terasa keikhlasannya serta betapa dekatnya diri kita dengan Yang Maha Kuasa?

Cubalah renungkan hadith ini:

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

Jangan lupa juga tentang hadith ini:

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)

Apa kata mulai detik ini, kita cuba positifkan diri dan bersyukur di atas segala apa yang diberi. Percayalah jika kita sabar dan redha, ketika itulah Allah akan melapangkan dada kita dan anda akan menemui 1001 jalan penyelesaian untuk segala permasalahan yang sedang dilalui.

Sumber Hadis : www.islam.gov.my
Sumber Foto : dtberdaya.org

Similar Articles

7 Cara Atasi Rasa Kurang Keyakinan Diri

By Rahayu Mat Nah
April 9, 2019

Mencarut Sudah Menjadi Tabiat?

By Helmi Anuar
April 15, 2019

Suami Curang, 5 Cara Menghadapinya

By Rahayu Mat Nah
April 12, 2019