Erra Fazira – Ceritera Sang Primadona

April 29, 2019
By Helmi Anuar

Lama juga kami menunggu untuk mendapatkan tarikh sesi penggambaran superstar yang satu ini. Akhirnya kami diberikan satu tarikh tetap iaitu 16 April 2019, sehari sebelum majlis rasmi pelancaran SalamToday. Tatkala pengurus projek memberitahu saya tentang tarikh ini, tanpa berfikir panjang saya terus kata, “Yes, lock her date!

Kerja gila juga  kerana pada waktu itu kami sepasukan sibuk bukan kepalang. Namun jadual jelitawan nan satu ini juga begitu padat, mana mungkin kami lepaskan peluang ini untuk melakukan penggambaran bersama primadona Erra Fazira!

Lantas kami menghubungi pereka fesyen yang semakin menempa nama di persada fesyen Malaysia iaitu Amaze Atelier untuk menyiapkan rekaan busana khas bagi penggambaran muka depan isu ini. Salah satu runway piece daripada pereka fesyen Seth & Luna juga ditempah kami untuk penggambaran ini.

Erra tiba di White Studio milik jurufoto terkenal Bustamam Mokthar tanpa secalit solekan. Gementar juga rasanya berdepan dengan primadona yang satu ini.  Namun Erra orangnya sangat cool, dan sangat mesra melayan tanpa mengira siapa pun anda.

Sewaktu sedang ditatarias oleh jurusolek Ary Muzamer, kami sempat terpegun melihat kejelitaan wajah bekas Ratu Cantik Malaysia World 1992 ini. Bentuk wajah Erra terletak cantik, persis sebuah patung bernyawa. Memang layak beliau dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia. Seakan tidak percaya juga usianya sudah mencecah 45 tahun pada tahun ini.

Kami sempat memuji kejelitaan wajahnya yang seakan tidak dimamah usia. Namun Erra sentiasa membumi tatkala dipuji.

Ala, kita rasa kita dah berisi la sekarang ini. Tapi untuk usia sebegini lebih baik berisi sedikit supaya ada bahagian yang tidak nampak terlalu berusia atau kendur,” tuturnya manja.

 

Tanya kami lagi, adakah satu tekanan buat Erra kerana seringkali dikaitkan sebagai artis yang memiliki wajah yang jelita di Malaysia?

Yes, it’s a pressure! Bagi saya, saya kena pisahkan di antara kerja dan peribadi. Di luar saya tak ada tekanan langsung untuk mencantikkan diri. Kalau kat luar kadang-kadang kawan-kawan saya pun complaint, you’re too simple! Bergayalah sikit. Tetapi secara dasarnya saya bukan orang seperti itu. I don’t want to be someone else. Saya rasa saya dah penat bergaya bila saya bekerja. Muka ini asyik dengan make-up sahaja bila saya bekerja. Bila waktu saya tidak bekerja dan bersama anak, itulah masa untuk saya jadi diri sendiri. Nanti saya lupa pula identiti diri. Saya ada dua karakter yang orang kena tahu. When I am Fazira Wan Chek, saya tak ada pressure langsung untuk kelihatan cantik. But being Erra Fazira is another story. Saya buat research nak buat penampilan macam mana. Lebih sukar menjadi Erra Fazira daripada Fazira Wan Chek.”

 

Kembali Merakam Lagu Baru

Tahun ini, selepas 10 tahun tidak muncul dengan lagu baru, Erra bakal kembali menyemarakkan industri muzik tanah air dengan sebuah single baru ciptaan Hafiz Hamidun dan Iman Imran berjudul ‘Menangkah Cinta’.

“Sebenarnya niat untuk merakam single tu memang dah ada lama, tetapi waktu itu saya masih menunggu lagu yang betul-betul kena dengan saya. Tambahan pula waktu itu tiada pihak yang betul-betul push saya untuk keluarkan single baru. Tetapi kini sejak saya bernaung di bawah syarikat Mind Order, mereka yang selalu push saya jadi saya pun buat. Lagi pula memang perkara ini sudah dibincangkan sejak saya bernaung bersama mereka.”

Walaupun bakal muncul dengan single baharu,  bidang nyanyian bukan lagi menjadi keutamaan kepada Erra.

“Sebenarnya sekarang saya masih lagi buat show nyanyian andai kena dengan masa. It’s just that it’s not my priority anymore. Tidak dinafikan dari segi income, menyanyi lebih lumayan. Satu persembahan boleh cover bayaran untuk satu telemovie. Tapi dari segi kepuasan berbeza. Saya lebih stress untuk membuat persembahan nyanyian daripada berlakon. Kalau dulu mungkin mudah bagi saya kerana saya sering membuat persembahan nyanyian dan ia sudah menjadi rutin. Sekarang saya perlukan masa at least seminggu untuk membuat latihan dan persiapan.”

Kini ada satu lagi bidang baru yang diceburi Erra iaitu memberi ceramah motivasi serta berkongsi pengalaman kepada orang ramai dalam seminar-seminar yang dianjurkan. Erra sering diundang untuk memberikan motivasi tentang kecantikan, keyakinan diri serta penampilan.

“Pada permulaannya saya rasa macam sedikit susah sebab ini adalah benda baru buat saya. Saya perlukan masa untuk melakukan kajian kerana saya tidak mahu sekadar tangkap muat. Once you dah tahu apa yang you nak buat, naik pentas akan jadi senang. Saya suka bercakap atau berkongsi perkara yang saya sudah buat research jadi lebih senang untuk saya berkongsi.”

 

Semakin Dekatkan Diri Dengan Agama

Jika anda merupakan pengikut akaun Instagram Erra Fazira, pasti anda mengikuti perkembangan Erra yang banyak mengikuti kelas mengaji dan program-program agama. Kata Erra kini beliau mahukan kehidupan yang seimbang di antara dunia dan akhirat.

I like my life now. At one time dulu hidup saya memang kerja, kerja, kerja sahaja. Sekarang as much as possible saya nak ada kehidupan yang balance. Yang paling penting sekarang adalah bekalan untuk di Sana nanti. Saya rasa ini juga adalah salah satu proses dalam usia. Apa lagi yang nak dicapai dalam kerjaya? Akan tiba masanya you will reach at one point, that’s it! Kalau kita tak ketuk diri kita untuk kearah lebih baik kita akan terus leka dengan dunia. Saya tarik diri saya dan saya rasa it’s about time dan saya suka dengan apa yang saya buat sekarang. Ini juga contoh kepada anak saya Aleesya. Saya perlu jadi lebih bijak dalam mendidik anak saya.”

Soal kami lagi adakah perubahan diri Erra sekarang hanya untuk mendidik Aleesya yang semakin dewasa? Jawabnya,

Banyak faktor, salah satunya faktor usia, kematangan serta kesedaran diri. Sebenarnya sebelum ada anak pun kita sudah perlu ada kesedaran ‘sampai bila aku nak macam ni?’ Dan saya tarik diri saya sedikit demi sedikit untuk tekan break daripada terus terbang. Bukan bermaksud saya tidak mahu terus berkembang, tetapi saya mahu tone down a bit. Saya mahu balance dan lebih relax. Yes, tak dinafikan saya perlu beri contoh yang baik kepada anak, tetapi itu bukan alasan utama saya berhijrah. Sebab yang paling utama adalah kesedaran diri dan kematangan.”

“Allah dah jentik hati saya untuk ke arah itu. Sebagai contoh, saya pakai tudung. Sebenarnya daripada muda dulu saya sudah terdetik mahu memakai tudung. Tetapi waktu itu saya masih teragak-agak sampai akhirnya bertahun saya tangguh. Nak dapatkan perasaan itu balik agak susah. Dari situ saya belajar, bila Tuhan jentik hati kita, jangan biarkan. Grab that opportunity dan pegang dengan erat.”

 

Tiga Kali Terdetik Mahu Berhijab

Berbicara mengenai keputusannya untuk akhirnya memakai hijab sepenuhnya, kongsi Erra sebenarnya ada tiga peringkat dalam hidupnya yang beliau terdetik untuk memakai tudung.

Kali pertama saya terdetik untuk memakai tudung adalah sewaktu zaman sekolah. Waktu tu saya nak pakai tapi mak tak bagi. Lepas tu zaman usia saya 20-an nak masuk 30-an. Nak sangat pakai tapi waktu tu fikir tengah kerja dan banyak tanggungan. Nak tunggu perasaan terdetik nak pakai tudung tu lagi sekali lambat sangat. Hingga satu peringkat saya rasa nak pakai sebab umur pun dah meningkat. Tetapi waktu itu saya masih memikirkan tentang kerja saya yang memerlukan keterampilan hebat dan orang pula kenal kita dengan imej yang ‘wow.’

Akhirnya saya beristiqarah dan tanya kepada Allah minta petunjuk. Saya kata Ya Allah, aku nak pakai tudung, tapi banyak perkara yang menghalang aku, berilah aku petunjuk, tolonglah aku nak sangat pakai tudung. Saya pakai tudung bukan kerana disuruh orang. Disuruh orang lagi saya tak pakai. Adalah satu ketika dulu disuruh-suruh. Memang no! Tapi waktu saya minta petunjuk itu memang saya dah ready.  I was just worried about my work. Tanggungan saya besar.”

“Tiba-tiba Allah bagi saya petunjuk. Apa yang saya mintak tu Allah bagi sampai saya rasa macam terpana. Ini jawapan dia, Allah bagi depan mata. Waktu tu saya rasa okey anytime now. Tapi saya tidak mahu beritahu orang lagi. Saya perbaiki diri dulu sebelum mula pakai tudung. Saya sudah mula masuk kelas agama dan mengaji balik untuk mendekatkan diri dengan Allah. Saya tidak mahu berhijrah tetapi dalaman masih kosong.”

Dan akhirnya Erra memakai hijab sepenuhnya pada malam mulia Nisfu Syaaban tahun 2015.

 

Primadona Yang Tiada Galang Ganti

Lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri hiburan Malaysia. Sudah berpuluh filem yang dibintanginya. Deretan filem-filem box office tertulis cantik dalam resume kerjaya seni Erra Fazira sehingga melayakkan beliau digelar primadona filem Melayu alaf baru. Sewaktu kerjayanya di kemuncak, penggiat seni sempat risau siapakah yang bakal mengganti kedudukannya sebagai heroin filem nombor satu negara. Sehingga ke hari ini, tiada siapa yang boleh menggugat kedudukan Erra sebagai primadona alaf baru. Bukannya tiada pelakon yang diramal bakal menjadi ‘The Next Erra Fazira’ tetapi kemilau perjalanan seni mereka malap di pertengahan jalan. Lantas menjadikan Erra terus unggul memegang takhta sebagai primadona dan antara pelakon paling mahal di Malaysia.

“Saya rasa ini adalah rezeki Allah. Kenapa saya dapat gelaran primadona itu mungkin untuk tempoh satu dekad dahulu, back to back wajah saya saja. Saya rasa itu mungkin faktor yang membuatkan orang menggelar saya dengan jolokan ‘Primadona.’ Bukan tidak ada pengganti atau pelapis, ramai sebenarnya. Tetapi mungkin juga zaman dah berubah, rentak itu pun cepat berubah. Kalau dulu mungkin anda boleh kekal 10 tahun steady, sekarang ini lima tahun pun susah. Tetapi dari segi kualiti dan pakej saya rasa kita ada ramai sekarang. Mungkin jangka hayat zaman kegemilangan itu agak pendek. Kalau kita lihat zaman sekarang, pelakon lelaki lebih menguasai bidang filem. Pelakon perempuan kebanyakkan menyerlah di kaca televisyen. Jika ditanya pada saya siapa yang mungkin bergelar the next primadona, mungkin Maya Karin.”

Sepanjang bergelar selebriti, jarang sekali kita mendengar cerita buruk mengenai Erra Fazira malah hampir tiada. Rata-rata senang dengan sikap Erra yang begitu professional dan merendah diri biarpun sudah bergelar seorang primadona.
Sempat Erra berseloroh kepada saya kalau ada cerita yang tidak enaknya tentangnya pun pasti cerita perihal hubungan cintanya yang sering kecundang.

Bukan sekali dua Erra kecundang di dalam percintaan, rumahtangga yang dibina pernah dua kali runtuh di pertengahan jalan. Malah Erra juga pernah putus tunang sehingga menggemparkan industri hiburan tanah air. Terbaru, hubungannya bersama seorang penyanyi dikatakan sudah menemui titik noktah, namun wanita cekal ini tidak pernah sesekali menutup pintu hatinya untuk insan yang bergelar lelaki.

Tak pernah! I never give up! Rugi kalau kita ada perasaan fade-up. Sebab kebahagiaan itu masih harus dicari waima sampai ke tua pun kita tetap mencari kebahagiaan,” luah Erra mengakhiri perbualan kami.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Erra Fazira
    Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
    Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
    Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
    Suntingan : Ili Farhana
    Pereka grafik: Asyraf Tamam
    Penata gaya : Helmi Anuar
    Jurusolek : Ary Muzamer
    Penata Gaya Hijab : The Latifi
    Busana : Amaze Atelier & Seth and Luna

 

Saya ada dua karakter yang orang kena tahu. When I am Fazira Wan Chek, saya tak ada pressure langsung untuk kelihatan cantik. But being Erra Fazira is another story.

Similar Articles

Aura Ziana Zain Belum Pudar

By Helmi Anuar
April 16, 2019

Syurga di Hati Ziana

By Helmi Anuar
April 24, 2019

Di Sebalik Tabir Wajah Salam Pertama SalamToday, The ‘Fabulous Ziana Zain’

By Shah Shamshiri
April 19, 2019