Elyana Buat Konsert Untuk Bantu Pesakit Kanser

April 22, 2019
By Rahayu Mat Nah

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kalis Rindu’, Erneelya Elyana Emrizal atau nama pentasnya Elyana sekali lagi membuat kejutan kepada industri hiburan negara. Biarpun sedang bertarung dengan penyakit kanser limfoma tahap empat, Elyana kini bersedia untuk tampil dengan konsert solo.

Konsert yang diberi nama Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert itu bakal diadakan pada 6 Julai hadapan bertempat di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara, Selangor.

Menurut penyanyi berusia 32 ini, selain meraikan tempoh 19 tahun berada di dalam industri muzik tempatan, dia mengambil keputusan untuk mengadakan konsert solo kerana ingin memberi inspirasi kepada pesakit-pesakit kanser supaya jangan berputus asa dalam melawan penyakit yang dihidapi.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya mahu mengadakan konsert dalam situasi sebegini? Why not? Saya mahu memberi inspirasi kepada semua pesakit kanser di luar sana supaya jangan sesekali berputus asa atau meratapi nasib sehingga tidak mahu menjalani hidup dengan baik.”

“Saya mahu mereka lihat apa yang boleh saya lakukan. Saya mahu mereka berfikir, kalau saya boleh buat konsert dalam keadaan sakit, mereka juga boleh lakukan perkara yang mereka mahukan. Saya mahu mereka  terus berjuang melawan penyakit.”

“Sebagai pesakit kanser, ia bukan satu sebab untuk kita meratapi nasib, sebaliknya menjadi manusia yang lebih menghargai kehidupan, kesihatan dan juga kena ingat, segala sesuatu yang terjadi adalah atas izin Allah yang sayangkan kita,” ujar Elyana meluahkan rasa ketika ditemui di majlis pengumuman konsert itu di The Red Box, The Gardens Mall pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Elyana turut memaklumkan konsertnya itu mendapat kerjasama dan sokongan daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

“Menerusi konsert ini saya juga akan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada MAKNA.  Saya  berharap sumbangan yang saya berikan ini boleh membantu peminat-peminat  yang senasib dengan saya,” ujar Elyana.

Selain bekerjasama dengan MAKNA, konsert ini juga merupakan satu projek kolaborasi bersama Red Box Karaoke Group dan Shopee.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan yang cukup istimewa dan penuh makna daripada Elyana pada 6 Julai 2019 kelak.

Harga tiket dijual pada harga RM159 dan pembelian awal atau early bird (terhad untuk 100 orang) dijual pada harga RM139. Manakala tiket untuk ‘meet & greet’ yang juga terhad kepada 100 orang terawal pula dijual pada harga RM 199.

Untuk pembelian tiket, sila layari www.shopee.com.my mahupun aplikasi SHOPEE untuk maklumat lanjut.

 

Kredit foto : Aiem Rahman / MRS Production