‘Ejen Ali The Movie’ Animasi Bertaraf Dunia!

November 28, 2019
By Shah Shamshiri

Industri filem tempatan terus bergerak maju dengan lahirnya makin banyak filem-filem animasi yang berkualiti. Terbaru filem ‘Ejen Ali The Movie’ menyertai rangkaian filem-filem hebat yang dimaksudkan tadi.

Filem terbitan Primework Studios ini adalah berdasarkan sebuah permainan video tempatan yang dihasilkan tidak lama dahulu oleh tenaga kerja Media Prima Digital.

Dan kini, ia menemui para penonton di layar lebar dalam sebuah filem yang sangat luar biasa!

Menampilkan jalan cerita yang kukuh dan juga seni visual yang benar-benar hebat, ‘Ejen Ali The Movie’ memberi peluang kepada para penggiat industri animasi tempatan untuk pergi lebih jauh dalam menghasilkan karya yang mampu dibanggakan dan berkualiti.

Filem yang tetap menonjolkan budaya Malaysia ini berjaya juga mengetengahkan pesanan-pesanan positif serta pengajaran buat yang menonton tanpa mengira usia, bangsa dan agama.

Ia mengisahkan tentang Ali seorang anak muda yang juga sebenarnya seorang ejen rahsia dengan peralatan yang hebat. Dia dan dua orang rakan ejennya sentiasa dipanggil untuk menyelesaikan sebarang masalah jenayah yang berlaku di bandar Cyber Raya.

Walau bagaimanapun, Ali mula berhadapan dengan beberapa masalah selepas gagal mengawal salah satu ciri kuasa peranti yang dia sering gunakan semasa bertempur dengan pihak musuh.

Sungguhpun begitu dia terus menjalankan tugasnya seperti biasa sehinggalah bertemu dengan seseorang yang bernama Nikki, yang juga mempunyai peralatan berkuasa hebat. Ali yang pada mulanya ingin cuba menghalang Nikki daripada melakukan jenayah akhirnya berubah fikiran selepas mendapat tahu asal-usul Nikki. Ini menyebabkan Ali menjadi serba salah dan mula dicurigai oleh rakan-rakan ejennya yang lain.

Yang pasti dari permulaan filem sehinggalah penghujung, ‘Ejen Ali The Movie’ padat dengan babak yang mengasyikkan dan membuat penonton fokus kepada jalan cerita yang harus diberi pujian tinggi kerana sama tarafnya dengan filem animasi antarabangsa.

Lebih membanggakan, seni visual yang dilayarkan untuk tatapan penonton mampu menjadi penanda aras untuk filem-filem animasi tempatan lain yang ingin bersaing dengan sihat.

SalamToday berbangga dengan hasil kerja anak Malaysia ini kerana ia benar-benar satu usaha yang melebihi jangkaan dan mampu membuka mata penonton antarabangsa.

Jadi pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton ‘Ejen Ali The Movie’ di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 28 November 2019!

 

Similar Articles

BoBoiBoy Movie 2 Ditayangkan Serentak di 5 Buah Negara Pada 8 Ogos

By Nor Syariza Tahir
Jun 26, 2019

2 Filem Disney Yang Ditunggu-tunggu Peminat

By Rahayu Mat Nah
Julai 1, 2019

Konsert Animasi Didi & Friends Ogos Hadapan

By Rahayu Mat Nah
April 29, 2019

Nezha Tampilkan Kelainan Animasi Negara China

By Shah Shamshiri
September 30, 2019

Studio Animasi KRU di KidZania, Kuala Lumpur

By Rahayu Mat Nah
Jun 10, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: