Dunia Baru Shila Amzah

Jun 3, 2019
By Nor Syariza Tahir

Hampir 2 dekad memahat nama sebagai anak seni, nyatakan apa sahaja yang belum pernah dirasai atau dialami oleh wanita bernama Shila Amzah ini.

Mula bertatih dalam industri seawal usia 10 tahun, berlari, terjatuh, terjerumus lantas bangkit kembali dengan lebih kuat tanpa menoleh ke belakang, ternyata karier wanita berusia 29 tahun ini ada tersimpan pelbagai kisah suka dan duka, jatuh dan bangun.

Namun, bagi pemilik nama NurShahila binti Amir Amzah ini, beliau tidak pernah sekali pun berasa putus asa, malahan terus melangkah yakin dengan kerjayanya yang semakin mekar berkembang.

Menyorot kisah bermulanya kehidupan sebagai seorang anak seni, Shila yang kini sedang mengandungkan anak sulungnya mengakui bukan mudah untuk memulakan karier sebagai penyanyi cilik.

“Sebelum saya mengeluarkan album pertama pada umur 10 tahun, abah bertanya kepada saya adakah saya benar-benar nekad untuk menjadi penyanyi kerana ada banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Sebagai seorang kanak-kanak yang berumur 9 ke 10 tahun pada ketika itu, apalah erti pengorbanan yang kita faham, bukan? Saya hanya bersetuju tanpa memahami dengan jelas tentang segala ranjau duri yang menanti saya,” ujarnya mengimbau saat awal sebelum dia bergelar penyanyi.

Menurut Shila, segala cabaran mula terlihat ketika dia mencecah umur remaja, di mana dia mula berasa tidak bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya, selain turut berasa terpinggir di sekolah atas stigma negatif masyarakat.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya mempunyai abah yang telah lama berkecimpung dalam industri seni dan dialah yang banyak membimbing saya serta mengatur perjalanan karier saya sehinggalah saya menjadi benar-benar dewasa dari segi pemikiran dan karier nyanyian,” kata anak kepada penyanyi popular pada zaman 80-an dan 90-an ini, Datuk ND Lala.

Pernah terpalit dengan kontroversi yang menjadi sejarah hitam dalam dunia kerjayanya, Shila menganggap itu semua menjadi pengajaran terhebat buatnya agar dia lebih matang dalam bertindak balas terhadap apa-apa sahaja kritikan negatif orang di luar sana.

 

Aladdin dan Puteri Jasmine Buka Lembaran Baharu

Enggan lagi menoleh ke belakang, Shila kini melangkah dengan lebih yakin ke dunia baharu dengan meminjamkan suara sebagai watak Puteri Jasmine dalam filem keluaran Disney, Aladdin versi live action dalam bahasa Malaysia.

“Ia bagaikan sebuah mimpi zaman kanak-kanak yang menjadi kenyataan! Iyalah, sebagai seorang kanak-kanak perempuan, pasti kita membesar dengan kisah-kisah dongeng puteri-puteri. Saya juga pastinya pernah berangan untuk menjadi sehebat Princess Jasmine. Siapa sangka akhirnya saya sendiri berpeluang untuk melakokankan watak puteri yang berani itu. Ini adalah rezeki anak dalam kandungan ini yang sangat tak terduga dan saya sangat bersyukur diberi peluang ini,” cerita Shila.

Mengakui beliau amat terkejut dan tidak menjangkakan untuk diterima selepas menghadiri sesi uji bakat, Shila pada awalnya meramalkan perjalanan kariernya akan sedikit malap sepanjang tempoh kehamilannya.

“Namun, mungkin inilah yang dikatakan rezeki anak. Saya sendiri tidak menjangka pihak Walt Disney memilih saya untuk watak Princess Jasmine dan menyanyikan lagu Speechless (Raungan Suara) dan A Whole New World (Dunia Baru) dalam versi bahasa Malaysia.

“Seumur hidup saya, memang tidak pernah terlibat dalam projek alih suara, dan ini merupakan sesuatu yang baharu dalam kehidupan peribadi dan karier saya. Malah, sebelum ini pun saya pernah menyuarakan hasrat kepada pihak pengurusan untuk terlibat dalam projek filem muzikal atau Broadway. Alhamdulillah, Aladdin merupakan suatu kurniaan rezeki yang sangat saya hargai,” tuturnya yang berduet dengan penyanyi dan komposer berbakat, Hael Husaini untuk lagu Dunia Baru.

Karier Yang Mekar Di China

Mula dikenali dalam kalangan para peminat di China pada tahun 2012 apabila dia menjuarai pertandingan nyanyian, Asian Wave, nama Shila terus mekar dan diterima baik oleh para peminat di sana. Malah, wanita ini boleh berkata dengan bangga bahawa dia menjadi ikon penyanyi berhijab yang disanjung tinggi oleh peminat tanpa membezakan latar belakang agama dan budaya.

“Saya berasa gembira kerana para peminat dan pihak pengurusan saya di sana sangat memahami dan menghormati perbezaan agama dan budaya kita dengan mereka. Misalnya, dalam apa-apa acara, jika ada peminat yang ingin bergambar bersama, pihak pengurusan sejak awal-awal lagi akan memaklumkan kepada peminat bahawa peminat lelaki tidak dibenarkan memeluk saya.

“Dan mereka menghormati keputusan itu, walaupun pernah juga berlaku situasi di mana ada peminat yang cuba bertindak di luar kawalan. Namun, mereka pantas dihalang oleh pihak pengurusan saya,” ujarnya yang kini memang fasih berbahasa Mandarin.

Ditanya mengenai perkembangan semasa kariernya di China, Shila berkata, dia baru sahaja selesai merakamkan tiga buah lagu berbahasa Mandarin yang akan menghiburkan halwa telinga para peminatnya di sana sejurus dia habis berpantang nanti.

“Disebabkan saya sedang mengandung, saya tidak berada di sana, dan saya memaklumkan para peminat bahawa saya akan kembali aktif pada tahun depan dengan pelbagai perancangan yang telah diatur oleh pihak pengurusan,” katanya yang mengakui mempunyai lebih ramai peminat lelaki berbanding perempuan di China.

Beraya Sebagai Seorang Isteri dan Bakal Ibu

Melangkah ke alam rumah tangga pada bulan April 2018, Shila yang kini sedang hamil enam bulan memberitahu dia dan suami, Haris Idraki Elias, akan beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga Shila.

“Raya keempat kami akan pulang ke kampung di Banting dan seterusnya kampung suami di Melaka. Raya keenam mungkin kami akan kembali ke Kuala Lumpur sebelum saya kembali bekerja. Kami juga akan pulang ke rumah mentua saya di United Kingdom (UK) selama 10 hari untuk beraya di sana pula.

“Saya sebenarnya suka beraya di UK kerana keluarga mentua sangat cool dan santai. Ibu mentua saya pula seorang tukang masak yang hebat. Saya amat menggemari rendang tok, lemang atau kuah kacang sate yang dimasaknya sendiri,” ceritanya yang menyambut 1 Syawal kali pertama bersama suami pada tahun lepas di UK.

Bertanya mengenai kisah pengalaman berayanya ketika membesar, Shila berkata, dia dan keluarga pernah melalui raya yang suram kerana keadaan kewangan keluarga yang kurang mengizinkan ketika itu.

“Abah tidak dapat membelikan baju raya untuk kami adik-beradik dan tak dapat pulang beraya di kampung pada masa itu. Bagaimanapun, saya menganggap perkara itu sebagai suatu pengalaman berharga yang mengajar saya untuk menyambut raya dengan sederhana dan tidak perlu berbelanja besar untuk membeli segala kelengkapan baharu. Itu yang membuatkan saya lebih menghargai kedatangan Aidilfitri,” ujarnya.

Teruja menantikan kelahiran cahaya mata lelaki pada bulan September ini, Shila mengakui dia kini sedang giat bersiap sedia untuk menjadi seorang ibu dengan memperbanyakkan bacaan mengenai ilmu keibubapaan.

“Saya dan suami banyak membaca tentang hal-hal keibubapaan selain mengambil iktibar daripada contoh tauladan ibu dan bapa dalam membesarkan kami. Saya tahu, bukan mudah untuk membesarkan anak lelaki, namun saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi ibu yang baik kepada anak saya,” ujarnya yang belum sempat membeli-belah barangan kelengkapan bayi kerana terlalu sibuk dengan road show Aladdin.

 

19 Tahun Yang Berwarna-Warni

“Meskipun pelbagai cabaran telah mendatang dan perjalanan karier yang tidak mudah, namun berwarna-warni, apa yang boleh saya katakan adalah, saya kini sedang melalui kehidupan yang indah. Sementara saya masih diterima peminat dalam dan luar negara, saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mereka semua,” katanya yang meminati lagu-lagu daripada kumpulan Paramore.

Ditanya tentang nasihat yang boleh diberi kepada generasi muda, Shila mengingatkan golongan muda agar jangan terlalu leka dengan kehidupan dan sentiasa beringat untuk hari tua.

“Jangan terlalu banyak bekerja sehingga melebihi kemampuan kerana kita nak hidup lama. Kena sentiasa tenang, enjoy and live the moment, namun masih dalam keadaan berpada-pada,” katanya menutup bicara.

Di sebalik Wajah Salam

Gaya Pertama:

  • Skaf: Tattiya KL
  • Dress panjang: Milik Penata Gaya

Gaya Kedua:

Similar Articles

Aura Ziana Zain Belum Pudar

By Helmi Anuar
April 16, 2019

Erra Fazira – Ceritera Sang Primadona

By Helmi Anuar
April 29, 2019

Kemilau Bintang Ummi Nazeera

By Ili Farhana
Mei 19, 2019

Kisah Hati Alyah

By Helmi Anuar
Mei 26, 2019

Kisah Nur Fazura & Hijab Di Bulan Ramadan

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Magis Shila Amzah dan Hael Husaini Hidupkan Irama Aladdin

By Nor Syariza Tahir
Mei 15, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Syurga di Hati Ziana

By Helmi Anuar
April 24, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: