Datin Fouziah Gous, Membina Empayar

November 4, 2019
By Ili Farhana

Fouziah Gous is not just another pretty face. Cekal, berani dan gigihnya beliau menongkah arus keusahawanan perlu diberikan pujian. Sayang sekali jika ada yang menyangka beliau hanyalah seorang pelakon dan model cantik yang hanya menempelkan nama dan wajahnya pada produk jualannya.

Buat mereka yang kurang mengenali, Datin Hajjah Fouziah Gous ialah seorang mantan pramugari yang mula menceburi bidang lakonan filem dan televisyen pada sekitar tahun 2005. Beliau juga seorang model dan pengacara televisyen. Pada tahun 2013, beliau mendirikan rumahtangga dengan Datuk Mohd. Zhafran Md. Yusof dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusof.

Walaupun sudah kurang tampil di filem ataupun siri televisyen, tetapi kepetahan Fouziah Gous bercerita boleh disaksikan di slot Go Shopnya, ataupun di acara-acara kongsi ilmu perniagaan. Ya, beliau sekarang lebih selesa menggalas tugas sebagai seorang usahawan. Kegigihannya membina empayarnya terbayar apabila beliau dianugerahkan anugerah 100 Top Young CEO 2019 Wanita Dalam Perniagaan baru-baru ini.

Satu pagi kami habiskan bersama wanita bijak ini, banyak yang kami pelajari. Bukan hanya perjalanannya membangunkan FG Walet, perniagaan minuman sarang burungnya yang sedang maju sekarang, tapi kami juga belajar tentang pengurusan masa, tenaga dan pentingnya ilmu dalam semua hal yang diceburi.

 

Tentang FG Walet.

Banyak selebriti wanita yang menceburi bidang perniagaan pasti bermula dengan perniagaan kosmetik atau pakaian. Tetapi pelakon yang satu ini terjun ke bidang minuman sarang burung tulen. Berbeza sungguh.

“Saya sukakan hal-hal yang berkaitan dengan agrikultur, tapi bagaimana pula saya mahu bercucuk tanam dan sebagainya. Saya juga ada sejenis ekzema dan antara cara meredakan ekzema saya adalah dengan mengamalkan minuman sarang burung. Jarang kita dengar sebenarnya minuman sarang burung yang tulen dan mudah diminum. Kalau mahu minum yang tulen selalunya harus beli di kedai-kedai perubatan tradisional Cina dan rebus sendiri di rumah, boleh tahan renyahnya.”

“Lalu saya jadikan ini sebagai titik permulaan perniagaan saya. Saya betul-betul mulakan FG Walet sekitar tahun 2011. Belajar dan mengkaji itu ini. Mulanya saya ingin jual di kedai-kedai seperti farmasi, tetapi tak jadi. Harganya menjadi terlalu mahal. Waktu itu perniagaan online belum terkenal.”

“Kemudian saya berkahwin dan berehat sebentar. Selepas itu saya cuba lagi, tetapi kali ini online. Memang boleh jual tetapi cabarannya bukan main lagi. Saya tak ada reference. Saya benar-benar menjadi pelopor, dan saya perlu cuba educate para pembeli, apa sebenarnya khasiat minuman sarang burung, dan apa beza yang tulen dan ‘kordial’.

“Selepas melihat penjualan yang memberangsangkan online, saya tekad. Saya betul-betul mahu menjual minuman sarang burung ini. Ia benar-benar tulen, tak ada fungus. Seperti masak sendiri di rumah. Ini minuman sarang burung FG Walet yang premium.”

“Selepas itu timbul pula idea untuk buat minuman kesihatan yang mudah didapati di mana-mana, seperti di kedai-kedai di stesen minyak. Saya selalu berhenti di kedai seperti itu untuk cari minuman tetapi selalunya pasti banyak gula, walaupun dilabelkan sebagai minuman kesihatan.”

“Lalu saya hubungi pakar R&D (penyelidikan dan pembangunan) saya untuk cuba mencari jalan bagaimana minuman sarang burung boleh dijadikan minuman kesihatan dengan kemasan menarik dan mudah didapati. Sekarang, sudah ada minuman kesihatan FG Walet di kedai-kedai. Ada minuman sarang burung dengan aloe vera dan gula batu, longan dan madu, serta red dates dan wolf berry. Untuk mereka yang menghidap penyakit diabetes atau mahu menguruskan badan, saya sediakan campuran dengan lua han guo dan longan.”

“Kebaikan minuman sarang burung ini bukan untuk saya sahaja. Ia boleh diamalkan oleh seisi keluarga.”

“Percaya atau tidak, keluarga saya sendiri pada mulanya ragu-ragu dengan keputusan saya untuk membuka perusahaan minuman sarang burung tulen, tetapi saya mahu jadi  pelopor bidang ini. Belum ada produk minuman sarang burung yang diusahakan oleh syarikat milik bumiputera, mempunyai pengiktirafan halal daripada JAKIM serta pelbagai lagi sijil pengiktifaran kualiti antarabangsa.”

“It’s a long journey, orang saja yang tak nampak. Saya memang buat saja, dengan research sendiri dan reference sendiri. Memang perlu banyak research. Apa yang kita mahu ceritakan kepada para pembeli kita tentang produk kita? Kita perlu ada ilmu, perlu ada product knowledge.”

“Antara pencapaian yang membanggakan adalah apabila kami telah pecahkan rekod Go Shop dengan menjual 1000 set (3000 kotak) dalam masa sembilan jam sahaja. Ia merupakan kali pertama produk premium mencecah rekod tersebut. Tahun ini juga kami mula mengeksport minuman kami ke Vietnam.”

 

Tentang Masa dan ‘Expectation’

Selepas panjang lebar Datin Fouziah bercerita tentang FG Walet, kami bertanya kepada beliau tentang hal menguruskan waktu. Ini jawabnya.

“Pada saya, hidup menjadi jauh lebih mudah jika masa dan expectations diuruskan dengan betul. Kenal pasti fokus dan arah tuju juga sangat membantu tetapi menguruskan expectations dan kesabaran jauh lebih penting.”

“Contohnya, saya sangat teliti dengan hal-hal grafik. Tetapi susah untuk cari orang yang arif dalam hal-hal grafik dan bijak menulis, terutamanya untuk media sosial. Jadi jika ada post di Instagram yang kurang memuaskan hati, saya tak boleh mengamuk, stuck dan give up. Yang tahu tentang cela post itu saya seorang saja. Jadi saya tidak boleh think too much tentang perkara itu. Saya perlu teruskan dengan hal-hal berbangkit yang lain.”

“Itu yang saya maksudkan dengan expectation. Kalau saya tunggu semuanya sempurna baru bergerak, tak mungkin saya akan sampai di peringkat ini sekarang.”

 

Tentang Fighters Den Muay Thai Gym

Bukan sahaja usahawan minuman, tetapi Datin Fouziah juga memiliki sebuah gym muay thai!

“Gym saya tak ada aircond. Kipas saja. Dan trainers kami bukan trainers biasa, mereka memang muay thai fighters. Saya dan kawan saya bermuay thai di tempat lain, kemudian jumpa trainers yang bagus jadi saya dan kawan train di anjung rumah saja. Tapi lama-kelamaan rasa apa salahnya jika buka gym.”

“Jadi kami bukalah di kawasan perumahan di Bukit Jelutung untuk berkongsi ‘nikmat’ dengan orang lain. Kami jadikan gym ini mesra keluarga dan ia juga dilengkapi dengan ring muay thai, biar lengkap pengalaman muay thai mereka yang datang. Muay thai ini full body workout ya. Pasti betul-betul peluh. Dan ia juga membantu dengan fokus untuk aktiviti seharian kita.”

 

Nasihat Untuk Anak Muda Yang Mahu Berniaga

Jadi apa nasihat Datin Fouziah Gous agaknya untuk anak muda di luar sana yang mahu mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan?

“Know what you want to do. Kalau sekadar ‘main jual’ apa-apa saja, anda sebenarnya tak sabar dan ada potensi tinggi untuk berhenti separuh jalan. Kenal pasti juga adakah ia sesuatu yang mahu dijalankan untuk jangka masa panjang atau singkat.”

“Dulu saya pernah jual tudung, mungkin sekitar waktu Neelofa mahu memulakan perniagaannya juga. Duduk di rumah, letak di Instagram dan 300 helai terjual sekelip mata. Tetapi masa itu saya tahu saya mahu ia menjadi sekadar side income sahaja, bukan long term business. You must know what you want to do. Dan kalau untuk long term plan, kita perlu berbeza dengan orang lain.”

“Jangan lupa untuk kenali risiko jugak. Ada orang yang kata kenapa perlu fikirkan hal yang negatif, tetapi pada saya, jika kita tahu risiko dalam perniagaan kita, kita boleh jadikan ia sesuatu yang positif yang boleh membantu memajukan perniagaan.”

 

Tentang ‘Sara Sajeeda’

Setelah lama tidak muncul di siri televisyen, Datin Fouziah membuat ‘comeback’ di siri ‘Sara Sajeeda.’

“Lama juga saya tidak berlakon. Tawaran itu ada, tetapi saya sibuk dengan perniagaan, jadi haruslah memilih bagaimana saya bahagikan waktu saya. Saya pilih ‘Sara Sajeeda’ kerana saya tertarik dengan ‘pakej’ jalan cerita dan watak yang ditawarkan. Saya tidak melakonkan watak utama, jadi saya tidak perlu ke Pakistan dan tidak perlu habiskan banyak masa di set.”

“Menarik  dan mencabar jugalah melakonkan watak seorang  wanita yang bercinta dengan lelaki yang lebih muda. Tapi sebenarnya saya kurang berpuas hati dengan lakonan saya sebab saya rasa saya ‘lambat panas enjin.’ Kalau setiap hari berlakon pasti mudah. Sudahlah begitu, saya rasa sedikit kekok kerana lama tidak berlakon. Lupa teknik itu ini. Selain daripada itu, semuanya baik-baik saja.”

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Datin Hajjah Fouziah Gous
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Ili Farhana
  • Suntingan : Shah Shamshiri
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam
  • Penata Gaya & Penata Gaya Hijab : Zura Ahmad, dibantu oleh Shireen
  • Konsep & Arahan Seni : Zura Ahmad
  • Jurusolek : Bobo Cinta
  • Busana :
  • Gaya pertama:
  • Jaket ‘hoodie’ dan ‘pleated skirt’: The Hashtag
  • Anak tudung: Blancheur
  • Kasut stilettos: Milik Datin Fouziah Gous
  • Gaya kedua:
  • ‘Dress’ putih: Hans Hussein
  • Jaket merah: The Hashtag
  • Anak tudung: Blancheur
  • Cekak ‘padded’ biru: Simply K
  • Kasut stilettos: Milik Datin Fouziah Gous
Hidup menjadi jauh lebih mudah jika masa dan 'expectations' diuruskan dengan betul. Mengenal pasti fokus dan arah tuju juga sangat membantu tetapi menguruskan 'expectations' dan kesabaran jauh lebih penting.

Similar Articles

Warna Kehidupan Wawa Zainal

By Helmi Anuar
Julai 1, 2019

‘The New’ Sarah Hildebrand

By Helmi Anuar
Ogos 5, 2019

“Saya Hampir Berhenti” – Sarah Raissuddin

By Helmi Anuar
Jun 23, 2019

Wanita-Wanita Luar Biasa: Bunga, Nor ‘Phoenix’ Diana & Nurul Shamsul

By Ili Farhana
Oktober 14, 2019

Uyaina Arshad Terbang Tinggi

By Nor Syariza Tahir
September 17, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: