Bolehkah Perokok Menjadi Imam?

November 26, 2019
By Ili Farhana

Kami terjumpa persoalan ini sewaktu melayari laman web Mufti Wilayah Persekutuan tempoh hari dan terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua tentangnya.

Seperti yang kita tahu, pada 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram. Sebelum itu, pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

Jadi, bagaimanakah solat kita jika kita berimamkan seorang perokok kerana ia bermaksud orang itu telah melakukan perkara yang haram.

Laman Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan syarat-syarat menjadi seorang imam  daripada kitab Fiqh al-Manhaji  adalah seperti berikut:

  1. Makmum tidak mengetahui atau meyakini bahawa solat imamnya batal. Contohnya, dua orang berijtihad tentang arah kiblat, dan setiap orang meyakini arah kiblat yang berlainan. Oleh itu tidak harus seseorang daripada mereka menjadi imam kepada yang lain. Ini kerana setiap orang daripada mereka yakin arah rakannya salah dan solatnya ke arah tersebut tidak sah.
  2. Imam bukan seorang ummi (buta huruf) sedangkan makmumnya seorang qari (fasih bacaannya). Yang dimaksudkan dengan ummi ialah seorang yang tidak teliti bacaan fatihahnya sehingga mencacatkan bacaannya seperti tercicir huruf, syaddah dan sebagainya. Walau bagaimanapun jika kedua-duanya sama sahaja bolehlah setiap orang menjadi imam kepada yang lainnya.
  3.  Imam bukan seorang perempuan sedangkan makmumnya seorang lelaki. Seorang lelaki tidak boleh berimamkan seorang perempuan. Namun jika kedua-duanya perempuan bolehlah setiap orang menjadi imam kepada yang lain. Hal ini berdasarkan kepada hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلاً

Maksudnya: “Perempuan jangan menjadi imam kepada seorang lelaki.” (Riwayat Ibn Majah (1134) )

 

Laman yang sama juga telah menyenaraikan sifat-sifat yang digalakkan ada pada imam menurut para ulama. Ia berdasarkan daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِى السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِى الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِناً

Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.” (Riwayat Muslim (613) )

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat).

Namun jika bertembung antara mana yang lebih adhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat Jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat (ms. 308).

Lagi sekali kami mahu ingatkan bahawa menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Justeru tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah.

Tetapi janganlah pula anda meninggalkan solat berjemaah di satu-satu tempat hanya kerana imamnya seorang perokok. Sebaiknya kita patut bersama-sama membantu mengubah tabiat buruk ini dengan nasihat dan doa sebagai saudara seIslam.

Wallahua’lam.

 

Sumber: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan 

Gambar oleh: Mikael Seegen di Unsplash

Similar Articles

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: