Bolehkah Pakaian Tidur Dibawa Solat?

September 10, 2019
By Nor Syariza Tahir

Setiap pagi, apabila kita bangun daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh, apakah pakaian yang sering kita pakai untuk bersolat?

Adakah kita sekadar memakai pakaian tidur yang sama dan terus menyarung telekung (bagi wanita) atau menukar kepada pakaian lain terlebih dahulu?

Pernahkah kita terfikir apakah hukum memakai pakaian tidur ketika bersolat?

Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakai pakaian tidur untuk solat adalah harus selagi mana pakaian tersebut suci, bersih dan menutup aurat.

Akan tetapi, kita digalakkan untuk memakai pakaian yang lebih elok, kemas dan sesuai kerana ia merupakan satu persediaan untuk menghadap Allah Yang Maha Esa.

Berdasarkan hukum ini, marilah kita sama-sama memahami konsep memakai pakaian yang bersih untuk bersolat.

Terdapat enam syarat sah solat, dan salah satu daripadanya adalah membersihkan badan,tempat solat dan pakaian seseorang itu.

Lebih khusus lagi, pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih daripada segala najis. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Muddatthir, ayat 4 yang bermaksud:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di dalam tafsirnya berkata bahawa yang dimaksudkan juga dalam ayat tersebut adalah membersihkan pakaian daripada najis.

Ini kerana ia merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya dalam solat.

Oleh sebab itu, kita diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.

Selain itu, seelok-eloknya, kita hendaklah menggantikan pakaian tersebut kepada pakaian yang lebih sesuai sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)” – Surah Al-‘Araf, ayat 31.

Justeru, berbalik kepada persoalan utama sebentar tadi, kita dibolehkan memakai pakaian tidur untuk bersolat, namun, ia hendaklah suci, bersih dan menutup aurat.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Ali Arapoğlu & Rawpixel (Pexels), Rifky Nur Setyadi & Utsman Media (Unsplash)

Lebih khusus lagi, pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih daripada segala najis. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Muddatthir, ayat 4 yang bermaksud: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

Similar Articles

7 Langkah Mencapai Khusyuk Dalam Solat

By Nor Syariza Tahir
Jun 14, 2019

Tidak Bangun Solat Subuh Kerana Di Kencing Syaitan?

By Rahayu Mat Nah
Ogos 22, 2019

Cara Mendisiplinkan Diri Untuk Bersolat Pada Awal Waktu

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019