Bendera Merah? Jangan Risau Masih Boleh Kumpul Pahala

Mei 7, 2019
By Rahayu Mat Nah

Bulan Ramadan adalah waktu di mana umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala. Ini kerana pada bulan mulia ini, Allah menjanjikan pahala berganda. Bagaimanapun, golongan wanita sering berada dalam dilema apabila ‘teman baik’ datang berkunjung.

Jadi, apabila berada dalam haid atau masih mempunyai darah nifas (selepas bersalin) anda semestinya haram untuk berpuasa. Tetapi janganlah cepat kecewa, tidak dapat berpuasa bukan bermakna anda tidak boleh mengumpul pahala sebanyak yang boleh.

Masih ada cara untuk merebut peluang meraih pahala yang dijanjikan Allah walaupun tidak boleh berpuasa, solat atau beriktikaf di masjid.

Jom semak amalan alternatif yang boleh diamalkan:-

 

1) Memberi makan orang kepada mereka yang berpuasa

Memberi makanan kepada orang untuk berbuka puasa memiliki ganjaran yang sangat besar. Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyadush Shalihin, mengungkapkan, Rasulullah SAW sangat gemar memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Zaid bin Khalid Al Juhanny. Ia berkata bahawa Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa memberi buka (makan) orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

2) Bersedekah

Bersedekah terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sedekah itu pula bukanlah semestinya dalam jumlah yang banyak, sedikit pun mencukupi asalkan ikhlas.

Ketahuilah, Allah SWT melipat gandakan pahala orang yang bersedekah. Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak. (Al-Hadid: 18)

 

3) Menguruskan keluarga

Rutin harian sebagai seorang isteri juga menjemput pahala yang banyak. Sediakan pakaian suami untuk keluar bekerja, menyiapkan anak-anak ke sekolah serta berpesan kepada mereka untuk melakukan perkara yang baik-baik sudah memadai.

Rasullullah SAW bersabda, “Barang siapa yang melakukan perbuatan yang baik maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang yang melakukan itu setelahnya tanpa kurang sedikitpun. Barangsiapa yang melakukan perbuatan buruk maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang yang menirunya tanpa kurang sedikitpun”. (Hadis riwayat Muslim)

4) Penuhi masa dengan berzikir

Jika punya masa terluang, penuhi masa itu dengan berzikir kepada Allah SAW. Tidak susah pun, boleh lakukan ketika melakukan kerja-kerja rumah, memandu ke tempat kerja atau pulang ke rumah, atau pun ketika sedang menyedia juadah berbuka puasa dan bersahur.

 

5) Menghadiri atau menghayati majlis-majlis ilmu

Biarpun tidak boleh Solat, anda masih boleh mengikuti majlis-majlis ilmu yang diadakan di surau, masjid atau pun secara online. InsyaAllah anda akan mendapat keberkataanNya.

 

6) Menyebarkan kebaikan di laman media sosial

Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga mengawal nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan keburukan. Sempena Ramadan ini ambil kesempatan menyebarkan perkara-perkara baik menerusi akaun sosial media masing-masing. Contohnya muat naik foto atau kata-kata motivasi yang mengajak rakan-rakan anda melakukan kebaikan.

Sumber : muis.org.my

Kredit foto : Natasha Kasim, Kazuend, Hari Nandakumar, Unsplash