Benarkah Doa Mampu Ubah Takdir Seseorang?

Julai 9, 2019
By Rahayu Mat Nah

Ketika dilanda musibah, pasti ramai orang di sekeliling anda akan berpesan supaya banyakkan berdoa kepada Allah. Ini kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan pasti akan membantu setiap hamba-Nya.

Jika ingin dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditemukan dengan jodoh yang baik-baik, serta dimudahkan segala urusan, banyakkanlah berdoa kepada Allah.

Orang yang malas berdoa hanya akan merugikan diri sendiri. Ini kerana mereka seolah-olah menunjukkan keangkuhannya sebagai hamba, bagaikan ia tidak memerlukan bantuan Allah.

Mungkin kehidupan anda ketika ini penuh ceria, tiada kata duka dalam kamus hidup anda, tetapi ingatlah, langit tidak selalunya cerah. Setiap hamba Allah pasti akan diuji tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin.

Oleh itu berdoalah, kerana hanya Allah yang mampu memberi kebebasan daripada segala kerumitan. Dari Salman Al-Farsi R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya di hadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi adakah benar doa boleh mengubah takdir seorang? Menjawab persoalan ini, Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias ada menjelaskan tentang takdir mengikut pandangan ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.

Jelas beliau terdapat dua jenis takdir yang ditetapkan oleh Allah iaitu Taqdir Mubram dan Taqdir Mu’allaq.

Taqdir Mubram adalah takdir yang muktamad dan ia tertulis di Luh Mahfuz. Ia adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. Contohnya hidup atau mati.

Sementara Taqdir Mu’allaq adalah takdir yang tertulis, yang boleh tetap dan boleh berubah dengan kehendak Allah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia.

Mu’allaq bererti tergantung. Ia adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara.

Contohnya panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturahim dan amal kebajikan yang lain, seperti dalam sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya:

“Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).

Bukankah manusia disuruh berdoa dan Allah akan memakbulkan doanya. Sebelum berdoa silakan berusaha, berikhtiar dan bertawakal sebab Allah juga mengatakan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Similar Articles

#SalamTodayRamadan- Berserah Kepada Allah

By Ili Farhana
Jun 2, 2019

7 Langkah Mencapai Khusyuk Dalam Solat

By Nor Syariza Tahir
Jun 14, 2019

Doa Untuk Hindari Perasaan Cemburu

By Helmi Anuar
April 23, 2019

Hari-Hari Yang Disunatkan Berpuasa

By Nor Syariza Tahir
Julai 1, 2019

Jangan Kumpul Dosa Percuma Hanya Kerana Bersalaman

By Rahayu Mat Nah
Mei 30, 2019

Kisah Nabi Yunus Dan Kelebihan Zikir Nabi Yunus

By Nor Syariza Tahir
Julai 8, 2019