Bangun Dan Teruskan Melangkah Dengan Berani

Ogos 16, 2019
By Nor Syariza Tahir

Pernahkah anda berada dalam satu situasi di mana anda berasa takut untuk menghadapi masa depan yang belum pasti?

Mungkin juga anda berasa tidak mempunyai keteguhan hati atau keyakinan yang tinggi untuk berdepan dengan apa sahaja cabaran dan ujian yang mendatang.

Misalnya, jika anda mempunyai kerjaya yang sangat disukai dan anda memberikan seluruh jiwa raga kepada kerjaya tersebut selama bertahun-tahun lamanya.

Sehinggalah tibanya suatu ketika apabila anda perlu meninggalkan kerjaya tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pada waktu tersebut, pasti anda berasa takut, kurang keyakinan diri, hati berasa tidak tenteram dan ragu-ragu untuk melalui hari-hari yang mendatang kerana anda perlu keluar dari zon selesa dan melalui kehidupan baharu yang masih belum pasti keadaannya.

Malahan, mungkin ada yang terdetik untuk tidak meneruskan langkah itu kerana rasa takut yang menguasai diri sehinggakan tidak berani untuk membuat keputusan yang besar.

Sebagai seorang manusia biasa, perasaan sebegitu sebenarnya adalah normal dan sering berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina.

Namun, apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah bagaimana kita melawan perasaan takut itu, menguatkan hati dan bingkas bangun berjalan dengan penuh keberanian.

Itulah yang akan menjadikan diri kita sebagai seorang ‘pahlawan’ yang berani ‘bertempur’ di ‘medan peperangan’ kehidupan.

5 Cara Untuk Menjadi Seorang Yang Berani

Jadi, bagaimanakah caranya untuk menjadi seorang yang berani dalam menghadapi apa sahaja ujian yang mendatang dan kekal berkeyakinan dalam mendepani masa depan yang masih kabur?

Berikut kami senaraikan lima cara yang boleh anda ikuti.

 

1. Sentiasa berfikiran positif

Ada kalanya kita terlalu banyak berfikir perkara-perkara yang negatif sehingga membuatkan aura negatif menyusup masuk ke seluruh pemikiran kita.

Keadaan ini boleh dielakkan jika kita mengawal pemikiran daripada berfikir perkara yang negatif dan menggantikannya dengan perkara-perkara yang positif.

Jadi, jika anda berasa takut, sentiasalah berfikir perkara-perkara positif dan membayangkan situasi-situasi yang baik kerana ia dapat menyuntik keberanian dalam diri kita untuk menghadapi perkara tersebut.

 

2. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai

Dalam hidup kita, pasti kita mempunyai seorang atau dua individu yang paling kita percayai, bukan? Jadi, luahkan segala ketakutan kita itu kepada individu tersebut.

Jika mereka benar-benar orang yang boleh kita harapkan, pasti mereka akan memberi kata-kata semangat kepada kita agar kita lebih berani untuk bertindak. Bukan itu sahaja, secara tidak langsung kita juga dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi kerana kita telah meluahkan perasaan tersebut dan berkongsi dengan orang lain.

 

3. Menjauhi individu yang negatif dan ‘toksik’

Sering kita mendengar mengenai individu-individu yang bersikap ‘toksik’ iaitu mereka yang gemar bersikap negatif dan sentiasa berfikiran negatif.

Individu sebegini seeloknya dihindari terutamanya jika kita sedang menghadapi masalah atau berada dalam keadaan tertekan. Ini kerana dengan sikap mereka yang sering berprasangka buruk itu, pasti mereka akan menyebarkan idealogi-idealogi yang negatif kepada kita dan secara tidak langsung akan melemahkan semangat kita.

Jadi, kurangkan terdedah dengan individu seperti ini dan banyakkan bergaul dengan mereka yang sering bersikap positif.

 

4. Cabar diri sendiri

Cuba cabar diri sendiri untuk melawan perasaan takut tersebut. Mungkin anda boleh tetapkan dalam hati dan berkata kepada diri sendiri seperti “aku bukan pengalah” atau “aku boleh lakukannya”.

Selain itu, anda juga boleh mencabar diri sendiri dengan cara meletakkan sasaran untuk sesuatu tempoh masa agar anda dapat bekerja keras, komited dan lebih bersemangat dalam mencapai sasaran tersebut, sekali gus menjadikan anda berani untuk bertindak.

 

5. Berdoa dan tawakal kepada Allah

Merupakan cara terbaik yang perlu mengiringi kesemua cara lain yang dilakukan. Jika kita berasa goyah atau takut, sentiasalah berdoa kepada Allah agar diberi keberanian dan keteguhan hati. Mintalah apa sahaja yang ingin dipinta dan luahkan segala kegusaran kepadaNya. Dengan itu, hati kita akan menjadi tenang dan Dia pasti akan memberi kekuatan kepada kita.

Selepas berdoa, kita hendaklah bertawakal iaitu berserah kepadaNya setelah kita berusaha. Tetapkan hati dan yakini bahawa setiap perkara itu berlaku kerana mempunyai hikmahnya.

Semoga semua pembaca diberi keyakinan diri dan kekuatan hati untuk menempuhi apa sahaja dugaan yang sedang dihadapi.

Foto: Energepic.com, Prateek Katyal, Rijan Hamidovic, Rawpixel and Pixabay (Pexels)

Namun, apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah bagaimana kita melawan perasaan takut itu, menguatkan hati dan bingkas bangun berjalan dengan penuh keberanian.

Similar Articles

Semalam Adalah Kenangan, Hari Ini Adalah Kurniaan, Esok Adalah Masa Depan

By Nor Syariza Tahir
Julai 5, 2019

Tawakal Dan Berserah Kepada Allah

By Nor Syariza Tahir
Mei 1, 2019