Bahagia Itu Satu Pilihan, Bukan Suratan

September 6, 2019
By Nor Syariza Tahir

Cuba anda duduk sebentar dan perhatikan di sekeliling.

Lihat keadaan orang di sekeliling atau perhatikan kehidupan rakan-rakan anda.

Adakah mereka kelihatan lebih gembira daripada anda atau seperti orang yang kehilangan matlamat dan semangat hidup?

Bagaimana pula dengan diri anda sendiri dan kehidupan seharian anda?

Adakah anda mempunyai kenalan yang berada dalam situasi yang hampir sama dengan anda, namun dia kelihatan lebih tenang, cool dan bahagia sedangkan anda masih terkial-kial berusaha untuk memotivasikan diri sendiri?

Jika anda boleh memahami dengan jelas apa yang penulis maksudkan bagi kesemua soalan di atas, ia menandakan bermula kini, anda perlu melihat kehidupan dengan satu paradigma yang berbeza.

Kenapa?

Jawapannya mudah. Ini kerana anda cenderung untuk melihat kehidupan yang dijalani sekarang dengan perspektif yang boleh melemahkan semangat anda.

Misalnya, jika anda berasakan kehidupan sering diuji dengan pelbagai cabaran seperti kurang menyerlah dalam kerjaya dan berasakan diri sering ditindas oleh rakan sekerja, anda tidak seharusnya membiarkan perkara tersebut mempengaruhi motivasi hidup anda.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah jadikan perkara tersebut sebagai satu cabaran untuk anda menambahbaik skil dalam bekerja, meningkatkan skil interpersonal dengan rakan-rakan sekerja atau belajar untuk menjadi seorang pekerja yang berpengatahuan luas mengenai pelbagai perkara.

Dengan itu, anda tidak akan melihat sesuatu cabaran itu sebagai suatu kesukaran atau batu penghalang kepada anda untuk berasa bahagia dalam apa yang dilakukan.

Selain itu, pernahkah anda melihat individu yang sering kelihatan gembira, bermotivasi tinggi dan bersemangat dalam setiap perkara yang dilakukan serta tidak pernah sekali pun anda terdengar dia merungut tentang kehidupannya?

Jika ada, individu tersebut merupakan seorang yang sangat positif, optimis dan sering bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepadanya, meskipun ada waktunya dia sama seperti kita, yang sering diuji dengan pelbagai cabaran.

Jangan terkejut jika anda selidik tentang kehidupannya, dia sebenarnya seorang anak yatim, tidak mempunyai wang atau harta yang banyak atau masih belum bertemu jodoh pada usia yang semakin meningkat.

Namun, bagaimana dia boleh menjalani kehidupan sebahagia itu dan kekal bermotivasi dalam setiap perkara yang dilakukannya?

Jawapannya mudah. Dia tidak melihat kekurangan hidupnya sebagai satu kekurangan, malahan kelebihan yang perlu disyukuri.

Dia tidak lagi mempunyai ibu atau ayah, mungkin dengan itu dia dapat menyimpan wang yang lebih untuk kegunaan dirinya dan kurang melalukan dosa derhaka terhadap ibu bapa.

Dia tidak mempunyai wang dan harta yang banyak, mungkin itu dapat mengurangkan dosa akibat perasaan riak serta dapat menjalani kehidupan yang sederhana.

Dia masih belum berkahwin, namun itu memberi kelebihan kepada dirinya untuk mengembara melihat dunia dan melakukan setiap perkara yang dilakukan tanpa larangan sesiapa atau kekangan masa dan tanggungjawab.

Mungkin disebabkan itulah, individu tersebut sering kelihatan tenang dan gembira dengan kehidupannya, meskipun kita tidak tahu apa yang tersirat dalam hati kecilnya.

Jadi, berhentilah menilai seseorang berdasarkan luarannya kerana kita tidak tahu apa keperitan yang sedang dilalui oleh seseorang itu dan kita tidak tahu rezekinya mungkin lebih baik berbanding kita.

Kesimpulannya, sebenarnya bukan sukar untuk berasa bahagia.

Ia sebenarnya terpulang kepada diri kita sendiri untuk memilih, sama ada untuk berasa bahagia atau menderita dengan meratapi nasib yang dirasakan lebih malang berbanding orang lain.

Justeru, bermula dari hari ini, cuba ubah paradigma anda dalam menjalani kehidupan.

Hadapi, jalani dan nikmati setiap kurniaan yang diberikan dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang positif.

Pasti kehidupan anda akan berasa lebih baik berbanding sebelum ini.

 

Foto: Bekka Mongeau, Bruce Mars, Layyana Sheridean, Osman Alyaz & Samuel Silitonga (Pexels)

Ia sebenarnya terpulang kepada diri kita sendiri untuk memilih, sama ada untuk berasa bahagia atau menderita dengan meratapi nasib yang dirasakan lebih malang berbanding orang lain.

Similar Articles

Kepayahan Itu Satu Ujian, Kebahagiaan Juga Satu Ujian

By Nor Syariza Tahir
Julai 22, 2019

Media Sosial: Medan Ukur Tahap Kebahagiaan?

By Nor Syariza Tahir
Julai 2, 2019