Avengers : Endgame – Pertarungan Paling Epik Filem Marvel Studios

April 25, 2019
By Helmi Anuar

Filem yang paling ditunggu-tunggu untuk tahun 2019 akhirnya menjengah pawagam. Avengers; Endgame bakal menjawab segala persoalan tentang bencana yang berlaku pada siri filem yang sebelumnya, Infinity War.

Sebagai rakyat Malaysia, anda dikira bertuah kerana dapat menonton filem ini lebih awal berbanding dengan penonoton dari negara lain.

Selepas 50% daripada penduduk bumi dilenyapkan oleh Thanos berbekalkan kuasa enam batu permata, kini baki ahli Avengers yang tinggal tekad untuk membalas dendam dan mengembalikan semula keamanan di bumi.

 

 

Lima tahun selepas kemusnahan dasyat yang berlaku, ahli-ahli Avengers berkumpul semula dan mencari formula baru untuk mengembalikan mereka yang telah tiada termasuklah rakan-rakan seperjuangan.

Biarpun pada mulanya idea yang dicetuskan itu kedengaran tidak masuk akal, tetapi dengan kepakaran yang ada pada beberapa ahli Avengers, perkara itu dapat dilaksanakan.

 

Namun tidak mudah untuk mengembalikan semula mereka yang telah tiada, beberapa pengorbanan besar harus dilakukan oleh ahli Avengers yang akan membuatkan penonton tersentak dan tidak senang duduk.

Setiap karektor di dalam filem ini berjaya memberikan emosi yang tepat dan hebat serta bakal membuatkan penonton terkesan sehingga ke penghujung cerita. Elemen humor yang diselitkan juga ‘kena’ dan tidak berlebihan.

 

Penonton juga akan dibawa kembali mengimbas nostalgia setiap karektor serta babak-babak daripada filem-filem yang terdahulu.

Tiga jam duduk di kerusi pawagam bagaikan tidak terasa, kerana dari mula hingga ke akhir, anda bakal disajikan dengan aksi-aksi hebat serta penceritaan yang meruntun emosi sehingga mampu mengalirkan air mata.

 

Kesimpulannya filem Avengers Endgame adalah penantian yang sangat berbaloi dan merupakan filem yang anda akan kenang untuk masa yang sangat lama.

Pesan SalamToday jangan lupa sediakan makanan dan minuman secukupnya sebelum masuk ke pawagam. Filem ini akan lebih menarik jika ditonton di pawagam yang besar seperti IMAX kerana ia akan memberikan kepuasan yang maksima. Oh ya, jangan lupa bawa tisu ya!

Terima kasih kepada TGV Cinemas Malaysia kerana sudi mengundang SalamToday untuk menjadi antara yang terawal menonton filem yang paling ditunggu-tunggu ini. Selamat Menonton.

 

Foto : Marvel Studios

Similar Articles