Aura Ziana Zain Belum Pudar

April 16, 2019
By Helmi Anuar

Salam pembuka tirai buat semua pembaca SalamToday. Tarikh bersejarah 17 April 2019 menyaksikan kemunculan pertama SalamToday ke dunia maya. Untuk edisi sulung, kami menampilkan legenda dalam industri hiburan negara iaitu the one and only, Ziana Zain!

Ziana menepati kriteria yang didambakan oleh sidang redaksi SalamToday. Beliau merupakan seorang diva, ikon dalam gelanggang fesyen serta suri teladan bagi wanita yang bergelar ibu.

Sejujurnya tidak mudah untuk mendapatkan Ziana kerana jadualnya yang padat. Yes, she is still hardworking at the age of 51! Kegelisahan juga bermain di kotak fikiran kami, mahukah seorang superstar seperti beliau menghiasi kulit depan portal yang masih hijau seperti SalamToday?

The moment when she said “Yes,” we know we have been blessed! Apabila tuan punya badan sudah bersetuju, pastinya kami mahukan segalanya yang terbaik buat Ziana. Lantas penata gaya serta jurusolek yang sudah terbiasa dengan Ziana kami hubungi kerana selain mencari wow factor dalam setiap imej, keselesaan Ziana juga amat kami teliti.

Vee diberikan kepercayaan untuk menata gaya Ziana, manakala Latifi ditugaskan untuk menata gaya hijab. Wajah Ziana pula ditatarias oleh jurusolek kegemarannya iaitu Bobo Cinta. Sebelum memulakan sesi penggambaran, Vee sempat berkata kepada saya, “You will see the other side of Ziana once she stands in front of the camera.” Benar kata Vee, Ziana terus berubah menjadi seorang superstar yang asyik bermain dengan kamera. Di usia yang sudah mencecah 50an, kejelitaan Ziana seakan tidak pernah pudar. Malah wajahnya juga masih kelihatan awet muda.

“Syukur Alhamdulillah. Saya rasa salah satunya adalah kerana genetik. Ibu dan bapa saya mereka memang awet muda. Yang keduanya adalah ayah saya sering memberitahu kami adik-beradik bahawa hidup hanya sekali, jaga kurniaan Allah walaupun kuku kita walaupun sehelai rambut, itu semua kurniaan Allah. Minum segelas air serta selawat dan mintalah pada Allah apa sahaja. Kalau boleh ambil suplemen atau kolagen, ambillah dari awal. Ayah saya walaupun dia sudah tua tetapi dia sangat menjaga kebersihan. Muka dia rambut dia sentiasa terjaga. Ayah selalu berpesan jangan ada perasaan dengki dalam hati. Jangan ada setitik pun.”

 

Hampir 30 tahun bergelumang dalam industri hiburan Malaysia, Ziana seorang yang bijak mengatur kerjayanya. Kerjaya nyanyian dan lakonan dapat diimbanginya dengan baik. Album dan filem lakonannya mendapat sambutan dan menjadi box office di pawagam. Pelbagai anugerah terbaik dan popular pun sudah berada di dalam genggamannya. Biarpun pernah berehat sebentar saat melahirkan anak, namun peminat tidak pernah lupakannya.  Walaupun begitu beliau juga tidak terlepas dari gosip-gosip liar serta fitnah. Paling tidak boleh dilupakannya apabila difitnah oleh teman sendiri.

Sewaktu zaman saya berlakon filem Sembilu,saya pernah difitnah dikaitkan dengan seorang VIP, malah sehingga sekarang orang masih bercerita mengenai perkara itu. Pernah ada kawan saya sendiri yang bekerja di syarikat penerbangan yang sama, dia bekerja sebagai wartawan sambilan ketika itu, dia datang kepada saya dan berkata, “Ziana I know it’s actually you.” Saya katakan kepadanya bagi saya bukti. “You tulislah banyak-banyak pasal I. I akan maafkan you, you fitnah I banyak-banyak, you akan rasa nanti.” Dia terdiam.  You are my friend, how could you say this thing to me? We fly together. Saya berani kerana benar.  Kalau ada bukti sila datang dan jumpa dengan saya. Tapi tiada seorang pun yang berani datang. Pernah satu ketika di luar rumah kami dikeremuni oleh kereta-kereta yang datang untuk menghendap dek  fitnah yang bertebaran ketika itu.”

Di zaman media sosial ini, Ziana sedikit lambat mendekatkan diri dengan teknologi ini. Namun selepas membuka akaun Instagram yang memiliki hampir 1 juta pengikut, beliau tidak mengikuti sesiapa pun di Instagram. Bukannya mahu berlagak diva atau sombong, Ziana ada alasannya yang tersendiri kenapa beliau tidak ‘follow‘ sesiapa pun di Instagram.

“Sebenarnya saya tidak mahu mengecilkan hati peminat saya. Takut nanti kalau saya ‘follow’ peminat A, peminat B pulak akan terasa hati sebab saya tidak ‘follow.’ Jadi lebih baik saya tidak ‘follow’ sesiapa untuk menjaga hati semua.”

Penampilan Ziana sentiasa mendapat pujian sehingga sering dilabel sebagai ikon fesyen tanah air dan menjadi rebutan setiap pereka fesyen untuk menyarungkan rekaan mereka di tubuhnya. Dari zaman anak dara sehingga kini, semua busana yang digayakan Ziana sentiasa menjadi rujukan buat si pencinta fesyen. Tidak hairanlah kenapa nama Ziana sering menjadi pilihan jenama-jenama antarabangsa untuk menjadi duta mereka.

“Saya memang sudah dididik dari kecil oleh ayah. Kalau dah namanya perempuan kena dress well from head-to-toe. Malah seawal usia saya lima tahun saya sudah memiliki handbag. Setiap kali raya kami adik beradik akan dibekalkan dengan gincu dan sapu tangan. Abah akan ajar macam mana nak sapu muka supaya make-up tidak tanggal. Abah saya akan mereka baju raya kami adik beradik dua tiga bulan sebelum raya. Kadang-kadang kalau tak ada kerja, dia akan jahitkan manik. Pernah satu ketika dahulu saya kena marah dengan abah sebab pakai t-shirt dengan jeans sahaja. Dia kata, “Kau jangan jalan dengan abah!” ”

Kongsi Ziana lagi, antara momen-momen terindahnya dalam dunia fesyen adalah sewaktu diterbangkan ke Tembok Besar China untuk menghadiri pertunjukan fesyen jenama Fendi pada tahun 2008. Ziana diberi peluang untuk duduk di barisan hadapan bersama bintang-bintang terkenal Hollywood. Jikalau di Malaysia pula, kenangan sewaktu menyarung busana-busana indah rekaan Datuk Rizalman Ibrahim dan Michael Ong sentiasa segar dalam ingatannya.

“Pernah satu ketika Michael Ong memberikan saya busana untuk sebuah persembahan yang saya sendiri tak terfikir macam mana dia boleh hasilkan rekaan sebegitu. Katanya dia dapat ilham selepas mendengar lagu-lagu saya. Michael terkenal dengan fabrik dan juraian juraiannya yang funky. Rizalman pula dia sudah tahu rekaan apa yang sesuai hanya dengan melihat tubuh anda. Kadang-kadang dia tak perlu sketch pun, tiba-tiba dia kata Ziana baju dah siap! Dan jika saya pergi anugerah yang ada tema, dia akan beri saya rekaan yang lain dari yang lain kerana dia nak saya stand out! Satu perkara yang saya suka tentang Rizalman adalah dia study tentang setiap selebriti. Rekaannya berbeza-beza untuk setiap artis.” 

Biarpun sering dilihat menyarungkan rekaan pereka-pereka fesyen bertaraf A-List, namun Ziana tidak menolak untuk mencuba menyarung rekaan pereka-pereka baru yang sedang meningkat naik. Asalkan cantik dan kena dengan taste Ziana, beliau pasti terima dengan hati terbuka.

“Dalam berfesyen kita perlu ada variasi. Perlu ada contact ramai pereka fesyen. Saya juga tidak kisah memberi peluang kepada pereka-pereka baru. Generasi baru ini idea mereka lebih segar. Mereka telah berfikir di luar kotak. Seth & Luna misalnya, rekaan mereka lebih moden. Saya sangat suka dengan rekaan mereka sewaktu saya menghadiri acara anjuran Majalah Nona. Ada fashion statement!

Seperti mana Ziana tidak kisah mencuba rekaan pereka baru, begitulah juga dengan kehidupan normal Ziana. Beliau tidak kisah untuk makan di warung tomyam ataupun di kedai mamak.

For me this is what I choose. On stage I am Ziana Zain, kalau tidak bekerja, I am Siti Roziana Zain. Hidup hanya sekali. Kalau saya tidak buat benda-benda ini, nanti dah tua pasti saya akan rasa rugi. Saya nak enjoy both lives. Kawan-kawan saya bukan semuanya di kalangan selebriti.  Saya mahu luangkan lebih masa dengan kawan-kawan sekolah saya yang sudah bertahun saya tak jumpa. Sekarang baru saya ada masa untuk bersama mereka.”

Melihatkan tahun ini ramai rakan-rakan artis yang mengadakan konsert dan showcase, saya bertanya kepada Ziana, tidak mahukah beliau melakukan perkara yang sama? Ujar Ziana ada beberapa tawaran yang datang kepadanya, namun katanya masanya bukan sekarang.

There are so many people doing concerts. Let them be. Tengoklah tahun hadapan kalau ada rezeki, Insyaallah. Tahun ni jarak konsert yang diadadakan terlalu rapat. Tak sempat nak bernafas. Saya mahukan sesuatu yang memorable. Nak buat konsert bukan senang. Nak kena kumpul semua kekuatan balik. Sebab ada lagu yang kalau kita menyanyi akan membuatkan kita menangis. Jadi saya mesti menjadi kuat sepenuhnya.”

 

Tanpa disedari, hampir satu jam kami berbual, sebenarnya ada pelbagai lagi cerita yang dikongsikan Ziana dengan kami. Namun kisah itu biar kami simpan untuk minggu kedua nanti ya. Jangan lupa untuk terus membaca SalamToday untuk edisi akan datang Isnin depan.

 

Di sebalik Wajah Salam

Wajah Salam : Ziana Zain
Gambar : Whitenery
Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
Suntingan : Ili Farhana
Pereka grafik: Asyraf Tamam
Penata gaya : Vee Mukhtaram
Jurusolek : Bobo Cinta
Penata Gaya Hijab : The Latifi
Busana : H&M, boots & sarung tangan: Milik Penata Gaya

Similar Articles

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: