ASQ Setaraf Jenama Minyak Wangi Antarabangsa Yang Lain

April 22, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sebut sahaja ‘minyak wangi,’ pelbagai jenama antarabangsa dan mewah yang terkenal di seluruh dunia muncul dalam pemikiran kita.

Namakan sahaja apa-apa jenama yang kita tahu, semuanya mudah didapati di pasaran pada harga ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit dan kebanyakannya berasal dari negara-negara barat.

Namun, pernahkah anda mendengar mengenai minyak wangi berjenama antarabangsa yang berasal dari Arab Saudi, Abdul Samad Al-Qurashi atau lebih dikenali sebagai ASQ?

Jika ada yang pernah menunaikan umrah atau haji di tanah suci Mekah, pastinya minyak wangi ASQ ini tidak asing buat mereka kerana jenama ini amat popular di Arab Saudi.

Beribu pejabat dan berasal dari Mekah, ASQ merupakan sebuah jenama antarabangsa yang sehingga kini telah berusia 150 tahun.

Bukan sahaja popular dan merupakan satu jenama besar di Arab Saudi, ASQ turut dikenali di negara-negara Timur Tengah, Kanada, London, Paris dan Rusia.

Penguasaan pasaran jenama itu kini diperluaskan lagi di rantau Asia apabila ia mula menembusi pasaran Malaysia pada tahun 2017, hasil daripada usahasama yang dijalin bersama Perbadanan Nasional Bhd. (PNS).

Menerusi kerjasama itu, sebuah syarikat ditubuhkan iaitu PNS ASQ Asia Sdn. Bhd. yang diberi hak sebagai pemegang hak francais di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Berbekalkan kekuatan jenama ASQ itu sendiri, PNS terus mengorak langkah dan menggariskan beberapa pelan strategik untuk memperkenalkan dan meletakkan ASQ sebagai sebuah jenama minyak wangi gaya hidup yang setanding dengan jenama-jenama antarabangsa lain.

Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang menjelaskan, strategi utama pada ketika ini adalah untuk membuang stigma dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sering berpendapat bahawa jenama minyak wangi dari Mekah kebiasannya merupakan jenis minyak atar.

“Minyak wangi ASQ bukanlah minyak atar, sebaliknya ia merupakan minyak wangi gaya hidup yang diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi, tanpa bahan kimia dan selamat untuk dibawa solat.

“Ia menawarkan wangian oriental berasaskan bahan-bahan seperti gaharu, ros taif dari Mekah, amber dan kasturi yang menghasilkan wangian premium dan berkualiti tinggi,” ujarnya.

Produk-produk  ASQ terdiri daripada jenis semburan minyak wangi, pati minyak wangi, produk penjagaan badan, semburan bilik dan linen serta bakhour.

Dengan harga bermula daripada RM200 sehingga mencecah RM15,000, pembeli boleh mendapatkan minyak wangi ASQ di outlet yang dibuka di Melawati Mall dan Menara PNS, Bangsar.

Dalam usaha untuk menembusi segmen pasaran premium, cawangan-cawangan seterusnya dijangka dibuka di pusat-pusat beli-belah premium seperti Pavilion dan Suria KLCC.

Bagi tempoh lima tahun akan datang pula, PNS menjangkakan untuk membuka sehingga 15 buah cawangan di lokasi-lokasi strategik seluruh negara, Brunei, Indonesia dan Singapura dengan pelaburan bernilai RM21.8 juta.

Foto: Ihsan PNS

Similar Articles