Ajar Anak-Anak Bayar Tanpa Tunai Di KidZania Kuala Lumpur

September 5, 2019
By Nor Syariza Tahir

Buat ibu bapa di luar sana; adakah anak-anak anda mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap ilmu kewangan?

Bagaimanakah tahap celik kewangan mereka, terutamanya dalam berdepan dengan trend negara yang sedang menuju ke era masyarakat tanpa tunai?

Adakah mereka benar-benar faham dan tahu apa itu pembayaran tanpa tunai?

Jika anda merupakan ibu bapa prihatin yang komited untuk menerapkan pendidikan kewangan dalam kalangan anak-anak, anda boleh membawa anak-anak anda ke KidZania Kuala Lumpur.

Ini kerana pusat edutainment keluarga yang menawarkan pelbagai aktiviti pendidikan interaktif itu kini turut memberi peluang kepada anak-anak anda untuk mempelajari apa itu pembayaran tanpa tunai.

Dilaksanakan dengan kerjasama TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital), KidZania Kuala Lumpur baru-baru ini melancarkan Touch ‘n Go eWallet Innovation Hub dan aplikasi Touch ‘n Go Z-Wallet, khusus untuk pembelajaran anak-anak yang berkunjung ke KidZania Kuala Lumpur.

Hanya boleh dimuat turun apabila berada dalam bangunan KidZania Kuala Lumpur, aplikasi Touch ‘n Go Z-Wallet memberi pengalaman membeli-belah kepada kanak-kanak dengan menggunakan sistem eDompet.

Misalnya, jika anak anda datang ke KidZania Kuala Lumpur, mereka perlu ‘membeli-belah’ atau ‘berniaga’ dengan menggunakan mata wang KidZania iaitu KidZos.

Namun, dengan menggunakan Touch ‘n Go Z-Wallet, urusan berdagang itu boleh dilakukan tanpa menggunakan KidZos, sebaliknya menggunakan aplikasi mudah alih tersebut yang telah dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.

Bagi yang tidak mempunyai telefon pintar, mereka boleh meminjam telefon pintar yang telah disediakan oleh KidZania Kuala Lumpur.

Apa yang perlu dilakukan oleh kanak-kanak tersebut adalah mereka hanya perlu mengimbas aplikasi Touch ‘n Go Z-Wallet pada terminal pembayaran yang disediakan dalam kawasan KidZania Kuala Lumpur.

“Aplikasi tersebut membolehkan kanak-kanak untuk memeriksa baki wang mereka secara online.

“Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak kecil itu untuk lebih memahami mengenai penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai dan menyemai sifat berjimat-cermat dalam merancang perbelanjaan mereka,” ujar Mayor KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong berkata, sebagai pemain industri e-Dompet yang utama di negara ini, pihanya akan terus menawarkan pelbagai kaedah terbaik bagi memastikan pendidikan mengenai pembayaran tanpa tunai dapat dilaksanakan di segenap lapisan masyarakat.

“Menerusi kerjasama dengan KidZania ini, kami berharap kanak-kanak dapat menjadi duta kecil bagi memupuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup masyarakat tanpa tunai,” jelasnya.

Sehingga kini, Touch ‘n Go eWallet mempunyai hampir 5 juta pengguna berdaftar dengan lebih daripada 70,000 titik sentuhan runcit di seluruh negara.

Bagi yang memasuki KidZania menggunakan Toucn ‘n Go eWallet, anda tidak perlu beratur dan boleh terus masuk menerusi laluan #terusgo di kaunter tiket.

Pengunjung juga boleh menikmati potongan harga tiket sebanyak 35% dan 10% untuk cenderamata yang dijual.

Foto: GO Communications

Hanya boleh dimuat turun apabila berada dalam bangunan KidZania Kuala Lumpur, aplikasi Touch ‘n Go Z-Wallet memberi pengalaman membeli-belah kepada kanak-kanak dengan menggunakan sistem eDompet.

Similar Articles