Aizat Amdan Terjemah Rasa Sepi Akibat Kehilangan Dalam ‘Angin Lalu’

April 29, 2019
By Nor Syariza Tahir

Cuba lari daripada kebiasaan, penyanyi dan komposer berbakat, Aizat Amdan tampil mengetengahkan filem pendek bertajuk ‘Angin Lalu’ sebagai gimik promosi single terbaharunya dengan judul yang sama, ‘Angin Lalu’.

Mengakui ia merupakan salah satu gimik promosi single dan klip video rasmi yang akan dilancarkan pada 17 Mei nanti, Aizat nekad untuk menampilkan kelainan dengan mengeluarkan filem pendek sedih itu menjelang bulan Ramadan.

“Bagi saya, dengan landskap industri yang telah berubah pada masa kini, seseorang penyanyi itu tidak boleh lagi mengeluarkan sesebuah single dengan cara biasa, dan begitu sahaja.

“Sebaliknya, kita perlu berbuat sesuatu dengan cara yang berbeza serta menggunakan pendekatan yang lebih kreatif untuk mendapat tempat di hati pendengar.

“Oleh itu, kami sebulat suara mengeluarkan filem pendek yang menyentuh perasaan ini pada waktu yang tepat iaitu menjelang Ramadan sebagai pelengkap visual lagu ‘Angin Lalu’,” ujar Aizat ketika ditemui pada majlis sidang akhbar filem pendek ‘Angin Lalu’ di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya.

Mengambil inspirasi daripada pengalaman beliau sendiri yang kehilangan bapa tercinta, Allahyarham Datuk Amdan Mat Din pada 9 Januari lalu, filem pendek ‘Angin Lalu’ menceritakan tentang bagaimana peritnya orang yang ditinggalkan meneruskan kehidupan dan menghadapi hari-hari mendatang setelah kehilangan seseorang yang disayangi.

“Hargailah masa yang kita masih ada. Manfaatkannya dengan sebaik mungkin.

“Berbuat baiklah sesama insan terutamanya orang yang kita sayang kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan menjemput kita,” ujar Aizat yang turut membuat penampilan khas dalam filem pendek tersebut.

Menampilkan bakat lakonan pelakon cilik, Ainin Batrisya sebagai watak utama, filem pendek itu berkisarkan tentang seorang anak kecil yang cuba mengharungi hari-hari mendatang setelah kematian ibunya.

Filem pendek arahan Ganesh Venugopal dan Lisan Yee itu turut menyorot kisah kepayahan seorang ayah dalam menguruskan keluarga setelah kematian isteri.

Selain itu, ia turut memaparkan pandangan masyarakat sekeliling yang terlalu cepat menghukum tanpa mengetahui keperitan yang dilalui oleh orang lain.

Pesanan Aizat kepada para peminat, mereka patut menonton filem pendek itu berulang kali agar mereka benar-benar memahami dan dapat mentafsir maksud sebenar di sebalik kisahnya yang mungkin berkait rapat dengan single ‘Angin Lalu’.

Sementara itu, mengulas tentang lagu ciptaan Aizat dan Mel Ramlan itu, secara istilahnya diambil daripada bahasa kiasan Melayu yang membawa maksud sesuatu yang bersifat sementara.

“Seperti angin yang sepintas lalu menghembus lembut dan kemudiannya berlalu pergi.

“Lagu ini menyarankan agar pendengar merebut masa yang ada, ciptalah kenangan sebanyak mungkin dan hargailah setiap detik yang kita ada bersama mereka yang tersayang,” ujar Aizat.

Begitulah juga bait-bait lirik yang ditulis oleh Aizat bersama Mel dan abangnya, Anas Amdan yang menekankan bahawa semua di sekeliling kita pasti akan berlalu pergi, namun hanya kenangan yang tersemat di hati.

‘Angin Lalu’ juga merupakan cubaan Aizat dalam menterjemah perasaannya setelah kehilangan bapanya yang amat disayangi.

Sebagai tanda kasih, rindu dan ucapan selamat buat pelindung, penjaga dan pembimbing keluarganya selama ini, Aizat menyorot segala jasa dan memori indah bersama ayahanda tercinta dalam setiap alunan vokalnya dalam lagu ini.

‘Angin Lalu’ merupakan single terbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Ia boleh didapati di kesemua pelantar digital bermula 26 April 2019, manakala filem pendek ‘Angin Lalu’ pula mula ditayangkan secara online menerusi saluran YouTube Vlog Aizat yang boleh ditonton bermula 26 April pukul 8 malam.

Foto: Saluran YouTube Vlog Aizat

 

“Berbuat baiklah sesama insan terutamanya orang yang kita sayang kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan menjemput kita,” ujar Aizat yang turut membuat penampilan khas dalam filem pendek tersebut.