Agrobank BerUkhuwah Erat Silaturahim

April 23, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sebagai sebuah syarikat perbankan Islam milik kerajaan yang diberi mandat untuk membantu golongan yang kurang mendapat perhatian, Agrobank baru-baru ini menganjurkan sebuah program komuniti masjid, Agrobank BerUkhuwah.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor itu bertujuan untuk mendekati dan membantu komuniti yang memerlukan.

Dengan pendekatan ‘Sayang Masjid’, program itu merupakan yang pertama daripada 10 program Agrobank BerUkhwah yang akan dianjurkan bagi memupuk budaya bantu-membantu dan bekerjasama selain merapatkan hubungan silaturahim antara pihak Agrobank dan komuniti setempat.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyediakan ruang kepada kakitangan setempat untuk lebih terlibat dengan komuniti tempatan.

“Menerusi aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti solat berjemaah, gotong-royong, penyampaian zakat dan aktiviti kemasyarakatan lain, Agrobank berharap agar inisiatif ‘Sayang Masjid’ seumpama ini dapat memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah masjid,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan.

Mengulas lanjut mengenai ‘Agrobank BerUkhwah’, Syed Alwi menjelaskan, program ‘Anak Muda: Basuh Motor Percuma’ merupakan antara program yang dijalankan bagi menarik penglibatan belia dengan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid.

“Ini secara tidak langsung merapatkan ukhwah dan minat golongan belia untuk melaksanakan program-program kemasyarakatan, khususnya bersama komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, menyedari tentang kepentingan untuk menjaga alam sekitar, Agrobank dan Masjid Saujana Utama turut menganjurkan sesi menanam pokok buah-buahan di sekitar kawasan masjid, yang mana hasilnya akan dikongsi bersama kelak.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, Agrobank turut menyalurkan bantuan zakat bagi tujuan perlaksanaan program melibatkan golongan asnaf yang secara keseluruhannya berjumlah RM10,000.

Turut disumbangkan adalah beberapa buah tabung bergerak yang diserahkan kepada Masjid Saujana Utama bagi kegunaan pihak masjid untuk memudahkan urusan kutipan derma dan sumbangan, terutamanya ketika solat jumaat dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Foto: Agrobank

 

Similar Articles

Alunan Qasidah dan Nasyid di Satu Pentas

By Nor Syariza Tahir
April 10, 2019