Adab Ketika Beraya Di Rumah Orang

Jun 12, 2019
By Nor Syariza Tahir

Kemeriahan bulan Syawal masih diteruskan dengan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah rakan taulan.

Meskipun ramai daripada kita yang telah pun kembali ke ibu kota dan melakukan rutin harian, amalan kunjung-mengunjung dan beraya ke rumah rakan-rakan tetap diteruskan demi mengukuhkan ikatan silaturahim.

Bagaimanapun, sebagai tetamu, adakah kita menjaga adab dan tatasusila ketika berkunjung ke rumah orang lain?

Bersempena dengan bulan Syawal ini, apa kata kita amalkan adab-adab ketika berkunjung ke rumah orang supaya kunjungan kita itu menjadi suatu kunjungan yang dapat mengeratkan lagi silaturahim, dan bukannya yang meruntuhkan ikatan sedia ada.

 

1. Memilih waktu kunjungan yang sesuai

Janganlah kita berkunjung ke rumah orang ketika waktu awal pagi atau hampir lewat malam kerana tuan rumah mungkin sedang bersiap sedia untuk berehat dan tidur. Seelok-eloknya, berkunjunglah ketika selepas waktu tengah hari sehingga pukul 10 malam.

 

2. Menjamah kuih raya di atas meja hanya selepas dijemput oleh tuan rumah

Pada sepanjang bulan Syawal, kebiasannya ramai antara kita yang akan meletakkan balang-balang kuih raya di atas meja untuk dinikmati oleh tetamu. Walaupun begitu, ia bukanlah tiket untuk kita sewenang-wenangnya memakan kuih tersebut sejurus kita tiba di sesebuah rumah itu. Sebaiknya, kita hendaklah menjaga tatatertib dan menunggu sehingga tuan rumah menjemput untuk menikmati kuih tersebut.

 

3. Tidak meminta-minta makanan yang tidak dihidangkan

Apabila berkunjung ke rumah teman rapat atau saudara mara, mungkin ada antara kita yang tidak segan silu meminta makanan yang tidak dihidangkan kerana menganggap perkara itu sebagai perkara biasa. Walau serapat mana sekali pun hubungan itu, jangan sesekali meminta makanan yang tidak dihidangkan kerana dikhuatiri akan menyusahkan tuan rumah untuk menyediakan makanan tersebut. Makan sahaja apa yang dihidangkan tanpa banyak karenah.

4. Hadkan masa kunjungan

Kadangkala, kerana terlalu asyik bersembang, kita tidak sedar yang sudah terlalu lama masa diambil untuk berada di rumah tersebut. Sebaiknya, hadkan tempoh masa selama setengah jam ke sejam sahaja untuk berada di rumah orang, kerana kita tidak tahu berkemungkinan tuan rumah mempunyai banyak urusan yang perlu dilakukan.

 

5. Minta izin undur diri jika ada tetamu lain yang datang

Jika ada tetamu lain yang tiba-tiba berkunjung ketika anda masih berada di dalam rumah tersebut, sebaiknya, ambil sedikit masa dan mintalah izin untuk mengundur diri. Ini adalah bagi memberi peluang kepada tuan rumah untuk melayan tetamu lain pula yang berkunjung ke rumahnya.

 

6. Menjaga mata, telinga dan lidah

Kita hendaklah menjaga mata daripada melihat-lihat ke segenap isi rumah kerana dibimbangi akan terlihat perkara-perkara yang mungkin boleh menjatuhkan air muka tuan rumah. Selain itu, menjaga telinga pula bermaksud jika terdengar apa-apa perbualan antara tuan rumah dengan ahli rumahnya berkenaan hal rumah tersebut, kita hendaklah ‘memekakkan telinga’ dan menyimpan rahsia itu. Manakala menjaga lidah pula bererti tidak mengeluarkan kata-kata yang mungkin boleh mengguris perasaan tuan rumah, meskipun ia dianggap sebagai gurauan.

7. Mengawasi anak-anak kecil

Jika membawa anak kecil berkunjung ke rumah orang, terutamanya yang sedang aktif membesar dan agak nakal, pastikan anda mengawasi anak-anak anda agar mereka tidak bertindak di luar kawalan. Keadaan ini dibimbangi akan mengakibatkan kerosakan kepada perkakasan rumah tersebut, sehingga boleh mendatangkan perasaan tidak puas hati oleh tuan rumah. Jika anak anda sudah tidak mampu dikawal lagi, mintalah izin untuk pulang.

 

8. Memakai pakaian yang sopan

Jangan sesekali memakai pakaian yang mencolok mata ketika berkunjung ke rumah orang lain. Pakailah pakaian yang sopan, selesa dan sedap mata memandang supaya sesi beramah mesra dapat berlangsung tanpa sebarang ‘gangguan mata’.

9. Tidak meminta password WiFi

Sering berlaku pada hari ini, di mana tetamu yang berkunjung asyik meminta password WiFi daripada tuan rumah. Jika anda mengikut ibu bapa beraya di rumah rakan-rakan mereka sekalipun, janganlah melakukan perkara ini, kerana ia kelihatan tidak sopan. Apa yang perlu anda lakukan jika tidak boleh bersembang bersama-sama adalah, cukup sekadar duduk diam dan sopan serta mendengar sahaja perbualan orang lain.

 

10. Mengucapkan terima kasih

Sebelum melangkah keluar dari rumah tersebut, ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah atas layanan yang telah diberikan dan makanan yang dihidangkan. Berikan juga pujian kepada juadah yang dihidangkan, terutamanya jika ia dimasak sendiri oleh tuan rumah atau isterinya. Ini dapat menggembirakan hati tuan rumah, sekali gus membina ikatan silaturahim yang lebih kukuh.

 

Foto: Mentatdgt by Pexels & Rawpixel.com by Pexels

Meskipun ramai daripada kita yang telah pun kembali ke ibu kota dan melakukan rutin harian, amalan kunjung-mengunjung dan beraya ke rumah rakan-rakan tetap diteruskan demi mengukuhkan ikatan silaturahim.

Similar Articles

Hidangan Popular Rumah Terbuka

By Helmi Anuar
Jun 10, 2019

Juadah Tradisi Yang Wajib Ada Pada Pagi Syawal

By Nor Syariza Tahir
Jun 4, 2019

Kuih Raya Tradisional vs Kuih Raya Moden

By Nor Syariza Tahir
Mei 29, 2019

Kuih Talam Untuk Raikan Tetamu di Aidilfitri

By Rahayu Mat Nah
Jun 7, 2019