Adab Dalam Memilih Sahabat

Julai 14, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sahabat merupakan orang yang paling rapat dengan kita selain ibu bapa atau adik beradik, yang sangat kita percayai dalam setiap perkara.

Malahan, ada sesetengah individu yang lebih selesa untuk berkongsi setiap perkara dengan sahabat masing-masing, berbanding dengan ibu bapa sendiri.

Rasa selesa ini seterusnya melahirkan kepercayaan antara satu sama lain yang menjadi asas kepada sebuah persahabatan.

Dalam Islam, kita disaran untuk mencari sahabat yang baik, beriman dan taat kepada Allah S.W.T. bagi membolehkan persahabatan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang persengketaan.

Malahan, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sendiri mempunyai sahabat baik yang amat disayanginya, iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Kekukuhan hubungan persahabatan antara Rasulullah dan Saidina Abu Bakar dapat dilihat daripada pelbagai kisah yang membuktikan kesetiaan kedua-duanya.

Antaranya adalah ketika Baginda menceritakan mengenai kejadian Isra’ Mikraj, di mana penduduk kota Mekah tidak mempercayai kata-kata Baginda itu dan menganggap cerita itu sebagai direka-reka.

Bagaimanapun, Saidina Abu Bakar bukan sahaja mempercayai cerita tersebut, malahan turut mengiyakan setiap yang diperkatakan oleh Baginda apabila ada penduduk yang pergi berjumpanya untuk bertanyakan mengenai cerita tersebut.

Bukan itu sahaja, kesetiaan seorang sahabat itu juga dapat dilihat apabila beliau sanggup berkorban harta dan kedudukan demi membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. dalam meluaskan syiar Islam.

Sebagai sahabat sejati, beliau sanggup mengikut Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah meskipun beliau sedar bahawa terdapat pelbagai ancaman daripada musuh-musuh Rasulullah yang ingin membunuhnya dan bahaya menanti.

Kisah-kisah ini memberi teladan kepada kita, umat Nabi Muhammad bahawa kita memerlukan sahabat sejati yang bukan sahaja dapat menjadi tempat kita meluahkan segala masalah atau kegusaran. Malahan yang mampu membimbing kita ke jalan yang diredhai Allah.

Justeru, di sini kami ingin kongsikan dengan anda adab-adab dalam mencari sahabat berdasarkan pengajaran yang diambil daripada persahabatan antara Rasulullah S.A.W. dengan Saidina Abu Bakar.

 

Cari sahabat yang baik dan mampu membimbing kita ke arah kebaikan

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.” – HR Bukhari dan Muslim.

Baginda menyeru kita untuk mencari sahabat yang baik kerana sahabat yang baik itu mampu membawa kita ke arah kebaikan dengan mempengaruhi kita untuk mengikut jejak langkahnya.

Bersahabat dengan orang yang bertaqwa dan beriman

Sabda Baginda: “Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertaqwa.” – HR Abu Daud dan at-Tirmizi.

Mengapakah faktor ini amat dititikberatkan? Ini kerana sahabat yang bertaqwa dan beriman mampu mempengaruhi kita untuk melakukan perkara yang sama.

Jika baik imannya sahabat kita itu, sudah pasti dia akan menasihati kita untuk melakukan perkara-perkara yang baik.

Sebaliknya, jika lemah imannya seseorang sahabat itu, pasti dia akan mempengaruhi kita untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar.

Hindari berkawan dengan orang yang buruk akhlaknya

Bayangkan kita mempunyai kawan yang gemar berpeleseran tanpa arah tuju atau pergi ke tempat-tempat maksiat seperti kelab malam. Jika kita sedang berasa bosan, pasti rakan itu akan mengajak kita untuk menyertai aktivitinya.

Kebiasaannya, jika dia merupakan sahabat rapat kita, pasti kita akan termakan dengan pujuk rayunya dan menurut sahaja ajakan tersebut.

Disebabkan itu, Baginda berpesan dalam hadisnya: “Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan kenali sepertinya. Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” – HR at-Tirmizi dan Abu Daud.

 

Menegur kesilapan kawan kerana kebenaran

Sahabat yang baik adalah sahabat yang ikhlas menegur kesilapan rakannya demi untuk manfaat diri rakan tersebut.

Ini kerana sebagai sahabat, sudah pasti kita tidak mahu rakan kita itu terus berada dalam kekufuran dan kesesatan.

Justeru, tegurlah rakan itu dengan cara yang baik dan penuh berhikmah agar dia tidak terus melakukan kesilapan tersebut.

 

Membantu kawan ketika kesempitan

Ketika sahabat baik kita itu diuji dengan masalah atau kesempitan hidup, kita digalakkan untuk membantunya mengeluarkan diri daripada kesempitan tersebut.

Tidak kiralah sama ada masalah dalam pekerjaan, kewangan ataupun hal-hal remeh.

Jika tidak mampu membantu secara material sekali pun, sekurang-kurangnya bantulah dengan cara mendengar keluhannya atau menasihatinya agar dia berasa tenang.

Ini kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang tidak sanggup melihat rakannya ditimpa kesusahan, dan pasti akan berusaha untuk membantunya pada bila-bila masa.

Justeru itu, dalam menjalani hidup ini, jangan tersilap memilih sahabat kerana sahabat itu mampu mempengaruhi kita sama ada untuk menuju ke jalan yang lurus atau jalan yang penuh kesesatan.

Dan jika sahabat kita itu sedang tersesat pula, jadilah sahabat yang baik kepadanya dengan cara membimbingnya untuk kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T.

Foto: Belle Co, Liza Rahman, Mentatdgt, Rijan Hamidovic, Roberto Nickson, Pixabay & Rawpixel.com (Pexels)

Malahan, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sendiri mempunyai sahabat baik yang amat disayanginya, iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Similar Articles

Adab Memberi Salam

By Nor Syariza Tahir
Jun 18, 2019

Memaafkan Sifat Terpuji Rasullullah SAW Yang Patut Dicontohi

By Helmi Anuar
Jun 24, 2019