5 Persinggahan Menyeronokkan di Wilayah Australia Barat

Ogos 12, 2019
By Rahayu Mat Nah

Bagi sesetengah individu, memandu adalah salah satu cara untuk merehatkan diri atau melegakan tekanan setelah sekian lama terperangkap dengan rutin harian yang memenatkan .

Lebih menyeronokkan jika perjalanan itu dikelilingi pemandangan alam semulajadi yang memukau serta ditemani dengan playlist lagu-lagu kegemaran.

Jika anda sudah mula merindui saat-saat manis itu, Australia Barat menawarkan pelbagai laluan hebat  untuk anda melakukan road trip bersama keluarga, rakan atau pasangan. Salah satunya ialah laluan ke Great South West Edge yang menawarkan lima persinggahan utama.

Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki di Perth, perjalanan ke wilayah barat Autralia ini hanya mengambil masa lima jam waktu penerbangan dari Kuala Lumpur.

Tentang kereta sewa, tidak perlu dirisaukan kerana terdapat banyak perkhidmatan sewa kereta yang yang boleh dijadikan pilihan di balai ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Perth. Ataupun anda boleh buat tempahan awal di dalam talian sebelum bertolak.

Tentang harga, ia berpatutan dan bergantung kepada jenis kenderaan dan pakej insurans yang ditempah.

Selesai urusan menyewa kereta, anda sudah boleh terus memulakan perjalanan epik yang pastinya meninggalkan memori sepanjang hayat.

Baiklah, di mana agaknya persinggahan utama yang boleh dilawati jika memilih laluan ke Great South West Edge ini?

1) Bermain dengan ikan lumba-lumba di Bunbury

Melihat lumba-lumba secara dekat memang aktiviti yang agak asing kepada rakyat Malaysia. Nah, jika singgah di Bunbury, anda boleh rebut peluang untuk mendekati mamalia ini dengan berenang bersama-sama.

Bunbury merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan lumba-lumba jenis Bottlenose. Biarpun ia liar, namun haiwan ini mesra. Perjalanan ke Bunbury hanya mengambil masa dua jam memandu dari Perth.

Untuk mengenali spesis ini secara lebih dekat, anda boleh singgah ke Dolphin Discovery Centre. Di sini anda boleh mempelajari semua tentang ikan lumba-lumba dan kehidupan laut tempatan yang lain.

2) Singgah di Margaret River

Terletak kurang lebih satu jam perjalanan dari Bunbury, Margaret River yang juga popular di kalangan penduduk tempatan menjanjikan pemandangan dan citarasa menakjubkan di rantau ini. Dengan keadaan cuaca yang indah, ada sesuatu yang boleh dinikmati oleh semua orang ketika berhenti di sini.

Sekiranya anda ingin belajar meluncur (surfing), terdapat 40 top spot di sepanjang pantai Margaret River yang  untuk menangkap peluang melayari gelombang besar yang terbaik. Kesemua top spot ini menawarkan gelombang atau ombak yang sesuai untuk semua peringkat umur dan kemahiran.

Untuk aktiviti yang boleh dinikmati oleh seluruh ahli keluarga, jangan lepaskan peluang bersiar-siar di sepanjang pantai dan menikmati pemandangan matahari terbenam yang luar biasa.

3) Bersatu dengan kehijauan alam di Walpole

Walpole adalah sebuah bandar  menawan yang terletak hanya tiga jam jauhnya dari Margaret River dan merupakan perhentian wajib untuk pencinta alam semula jadi.

Terdapat taman negara yang luas, pantai yang memukau, tempat berkelah yang cantik dan sungai yang tenang. Banyak ativiti yang boleh anda lakukan di sini. Antaranya bushwalking, whitewater rafting, dan meneroka hutan dengan memandu kenderaan pacuan empat roda.

Nikmati keindahan sebenar Walpole dengan berjalan kaki 600 meter di atas kanopi pokok-pokok yang  berusia 400 tahun di The Valley of the Giants Treetop Walk di Walpole-Nornalup National Park. Untuk pengalaman lebih menarik, nikmati makan tengah hari yang santai di bawah pokok.

4) Segarkan badan di Greens Pool

Digambarkan sebagai kolam renang paling menarik, Greens Bay yang terletak di William Bay National Park. Perjalanan ke sini megambil masa kurang dari satu jam memandu dari Walpole.

Sebaik sahaja tiba, anda akan disambut dengan pemandangan air yang kehijauan jernih sehingga kelihatan pasirnya yang memutih. Sempurna untuk berenang, snorkeling dan menyelam.

Puas bermain air, panjangkan langkah ke Elephant Rocks, di mana anda boleh mencari arca seakan-akan gajah yang sedang mandi. Berjalanlah dengan tenang di sepanjang pantai yang menakjubkan untuk pemandangan menarik dari Madfish Bay, Waterfall Beach dan jika anda ke sini pada musim bunga, terdapat banyak bunga liar yang menemani perjalanan anda.

5) Nikmati alam semulajadi di Taman Negara Porongurup

Taman Negara Porongurup merupakan syurga flora dan fauna yang paling unik di Australia. Terdapat lebih daripada 100 spesies burung dan 750 jenis tumbuhan yang boleh dijumpai di sini.

Taman ini terletak lebih kurang satu jam perjalanan dari Greens Pool dan merupakan rumah kepada Castle Rock Granite Skywalk, sebuah jalan yang terletak di tengah-tengah Taman Negara Porongurup yang menawarkan pemandangan menakjubkan kepada pengunjung-pengunjung.

Hutan yang berusia lebih dari 1,100 juta tahun ini juga merupakan salah satu tempat terbaik untuk melihat bunga liar. Jika ingin melihat keindahan bunga-bunga liar ini pastikan anda ke sini pada musim bunga atau awal musim panas.

Cepat rancang percutian anda. Untuk maklumat lanjut tentang tempat-tempat menarik di Australia Barat, anda boleh melayari laman web Tourism Western Australia di https://www.westernaustralia.com

Kredit foto : Tourism Western Australia

Similar Articles

5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019