5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

April 16, 2019
By Rahayu Mat Nah

Destinasi yang terletak kira-kira 3 jam perjalanan dari pusat bandar Perth ini mungkin bukan pilihan di kalangan pengembara yang beragama Islam. Ini kerana Margaret River terkenal dengan aktiviti wain tasting memandangkan di sini terdapat banyak ladang-ladang anggur.

Namun, jangan cepat membuat konklusi . Margaret River sebenarnya menawarkan pengalaman percutian yang pelbagai. Sama ada memilih untuk memandu sendiri atau mengikuti pakej percutian, anda pasti tidak akan kecewa. Ini kerana banyak lagi tarikan lain yang menunggu.

Jika memandu sendiri,  terdapat beberapa hentian yang boleh dilakukan sepanjang perjalanan ke Margaret River, jadi tidaklah terlalu bosan mengharungi perjalanan. Bagaimanapun, jika tidak gemar memandu jauh, boleh ambil pakej lawatan sehari yang banyak ditawarkan oleh operator percutian.

Salah satunya pakej lawatan sehari yang ditawarkan oleh Explore Tours Perth.  Dengan harga AUD199 untuk dewasa, trip ini bukan sahaja menjanjikan lawatan ke ladang-ladang anggur, tetapi  terdapat beberapa tarikan lain yang berbaloi untuk dilawati.

Satu kelebihan Explore Tours Perth ini ialah setiap trip jumlah pesertanya tidak melebihi 12 orang. Oleh itu, perjalanan dan aktivitinya lebih teratur dan selesa. Selain itu, van yang digunakan juga dilengkapi dengan kemudahan Wifi.  Jadi ke mana agaknya anda akan dibawa jika mengikuti trip ini?

 

1) Singgah ke Busselton Jetty

Untuk lawatan sehari ini, ini adalah tarikan pertama yang dilawati. Busselton Jetty menawarkan pemandangan indah, saujana mata memandang.  Ia terletak di kawasan terlindung di perairan Geographe Bay dan sudah diwartakan sebagai jeti kayu terpanjang di kawasan Hemisfera Selatan.

Selain daripada senibinanya yang ‘makan gambar’, tarikan utama di sini ialah Underwater Observatory yang terletak di penghujung jeti. Caj masuk adalah AUD34 untuk dewasa dan AUD20 untuk kanak-kanak.

Untuk sampai ke hujung jeti, boleh naik keretapi dengan bayaran AUD13.50 untuk dewasa dan AUD8.50 untuk kanak-kanak.

2) Nikmati keju di The Margaret River Dairy

Sebelum tiba ke pekan  Margaret River,  anda akan  dibawa singgah di The  Margaret River Dairy terlebih dahulu.  Terletak kira-kira 45 minit dari Busselton Jetty, The Margaret River Dairy ini memberi peluang kepada pengunjung menikmati pelbagai jenis keju . Malah, boleh makan sehingga puas. Kalau masih tidak mencukupi, boleh juga dibeli untuk dibawa pulang. Selain itu, terdapat juga beberapa produk lain yang turut tersedia seperti susu segar, yogurt dan juga ais krim.

3) Menyusuri pekan Margaret River  

Pekan kecil ini nampak cantik tersusun dan lengang.  Tidak banyak kenderaan di jalan. Di sini anda anda boleh ambil peluang untuk membeli  cenderahati untuk dibawa pulang. Ini kerana harganya lebih  murah berbanding di ibu kota Perth. Selain itu, banyak juga sudut-sudut menarik untuk merakam memori.

4) Minum kopi terbaik di Yahava Koffeeworks

Yahava Koffeeworks pernah menjadi lokasi penggambaran drama popular ‘Jangan Benci Cintaku.’ Anda akan sampai ke sini agak lewat petang, jadi ia masa yang sesuai untuk menghilangkan rasa mengantuk.  Aroma kopi yang mewangi menyambut kedatangan anda ke sini.  Jadi, rebut peluang untuk  menikmati pelbagai jenis kopi enak. Kalau tidak suka minum kopi, terdapat juga kedai menjual pelbagai jenis coklat di bahagian depan Yahava Koffeeworks. Lagi sekali boleh merasa samples yang tersedia.

5) Nikmati keindahan Canal Rocks

Canal Rocks yang terletak di Yallingup memiliki keindahan yang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Canal Rocks ini sebenarnya adalah pembentukan batu luar biasa yang bermula dari selatan Pantai Smiths. Lautan Hindi yang tidak jemu membadai  batu-batu besar di sini akhirnya telah membentuk laluan seperti terusan.

Terdapat sebuah jambatan kayu yang membolehkan  pengunjung melihat sendiri keajaiban ini secara lebih dekat. Tapi perlu berhati-hati kerana ombak sangat kuat dan angin juga bertiup kencang.

Kredit foto : Tuan Zailan Tuan Sulong