5 Jenama Teh ‘Bubble’ Halal

Julai 10, 2019
By Nor Syariza Tahir

Trend kegilaan orang ramai terhadap minuman teh bubble di negara ini bagaikan satu fenomena apabila di mana-mana sahaja kita dapat melihat barisan beratur yang panjang di kedai-kedai teh bubble.

Ada yang sanggup beratur sehingga berjam-jam lamanya dan ulang beli pada setiap hari demi memenuhi keinginan untuk mencuba pelbagai jenis perisa air teh bubble itu.

Malahan, ada satu kawasan di SS15, Subang turut mengalami kesesakan lalulintas yang luar biasa kerana dipenuhi orang ramai yang datang berpusu-pusu untuk membeli pelbagai jenama teh bubble yang dibuka di sepanjang jalan tersebut.

Melihatkan fenomena luar biasa ini, baru-baru ini ada pengguna laman Facebook telah membangkitkan keprihatinannya terhadap status halal jenama-jenama teh bubble yang mendapat sambutan di negara ini.

Menurut pengguna tersebut, dia cuba menghubungi kedua-dua jenama teh bubble tersebut, namun ia diakui masih belum menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Rentetan itu, ramai dalam kalangan netizen beragama Islam khususnya, mula mempersoalkan tindakan orang ramai yang secara semberono meminum jenama-jenama teh bubble itu tanpa mempedulikan status halalnya.

Ada yang berpendapat selagi minuman itu tidak mengandungi lemak haiwan atau khinzir, ia dianggap halal, dan ada yang berpendapat jika jenama yang rata-rata berasal dari Taiwan itu mempunyai sijil halal daripada Taiwan, ia adalah halal.

Jadi, untuk membantu pengguna membuat keputusan dalam membeli minuman teh bubble kegemaran mereka, kami senaraikan 5 jenama teh bubble yang mendapat pengiktirafan halal daripada JAKIM

Ia disenaraikan berdasarkan semakan status halal yang boleh dibuat di laman web JAKIM.

 

1. Chatime

Merupakan sebuah jenama teh bubble popular yang berasal dari Taiwan. Mula memasuki Malaysia pada tahun 2011, Chatime turut berada di lebih 1,000 lokasi seluruh dunia. Pada awal tahun lepas, jenama ini menerima sijil pengesahan halal daripada JAKIM. Antara perisa yang menjadi kegilaan ramai termasuk Pearl Milk Tea, Hazelnut Chocolate, Strawberry Pudding Au Lait dan Grass Jelly Roasted Milk Tea.

 

2. Tealive

Teh bubble ini berasal dari Malaysia dan diperkenalkan pada awal tahun 2017. Dimiliki oleh bekas pemegang francais induk Chatime di Malaysia, Loob Holding Sdn. Bhd., sehingga kini, Tealive mempunyai lebih daripada 270 cawangan di Malaysia, China, Vietnam, Australia dan United Kingdom. Menu yang menjadi kegemaran ramai termasuk Signature Brown Sugar Pearl Milk Tea, Roasted Milk Tea with Handmade Pearls (Sweet Potato) dan Signature Passion Fruit Green Tea.

 

3. CoolBlog

Boleh dikatakan sebagai pelopor bagi jenama teh bubble di Malaysia, CoolBlog membuka cawangan pertamanya pada tahun 2008. Sehingga kini, terdapat 300 cawangan CoolBlog di seluruh negara. Selain teh bubble, CoolBlog turut mempunyai variasi menu smoothies, siri coklat, kopi dan Oreo. Menu yang menjadi pilihan ramai termasuk Original Tea With Pearl, Original Oreo Smoothie With Choco Chip dan rangkaian tiga perisa minuman yang baru dilancarkan iaitu Unicool.

 

4. FamilyMart

Rangkaian kedai serbaneka dari Jepun, FamilyMart turut tidak terkecuali untuk memperkenalkan minuman teh bubble baru-baru ini. Melancarkan Brown Sugar Bubble Milk, minuman susu yang digabungkan dengan gula perang dan pearl yang kenyal itu turut mencetuskan fenomena sehingga sering kehabisan stok.

 

5. Each-A-Cup

Juga merupakan antara jenama teh bubble terawal yang menembusi pasaran Malaysia, jenama dari Taiwan ini turut menawarkan seleksi minuman teh, ice blended, smoothies, yogurt, kopi, snow shake dan jus buah-buahan. Antara menu Each-A-Cup yang menjadi pilihan termasuk Milk Tea With Grass Jelly, Hazelnut Fruity Chocolate, Mango Passion dan yang baru dilancarkan, Brown Sugar Pearl Milk Tea Series.

Berdasarkan senarai ini, kami di SalamToday ingin menegaskan bahawa pengiktirafan halal tersebut adalah sehingga tarikh artikel ini ditulis.

Kami juga tidak mengatakan bahawa jenama teh bubble popular lain adalah tidak halal, namun, ia tidak disenaraikan di direktori pencarian halal JAKIM.

Kesimpulannya, ia terpulang kepada setiap individu untuk memilih apa-apa sahaja makanan atau minuman yang mereka suka dan tidak memakan makanan yang ragu-ragu statusnya (syubhah).

Namun, sebagai orang Islam, kita diwajibkan memakan makanan yang halal dan baik serta tidak memudaratkan (toyyiban) berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi.”

 

Foto: Phan Anh Tran (Unsplash), Instagram Chatime Malaysia, Watin Ashaari, Nor Syariza & laman web Each-A-Cup

Kesimpulannya, ia terpulang kepada setiap individu untuk memilih apa-apa sahaja makanan atau minuman yang mereka suka dan tidak memakan makanan yang ragu-ragu statusnya (syubhah).

Similar Articles